INFORMASI BAHASA
IMBUHAN PINJAMAN SANSKRIT YANG MEMBAWA PENGERTIAN BILANGAN
Satu, dua, tiga, ...... biasanya kita menulis begitu dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, eka-, dwi-, tri-, panca- merupakan bentuk imbuhan pinjaman yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian bilangan.
eka – bermaksud satu
dwi – bermaksud dua
tri – bermaksud tiga
panca – bermaksud lima
Contohnya,
eka + atom = ekaatom (satu atom)
eka + bahasa = ekabahasa (satu bahasa)
eka + fungsi = ekafungsi (satu fungsi)
eka + hala = ekahala (satu hala)
eka + matra = ekamatra (satu dimensi)
eka + paksi = ekapaksi (satu paksi)
eka + suku kata = ekasuku kata (satu suku kata)
eka + warna = ekawarna (satu warna)
dwi + arah = dwiarah (dua arah)
dwi + atom = dwiatom (dua atom)
dwi + bahasa = dwibahasa (dua bahasa)
dwi + bahasawan = dwibahasawan (orang yang boleh bertutur dalam dua bahasa dengan fasih)
dwi + belah = dwibelah (dua pihak, dua sisi)
dwi + budaya = dwibudaya (mempunyai dua kebudayaan)
dwi + bulanan = dwibulanan (berlaku setiap dua bulan)
dwi + cabang = dwicabang (dua cabang)
dwi + cekat = dwicekat (dapat menggunakan kedua-dua belah tangan kiri dan kanan dengan cekap)
dwi + cekung = dwicekung (cekung pada kedua-dua permukaan kanta)
dwi + cembung = dwicembung (cembung pada kedua-dua permukaan kanta)
dwi + darma = dwidarma (dua kemestian / kewajiban)
dwi + daun = dwidaun (mempunyai dua daun)
dwi + dewan = dwidewan (sistem pemerintahan yang mempunyai dua dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen Malaysia)
dwi + fokus = dwifokus (dua fokus yang berbeza.
dwi + fungsi = dwifungsi (dua tugas)
dwi + ganda = dwiganda (kembar dua, dwilipat, duplo)
dwi + guna = dwiguna (mempunyai dua kegunaan)
dwi + huruf = dwihuruf (mempunyai dua huruf)
dwi + jantina = dwijantina (mempunyai kedua-dua alat kelamin)
dwi + lambang = dwilambang (dwihuruf, huruf rangkap, digraf)
dwi + lipat = dwilipat (rangkap dua, dua sekali, duplo, dwiganda)
dwi + logam = dwilogam (terdiri daripada dua logam)
dwi + matra = dwimatra (puisi yang terdiri daripada dua kaki matra, iaitu dua pasang kaki yang bertekanan)
dwi + mingguan = dwimingguan (berlaku setiap dua minggu)
dwi + molekul = dwimolekul (melibatkan dua molekul)
dwi + musim = dwimusim (berlaku dalam masa dua tahun)
dwi + paksa = dwipaksa (kata kerja yang bertugas dalam bentuk aktif dan juga pasif.)
dwi + partisan = dwipartisan (berkaitan dengan atau terdiri daripada dua parti atau kumpulan politik yang berlainan)
dwi + pecahan = dwipecahan (dwicabang)
dwi + pihak = dwipihak (antara dua pihak, dwibelah, dwisisi)
dwi + purwa = dwipurwa (pengulangan suku kata pertama pada kata akar dengan atau tanpa perubahan dalam nilai bunyi vokal yang terdapat pada suku kata pengulang. Contohnya, “jejari” daripada “jari”, “dedaun” daripada “daun”.
dwi + seksual = dwiseksual (maksud pertama – mempunyai organ pembiakan jantan dan betina pada organisma (tumbuhan dan haiwan). Contohnya, cacing, jagung, tumbuhan berbunga, biseks. Maksud kedua ialah cenderung untuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki dan juga perempuan.
dwi + sisi =dwisisi (dwipihak, dwibelah)
dwi + standard = dwistandard (prinsip yang membenarkan lebih banyak kebebasan kepada seseorang atau sesuatu kumpulan lain)
dwi + suku kata = dwisuku kata (mempunyai dua suku kata)
dwi + tahunan = dwitahunan (berlaku setiap dua tahun)
dwi + tunggal = dwitunggal (dua tetapi seakan-akan satu juga)
dwi + warna = dwiwarna(Sang dwiwarna – bendera Republik Indonesia )
tri, panca..... akan datang.
Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
Selamat Melayari Blog Saya!
- CIKGU TAN CL
- Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
cikgu macam mana nak bina ayat menggunkan perkataan ekamatra
Post a Comment