26 August 2014

ANALISIS KOMSAS RAMALAN SPM 2014 - CERPEN "IBU DAN CEPER"


CERPEN IBU DAN CEPER
[Penulis: Shahnon Ahmad]
SINOPSIS
Sungai Ceper mengalirkan airnya dengan arus yang kuat. Penulis membandingkan kekuatan Sungai Ceper dengan kegigihan ibunya. Sungai Ceper masih belum tercemar dan berfungsi untuk mengairi sawah padi. Kepelbagaian fungsi sungai tersebut diumpamakan oleh penulis seperti kegigihan seorang ibu yang mengerjakan sawah padi bagi menyara keluarganya. Ibu merupakan seorang wanita yang rajin. Selain bersawah, ibu menetak mengkuang bagi menampung kelangsungan hidup keluarga. Ibu aktif juga dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti membantu kenduri-kendara dan menziarahi jiran sekiranya ada kematian.
             Suaminya agak pemalas kerana amat kurang membantu menyara keluarga. Si ibulah yang berhempas pulas menggunakan tulang empat keratnya untuk mengusahakan sawah padi. Si suami banyak menghabiskan masa memenuhi hobinya, iaitu memikat burung ketitir. Penulis menjelaskan bahawa Sungai Ceper mendatangkan bencana juga kepada mereka. Ketika banjir, air Sungai Ceper memusnahkan padi yang ditanam oleh ibu. Penduduk di seluruh kampung menjadi papa kedana kerana padi mereka musnah sebagai akibat banjir. Selain banjir, kemarau mengancam penduduk kampung juga. Kemarau yang berpanjangan menyebabkan tanaman padi mati. Ibu terpaksa mendapatkan bekalan air dari perigi.
              Penulis teringat akan kisah lampaunya. Penulis yang kini sudah beranak dan bercucu teringat akan kisah arwah ibu dan ayahnya. Ibu tidak dapat bekerja mengusahakan sawah padi setelah terjatuh kerana terlanggar tunggul kayu. Sebagai akibatnya, ibu terus lumpuh dan tidak dapat bergerak lagi. Bapanya pula semakin tua dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyara keluarga. Penulis teringat akan kisahnya menjaga ibu dan ayahnya yang sudah tua. Ketika menjaga ibu yang sudah tua, kadang kala terdapat kesalahan yang dilakukannya yang menggores perasaan ibu tua. Penulis amat menyesali ketelanjurannya.
              Keadaan Sungai Ceper digambarkan semakin kotor sebagai akibat pencemaran. Pelbagai bahan buangan terdapat dalam sungai tersebut. Air Sungai Ceper semakin sedikit dan dasarnya semakin cetek sehingga menyebabkan Sungai Ceper gagal berfungsi. Air Sungai Ceper tidak mengalir lagi. Kekotoran yang terdapat dalam Sungai Ceper amatlah menjijikkan.
              Kini, penulis dan keluarganya mengambil alih kerja-kerja mengusahakan sawah padi. Walau bagaimanapun, keriangan mengusahakan sawah padi berbeza daripada zaman sebelumnya. Hal ini dikatakan demikian kerana Sungai Ceper tidak mampu lagi mengairi sawah padi seperti yang digambarkan ketika zaman ayah dan ibunya masih muda dahulu. Mengikut pengamatan penulis, kematian ibunya sama keadaannya seperti yang dialami oleh Sungai Ceper.
TEMA
Keprihatinan penulis terhadap pencemaran alam sekitar dan kasih sayangnya terhadap ibunya,
PERSOALAN
·         Kegigihan seorang perempuan
·         Kurangnya kesedaran masyarakat
·         Ketabahan anak
·         Kesusahan masyarakat petani
WATAK DAN PERWATAKAN
·         Ibu
-        Rajin bekerja
-        Menjadi tonggak untuk melakukan urusan harian
-        Bergaul dengan anggota masyarakat
-        Cergas pada usia muda
-        Mahir menganyam tikar mengkuang
-        Cepat marah

·         Aku
-        Bertanggungjawab terhadap keluarganya
-        Berasa simpati terhadap ibunya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran
-        Sudah berkahwin (isterinya orang kampung yang biasa bekerja di sawah)
-        Menjaga ibu bapanya semasa mereka sakit
-        Dia berasa kesal atas perbuatannya yang telah menyinggung perasaan ibunya (bercakap kasar terhadap ibunya yang lumpuh)
-        Dia kematian ibunya
LATAR
·         Latar Tempat
-     Di sebuah kampung yang terletak di tepi Sungai Ceper

·         Latar Masa
-        Pada 40 tahun lalu
-        Semasa air Sungai Ceper masih jernih dan arusnya mengalir deras, masa kini
-        Setelah Sungai Ceper sudah tercemar hingga airnya kering

·         Latar Masyarakat
-     Masyarakat kampung
-     Masyarakat tani yang menanam padi

PLOT
·         Permulaan
-     Pembaca diperkenalkan dengan ibu pengarang dan Sungai Ceper. Ibunya menjalankan aktiviti bersawah untuk menyara keluarga.
·         Perkembangan
-     Apabila tiba musim hujan, Sungai Ceper membanjiri sawah dan merosakkan padi-padi yang tengah menguning. Ibu pengarang sangat kecewa dan memarahi Sungai Ceper. Ketika musim kemarau, air Sungai Ceper menjadi cetek.
·         Perumitan
-     Kemarahan ibu pengarang terhadap bapanya yang gila mendenak burung ketitir.
·         Klimaks
-     Ibu pengarang terjatuh ketika bekerja di sawah lalu lumpuh. Pengarang dan isterinya telah mengambil alih tugas ibu di sawah.
·         Peleraian
-     Kedua-dua ibu bapa pengarang meninggal dunia. Sungai Ceper juga sudah mati kerana airnya sudah tidak mengalir deras dan sudah tercemar.

TEKNIK PLOT
·         Pemerian
-     Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang dan berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman.

·         Dialog
-        “Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”

·         Imbas kembali
-     Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya di paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak buruh untuk menolon ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap
-     Aku masih ingat betul. Dan itu sebenarnya empat puluh tahun yang lampau sewaktu aku masih anak teruna dan ibu masih boleh beranak lagi
-     Itulah detik-detik yang tidak dapat kulupakan. Aku menyesal dan memohon ampun banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.

GAYA BAHASA
·         Loghat utara
-        Selut, acilut, terbongkeh
·         Personifikasi
-        Air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan
·         Simile
-        Bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu
-        Ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
·         Hiperbola
-        Sawah habis kering
-        Ia memancutkan airnya, tidak sedikit pun menempuh kerumitan
·         Sinkope
-        Tak, ku
·         Peribahasa
-        Naik angin, kaki burung

NILAI
·         Cinta akan alam sekitar
·         Kegigihan
·         Kasih sayang
·         Tabah
·         Insaf
·         Peka

PENGAJARAN
·         Kita haruslah tabah dalam mengharungi cabaran hidup.
·         Kita hendaklah menjaga kebersihan dan memelihara sungai.
·         Janganlah kita menyinggung perasaan ibu.
·         Kita seharusnya menyayangi ibu bapa yang mendidik dan menjaga kita.
·         Anak haruslah bertanggungjawab untuk menjaga orang tua yang sudah uzur.




No comments: