10 April 2012

ANALISIS AYAT (JENIS-JENIS AYAT)

JENIS-JENIS AYAT

Ayat-ayat dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

Ayat Penyata
1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
2. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

3. Ayat contoh:
a) Pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
b) Normah tidak pergi ke sekolah pada hari ini.
c) Dia suka menonton rancangan televisyen.
d) Datuk sedang berehat di ruang tamu.
e) Kami sekeluarga akan melancong ke Taiwan.



Ayat Tanya
1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.

(i) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).
3. Ayat contoh:

a) Adik masih belum makan?
b) Pemuda itu malas?
c) Pertandingan bercerita itu diadakan pada minggu hadapan?
d) Erra penyanyi yang popular?
e) Bas itu sudah bertolak?

(ii) Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
1. Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana, bagaimana dan sebagainya.

2. Ayat contoh:
a) Barang itu apa?
b) Pemain piano itu siapa?
c) Hari jadi kamu bila?
d) Pejabat pos di mana?
e) Keadaan nenek kamu bagaimana?

3. Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.
4. Ayat contoh:
a) Apakah barang itu?
b) Siapakah pemain piano itu?
c) Bilakah hari jadi kamu?
d) Di manakah pejabat pos?
e) Bagaimanakah keadaan nenek kamu?

Ayat Perintah
1. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
2. Ayat perintah terdiri daripada empat jenis, iaitu:

a) Ayat suruhan
b) Ayat larangan
c) Ayat silaan
d) Ayat permintaan

Panduan Umum Penggunaan Jenis-jenis Ayat Perintah
Ayat Perintah
Penggunaan Ayat Contoh
Ayat Suruhan Memberi arahan atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
1. Minumlah teh ini dahulu.
2. siapkan kerja sekolah ini.
3. Fikirkanlah sebelum bertindak.

Ayat Larangan
Melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah.
1. Jangan petik bunga itu.
2. Usah bermain di tepi jalan.
3. Tak usah kau campur tangan dalam hal saya.

Ayat Silaan
Menjemput atau mempersilakan seseorang
Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput.
1. Sila beratur sebelum masuk ke dalam kelas.
2. Silalah pakai topi keledar.
3. Jemput makan bersama-sama.
4. Jemputlah datang ke rumah saya.

Ayat Permintaan
Memohon permintaan dan pertolongan.
Menggunakan kata permintaan seperti minta atau tolong.
1. Minta tuan-tuan dan puan-puan mengambil tempat duduk masing-masing.
2. Minta anda semua bersabar.
3. Tolong ambilkan saya secawan air.
4. Tolong uruskan perkara ini dengan segara.

Ayat Seruan
1. Ayat seruan ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, sakit, benci dan sebagainya.
2. Tanda seru (!) biasanya diletakkan pada akhir ayat seruan.
3. Ayat seruan didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh, oh, aduh, cis dan sebagainya.
4. Ayat contoh:
a) Amboi, cantiknya gadis itu!
b) Wah, mahalnya baju ini!
c) Oh, aku lupa bawa wang hari ini!
d) Cis, berani kamu pukul saya!
e) Syabas, kamu telah menang!

SUSUNAN AYAT
1. Terdapat dua bentuk susunan ayat dalam bahasa Melayu, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
2. Dalam susunan biasa, subjek terletak di hadapan ayat manakala predikat pula terletak di belakang ayat.
3. Ayat songsang ialah ayat yang predikatnya di hadapan dan subjeknya di belakang.

Ayat Biasa = Subjek + Predikat
Ayat Songsang = Predikat + Subjek
Ayat contoh:
1. Encik Ahmad seorang doktor.(Ayat Biasa)
    Seorang doktor Encik Ahmad. (Ayat Songsang)

2. Itu rumah saya.(Ayat Biasa)

Rumah saya itulah.(Ayat Songsang)
3. Perempuan itu siapa? (Ayat Biasa)

Siapa perempuan itu? (Ayat Songsang)


4. Kasut adik belum bercuci. (Ayat Biasa)

Belum bercuci kasut adik. (Ayat Songsang)


5. Pokok itu sangat tinggi.(Ayat Biasa)

 Sangat tinggi pokok itu.(Ayat Songsang)


* Partikel "-lah" (untuk ayat penyata) dan partikel "-kah" (untuk ayat tanya) digunakan untuk memberi penekanan

kepada predikat dalam ayat.
5. Ayat songsang boleh dibentuk melalui proses pendepanan, iaitu:

a) Pendepanan seluruh predikat
b) Pendepanan sebahagian daripada predikat

(a) Pendepanan Seluruh Predikat
Ayat Biasa Ayat Songsang
1. Masakan ibu lazat sekali.
1. Lazat sekali masakan ibu.

2. Baju itu dijahit oleh ibu.
2. Dijahit oleh ibu baju itu.

3. Abangnya seorang pensyarah.
3. Seorang pensyarah abangnya.

(b) Pendepanan Sebahagian Daripada Predikat

Ayat Biasa Ayat Songsang

1. Kanak-kanak bermain layang-layang di padang itu.(Ayat Biasa)

1. Bermain layang-layang kanak-kanak di padang itu. .(Ayat Songsang)


2. Saya akan balik ke kampung esok.(Ayat Biasa)

2. Akan balik saya ke kampung esok.(Ayat Songsang)


3. Hatinya tersinggung dengan kata-kata kawannya.(Ayat Biasa)

3. Tersinggung hatinya dengan kata-kata kawannya.(Ayat Songsang)


AYAT TUNGGAL DAN AYAT MAJMUK



Ayat Seruan

1. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.

Ayat Tunggal = 1 Subjek + 1 Predikat

2. Ayat contoh:
a) Bee Hong seorang jururawat.
b) Kucing itu sedang mengejar seekor tikus.
c) Malaysia aman damai.
d) See Ling ke Pulau Langkawi pagi tadi.

Ayat Majmuk

1. Ayat majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat tunggal.

2. Terdapat tiga jenis ayat majmuk, iaitu:
a) Ayat majmuk gabungan
b) Ayat majmuk pancangan
c) Ayat majmuk campuran

(a) Ayat Majmuk Gabungan

1. Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat tunggal.
2. Ayat majmuk gabungan digabungkan dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti dan, serta, atau, tetapi, sambil dan sebagainya.

Pembentukan Ayat Majmuk Gabungan

Ayat Tunggal Ayat Majmuk Gabungan

a) Melati belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Utama.
b) Adilah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Utama.

Melati dan Adilah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Utama.

a) Erina seorang pelajar yang cerdik.
b) Erina seorang pelajar yang malas.

Erina seorang pelajar yang cerdik tetapi malas.

a) Kok Loong masuk ke dalam bilik.
b) Kok Loong tidur.

Kok Loong masuk ke bilik lalu tidur.

a) Abang memandang saya.
b) Abang ketawa.

Abang memandang saya sambil ketawa.

a) Awak nak minum kopi?
b) Awak nak minum teh?

Awak nak minum kopi atau teh?

(b) Ayat Majmuk Pancangan

1. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang mengandungi satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan ke dalam ayat induk dengan menggunakan kata hubung pancangan.

2. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan, iaitu:
i) Ayat majmuk pancangan relatif
ii) Ayat majmuk pancangan komplemen
iii) Ayat majmuk pancangan keterangan

(i) Ayat Majmuk Pancangan Relatif

1. Ayat majmuk pancangan relatif ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung "yang".
Pembentukan Ayat Majmuk Pancangan Relatif

Cara Pembentukan Ayat Majmuk Relatif
Ayat induk : Saya membaca majalah itu.
Ayat kecil : Majalah itu dibeli di kedai.
1. Saya membaca majalah yang dibeli di kedai itu.

Ayat induk : Budak lelaki itu duduk di atas bangku.
Ayat kecil : Budak lelaki itu adik saya.
2. Budak lelaki yang duduk di atas bangku itu adik saya.

Ayat induk : Kakak mempunyai dua helai baju.
Ayat kecil : Dua helai baju itu berwarna biru.
3. Kakak mempunyai dua helai baju yang berwarna biru.

Ayat induk : Emak membeli kain sutera.
Ayat kecil : Kain sutera itu berwarna merah.
4. Emak membeli kain sutera yang berwarna merah.

Ayat induk : Bas itu bas sekolah.
Ayat kecil : Abang saya menaiki bas.
5. Bas yang dinaiki abang saya itu bas sekolah.

(ii) Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

1. Ayat majmuk pancangan komplemen ialah ayat yang menggunakan kata hubung "bahawa" dan "untuk".

Cara Pembentukan Ayat Majmuk Komplemen

Ayat induk : Budak lelaki itu berjanji.
Ayat kecil : Dia tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.
Kata hubung : bahawa
1. Budak lelaki itu berjanji bahawa dia tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.

Ayat induk : Ibu pergi ke pasar.
Ayat kecil : Ibu membeli daging dan sayur-sayuran.
Kata hubung : untuk

2. Ibu pergi ke pasar untuk membeli daging dan sayur-sayuran.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

1. Ayat majmuk pancangan keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada ayat induk dan ayat lain berfungsi untuk memberi keterangan.
2. Terdapat beberapa jenis keterangan yang digunakan dalam ayat majmuk pancangan keterangan, iaitu:
Keterangan sebab --> kerana, lantaran, oleh sebab

Keterangan syarat -->jika, jikalau, kalau, sekiranya, andai kata

Keterangan waktu -->sejak, semenjak, setelah, sewaktu, tatkala, ketika, apabila

Keterangan pertentangan -->walaupun, meskipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sedangkan

Keterangan harapan--> supaya, agar, semoga

Keterangan cara -->dengan

Keterangan perbandingan -->seperti, macam, seolah-olah, ibarat, bak



Pembentukan Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Cara Pembentukan Ayat Majmuk Keterangan

Ayat induk : Dia tidak pergi ke padang.
Ayat kecil : Hari hujan.
Kata hubung : kerana
1. Dia tidak pergi ke padang kerana hari hujan.

Ayat induk : Yoong Leng sedang tidur nyenyak.
Ayat kecil : Saya tiba di rumahnya.
Kata hubung : apabila
2. Yoong Leng sedang tidur nyenyak apabila saya tiba di rumahnya.

Ayat induk : Ibu menghiris bawang.
Ayat kecil : Dia menggunakan pisau.
Kata hubung : dengan
3. Ibu menghiris bawang dengan menggunakan pisau.

Ayat induk : Mazli berdoa.
Ayat kecil : Ibunya cepat sembuh.
Kata hubung : agar
4. Mazli berdoa agar ibunya cepat sembuh.

Ayat induk : Kakak masih belum balik lagi.
Ayat kecil : Hari sudah lewat malam.
Kata hubung : walaupun
5. Kakak masih belum balik lagi walaupun hari sudah lewat malam.

Ayat induk : Adik rajin berusaha.
Ayat kecil : Dia akan berjaya dalam peperiksaan.
Kata hubung : jika
6. Jika adik rajin berusaha, dia akan berjaya dalam peperiksaan.

(c) Ayat Majmuk Campuran

1. Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, iaitu terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau beberapa ayat majmuk.

Pembentukan Ayat Majmuk Campuran
Ayat tunggal : Ayah sedang membaca surat khabar.
Ayat komplemen : Ibu sedang memasak untuk tetamu yang akan datang ke rumah.

1. Ayah sedang membaca surat khabar manakala ibu sedang memasak untuk tetamu yang akan datang ke rumah.

Ayat pancangan relatif : Persekitaran yang bersih amat penting.
Ayat pancangan : Persekitaran yang bersih dapat
keterangan menjamin kesihatan seseorang supaya tidak dijangkiti penyakit.
2. Persekitaran yang bersih amat penting bagi menjamin kesihatan seseorang supaya tidak dijangkiti penyakit.

Ayat majmuk gabungan : Bee Choo dan kawan-kawannya masih berdegil.
Ayat pancangan relatif : Mereka ditegur oleh guru disiplin yang garang itu.
3. Bee Choo dan kawan-kawannya masih berdegil meskipun ditegur oleh guru disiplin yang garang itu.

Ayat majmuk gabungan : Adik bangun lalu turun ke serambi.
Ayat komplemen : Kawan-kawan adik sedang menunggunya untuk pergi pergi bermain bola.
4. Adik bangun lalu turun ke serambi kerana kawan-kawannya sedang menunggunya untuk pergi bermain bola.

Ayat tunggal : Murid-murid rajin mengulang kaji pelajaran.
Ayat komplemen : Guru Besar mengumumkan bahawa peperiksaan akan diadakan pada bulan hadapan.
5. Murid-murid rajin mengulang kaji pelajaran setelah Guru Besar mengumumkan bahawa peperiksaan akan diadakan pada bulan hadapan.

AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF
1. Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang memberi penekanan kepada subjek.
2. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.
3. Ayat pasif pula ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang memberi penekanan kepada objek.

Ayat Aktif --Ayat Pasif
1. Vincent membaiki radio yang rosak itu. (AYAT AKTIF)
1. Radio yang rosak itu dibaiki oleh Vincent. (AYAT PASIF)

2. Kamu perlu membasuh pinggan mangkuk itu.(AYAT AKTIF)

2. Pinggan mangkuk itu perlu kamu basuh. (AYAT PASIF)


3. Dia menulis karangan itu.(AYAT AKTIF)

3. Karangan itu ditulis olehnya.(AYAT PASIF)


4. Ayah membaca surat khabar.(AYAT AKTIF)

4. Surat khabar dibaca oleh ayah.(AYAT PASIF)


5. Mereka sedang membersihkan kawasan rumah. (AYAT AKTIF)

5. Kawasan rumah sedang dibersihkan oleh mereka. (AYAT PASIF)


*Ayat-ayat di atas membawa maksud yang sama walaupun bentuknya berlainan.



AYAT AKTIF

Ayat aktif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
(a) Ayat aktif transitif
(b) Ayat aktif tak transitif
(a) Ayat Aktif Transitif

Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau unsur penyambutnya.
1. Saya mengelap tingkap.
2. Ibu menggoreng ikan.
3. Kami menghormati guru.
4. Beliau merasmikan majlis itu.
5. Merokok membahayakan kesihatan.
6. Bersukan menyihatkan badan.
7. Adik bermain bola.

(b) Ayat Aktif Tak Transitif
Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya.

1. Adik menangis.
2. Kakak tidur.
3. Amran melukis.
4. Lydia bernyanyi.
5. Kami berehat.
6. Emak memasak.
7. Adik mandi.

*Hanya ayat aktif transitif dapat dipasifkan kerana mempunyai objek.

AYAT PASIF
Ayat pasif dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
c) Ayat pasif dengan kehadiran kata bantu pasif "kena"

(a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
1. Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.
2. Hanya digunakan untuk kata ganti nama diri ketiga.
3. Ayat contoh:
(i) Pokok bunga itu ditanam oleh Li Mia.
(ii) Baju sekolah itu digosok oleh Jun Meng.
(iii) Kucing itu terlanggar oleh Sumudi.
(iv) Batu itu tersepak oleh Helen.

(b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
1. Kedua-dua jenis kata ganti nama diri ini diletakkan di hadapan kata kerja dasar kerana tidak boleh menerima imbuhan kata kerja pasif di-.
2. Ayat contoh:
(i) Masalah itu akan saya selesaikan.
(ii) Bilik itu patut kamu kemaskan.
(iii) Titah tuanku akan patik junjung.
(iv) Keamanan negara harus kita kekalkan.

(c) Ayat pasif dengan kehadiran kata bantu pasif "kena"
1. Mengandungi perkataan "kena" di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan.
2. Ayat contoh:
(i) Anjing liar itu kena tembak oleh pemburu.
(ii) Dia kena culik oleh pengganas itu.
(iii) Kanak-kanak itu kena pukul oleh ibunya.
(iv) Mereka kena denda oleh guru tingkatan.

1 comment:

Nurulasfiza said...

ilmu yang bermanfaat...:)