Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

21 July 2009

Warna-warni Bollywood di Kuala Lumpur

Pada hari Ahad yang lalu, sebagai mengotakan janji kepada ibu, saya telah membawanya ke Istana budaya untuk menyaksikan pementasan muzikal "Merchants of Bollywood" (MOB) yang dipentaskan di panggung bertaraf lima bintang. Setibanya di sana, kami menikmati makan malam supaya tidak berlapar sepanjang pementasan itu. Yang memalukan, tandas yang terletak di kafeteria Istana Budaya tidak dibersihkan mengikut piawaian bangunan yang berdiri megah di Jalan Tun Razak itu. Saya berharap pihak pengurusan bukan hanya mementingkan kebersihan tandas di luar Panggung Sari, tetapi juga di seluruh bahagian bangunan tersebut.

Ketika memasuki bangunan Istana Budaya, terasa demam Bollywood kembali melanda ibu negara apabila kawasan lobi Istana Budaya dihiaskan ala Bollywood dengan penggunaan kain sari dan "koolam". Warni-warni ini memang mengasyikkan dan mengujakan ibu saya. Seolah-oleh dia barada di ibu pertiwinya. Walau bagaimanapun, pementasan MOB yang bermula sejak 14 Julai lalu dan berakhir pada 26 Julai ini sememangnya menjadi sebutan dan telah mencipta satu fenomena baharu dalam penerbitan teater antarabangsa sejak lima tahun lalu.

Mengikut sumber akhbar Utusan Malaysia, kedatangan MOB ke negara ini dibawakan secara eksklusif oleh Asiapromote Ventures Sdn. Bhd., dengan kerjasama LD Sports Sdn. Bhd., bersempena dengan sambutan Festival Muzik Kuala Lumpur sepanjang bulan Julai ini.Antara negara yang sudah pun dijelajahi oleh produksi teater ekstravaganza ini adalah seperti Itali, Switzerland, United Kingdom, Poland, Sepanyol dan banyak lagi. Yang membanggakan, biarpun muzik dan bahasanya merupakan bahasa Hindi namun bukanlah satu halangan untuk audiens antarabangsa menikmati satu persembahan yang cukup menakjubkan.

Secara peribadi, saya yang bukan benar-benar meminati lagu-lagu Hindi juga teruja dengan tarian yang dipersembahkan. Saya berpendapat bahawa sambutan yang diberikan terhadap teater ini membuktikan muzik mampu menyatukan masyarakat dunia biarpun berlainan latar belakang serta budaya yang ditonjolkan.







Biarpun MOB menyajikan sebuah hiburan yang memaparkan kegemilangan Bollywood menerusi tarian, kostum dan permainan warna yang menakjubkan oleh hampir 50 orang penari, di sebaliknya ia mengandungi mesej tersirat yang cukup berguna. MOB diangkat daripada kisah benar kehidupan keluarga Merchant yang merupakan koreografer serta guru tari tersohor yang meletakkan Bollywood di puncak tertinggi. Walakin begitu, perbalahan berlaku apabila Shantilal Merchant tidak merestui minat cucunya, Ayesha Merchant yang mahu memodenkan serta mengkomersialkan tarian India dalam filem Bollywood. Keputusan ini cukup berbeza dan bertentangan dengan perjuangan serta ideologi yang dipegang oleh Shantilal sepanjang dia menjadi koreografer untuk filem-filem Bollywood yang lebih mementingkan kepada gaya lama, klasik dan autentik.





Di samping menampilkan hampir 50 orang penari, MOB juga diperkuat dan ditenagakan oleh kehadiran tiga pelakon utamanya iaitu Chander Khanna, Carol Furtado dan Deepak Rawat. Saya secara peribadi berpendapat bahawa pementasan ini hebat dan berjaya menyuntik semangat cinta akan Bollywood dalam diri penontonnya. Akhir kata, jom kita ke Istana Budaya.

No comments: