3 November 2008

Ramalam Karangan SPM 3 - Karangan Topik Pertanian

Tajuk: Kegiatan Pertanian Di Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara pertanian sejak dulu lagi. Negara kita merupakan pengeluar utama pelbagai jenis hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah, beras dan sebagainya. Sektor pertanian di Malaysia menduduki tangga ketiga sebagai penyumbang kepada pendapatan dan kemajuan ekonomi negara. Walaupun sektor ini telah diabaikan suatu ketika dahulu, namun kegawatan ekonomi yang melanda negara kita pada tahun 1997 telah menyedarkan kerajaan bahawa sektor pertanian masih penting dan merupakan sektor penyelamat negara kita. Melalui sektor pertanian, negara kita mampu mengharungi kegawatan ekonomi tanpa sebarang bantuan daripada International Monetary Fountation (IMF).

Sebagaimana yang kita tahu, kelapa sawit merupakan tanaman yang paling menguntungkan negara kita. Oleh itu, kebanyakan tanah di Malaysia digunakan untuk menanam kelapa sawit. Ladang kelapa sawit boleh dilihat di merata-rata tempat di seluruh Malaysia kerana penanaman kelapa sawit giat dijalankan dan sektor ini telah membuka banyak peluang kerja kepada masyarakat kawasan pedalaman kerana ada gula ada semut. Kelapa sawit juga merupakan eksport utama Malaysia ke negara-negara asing seperti Amerika Syarikat dan Kanada. Hal ini demikian kerana kelapa sawit boleh digunakan untuk menghasilkan minyak kelapa sawit dan pelbagai barangan yang berguna. Malah, daun-daun dan sabut kelapa sawit boleh dijadikan baja yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan digunakan secara meluas oleh para petani dan pekebun. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kelapa sawit banyak memanfaatkan kita dan merupakan salah satu punca pendapatan negara kita yang terpenting.

Penanaman getah di Malaysia juga wujud sejak berdekad-dekad yang lalu, iaitu semasa negara kita dijajah oleh pihak British. Pihak British telah memperkenalkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan pengeluaran getah, Kini, getah merupakan salah satu tanaman yang diusahakan secara meluas di seluruh Malaysia. Pokok getah mengeluarkan susu getah dan getah keping yang dikatakan amat berguna dalam sektor pembuatan tayar, kasut and sarung tangan getah. Sehubungan dengan itu, para penoreh getah juga diberikan gaji yang tinggi kerana getah merupakan bahan yang tidak ternilai harganya dalam zaman modenisasi ini. Penoreh getah pada zaman ini juga diiktiraf sebagai individu yang mampu menjana ekonomi negara dan tidak lagi dipandang rendah oleh masyarakat. Pengeksportan bahan mentah seperti kelapa sawit dan getah ke negara-negara asing telah meningkatkan status negara kita di arena antarabangsa dan kita sudah berupaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Walaupun kerajaan telah mencurahkan banyak usaha dalam sektor pertanian negara dan kesan positifnya amat ketara, namun banyak pihak yang berpendapat bahawa industri ini masih berpotensi untuk dimajukan lagi. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang lebih efektif dan proaktif harus diambil untuk memajukan lagi sektor pertanian di negara kita.Teknologi baharu dan kaedah pertanian moden bolehlah diperkenalkan untuk meningkatkan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani hari ini masih menggunakan kaedah pertanian tradisional tradisional yang dianggap tidak berkesan lagi. Oleh itu, kaedah dan teknologi pertanian yang moden dari luar negara, seperti New Zealand dan Australia harus dibawa masuk. Contohnya, penggunaan kaedah “tabur terus” dari Australia telah meningkatkan hasil pengeluaran padi sebanyak dua kali ganda. Selain itu, sistem pengairan yang moden harus dibina agar sektor pertanian dapat berkembang pesat. Misalnya,Rancangan Perairan Muda di Kedah telah membolehkan penanaman padi dijalankan dua kali setahun.Tuntasnya, kaedah pertanian moden bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malahan meningkatkan produktiviti sektor pertanian lagi.

Di samping itu, kajian dan pembangunan (R&D) harus dijalankan sejajar dengan penggunaan kaedah pertanian moden untuk meningkatkan hasil dalam industri pertanian negara kita. Antara agensi yang memainkan peranan yang penting dalam usaha ini termasuklah MARDI dan PORIM. Penyelidikan haruslah dijalankan dari semasa ke semasa untuk menghasilkan benih yang cepat matang dan lebih bermutu. Tamsilnya, Institut Penyelidikan Minyak Kelapa sawit Malaysia (PORIM) telah berjaya menghasilkan benih kelapa sawit yang bermutu, iaitu “Tenera” yang dapat menghasilkan minyak yang lebih banyak. Oleh itu, kita berharap agar PORIM dapat menghasilkan benih yang lebih bermutu untuk meningkatkan produktiviti kelapa sawit di Malaysia. Kita juga boleh saling bertukar pendapat dengan negara-negara luar dalam usaha memperbanyak hasil pertanian di negara kita. Malaysia haruslah pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan institut penyelidikan pertanian luar negara sebagai rujukan supaya industri pertanian kita dapat berkembang maju di persada dunia.

Intihanya, negara kita berpotensi besar dalam sektor pertanian dan aktiviti pertanian perlu diketengahkan supaya setaraf dengan sektor perindustrian negara. Sektor pertanian sememangnya banyakn mendatangkan kebaikan kepada masyarakat mahupun negara kita. Oleh itu, pihak kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di negara kita kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.Dengan ini Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang,gemilang dan terbilang! Satu hari nanti, Malaysia akan menjadi nadi pertanian global yang disegani dan disanjungi tinggi oleh setiap negara di seantero dunia. Malaysia Boleh!
Karangan ini diubah suai dan diperbaik.
Karangan asal dihantar oleh Lee Ying

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cikgu Tan..
Soalan tentang memajukan industri pertanian di Malaysia pernah ditanya dalam peperiksaan SPM 2006. ( Soalan Respons terbuka no 3 ) Biasanya soalan yang telah ditanya sekita 5 tahun tidak akan diulang lagi. Harap maklum

CIKGU TAN C L berkata...

Saya sentiasa berpendapat bahawa membuat persiapan awal sangat penting. Karangan ini hasil tulisan pelajar. Saya cuma memuatnaikkannya selepas membaiki kesalahan tatabahasanya. Ramalan soalan ini tidak penting kepada anda tetapi penting kepada pelajar yang mempunyai tanggapan yang sama dengan saya. Harap Maklum.

Saya sekadar membuat ramalan.

CIKGU TAN

Fatin Najwa berkata...

Terima kasih cikgu tan kerana memberi idea untuk saya membuat karangan mengenai pertanian ini dengan lebih baik.

Emy Sharmimi Nadia berkata...

cg Tan, thankyou yaa.. karangan ni sgt berguna utk sy buat karangan..
akhirnya siap juga karangan sy.. apa2 pun, karangan yg cg Tan postkan ni mmg superb!!!