Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

18 March 2025

Adakah waktu malam , waktu tengah hari, waktu petang dan pagi dikira kata adjektif waktu?

 SOALAN:

Slmat pagi cg nak tnya kata adjektif waktu adakah waktu malam , waktu tengah hari, waktu petang dan pagi dikira kata adjektif waktu?


JAWABAN:

Cuba anda padankan dengan kata penguat, bentuknya betul atau salag?

Contoh:

sangat malam❌

malam sekali❌

paling pagi❌


Oleh sebab tidak dapat dipasangkan dengan kata penguat, maka pagi, malam, petang bukan adjektif. 


Perkataan “pagi”, “petang”, “malam”, dan “tengah hari” ialah kata nama. 


Kenapa? 

Sebab 1: dapat dipadankan dengan kata sendi nama

Contoh: pada pagi ini, pada tengah hari esok, pada malam lusa, sejak petang tadi


Sebab 2: boleh menjadi subjek ayat.

Contoh: 

Pagi ialah waktu kesukaan saya. 

Tengah hari pula waktu saya sibuk. 


Sebab 3: boleh diikuti kata pemeri “ialah”


Waktu yang sesuai untuk makan ubat ialah pagi. 


Waktu sesuai untuk mengambil makan berat ialah tengah hari. 


Waktu kelahiran adik saya ialah malam. 


Harap penjelasan saya mantap dan anda sukai. 

Terima kasih

Apakah perbezaan antara "murid" dengan "murid - murid"?

 ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB 


SOALAN

Salam sejahtera cikgu Tan. Maaf mengganggu cikgu. Ada satu persoalan yang agak mengelirukan saya. Perkataan murid bersifat jamak atau tidak jamak ? Kalau jamak, apakah perbezaan antara murid dengan murid-murid?


Terima kasih cikgu.


JAWABAN:


Perkataan murid boleh mendukung makna tunggal mahupun jamak mengikut konteks cerita. Lihat contoh ayat di bawah:


(1) Murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 

(2) Murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 


Ayat (1) dan (2) juga gramatis dan tidak berlaku unsur kelewahan. Maksudnya juga sama tetapi fungsinya jamak atau tunggal sahaja. 


Namun, jika ada kata bilangan yang membawa maksud jamak terletak di hadapan kata ganda “murid-murid” yang sudah membawa makna jamak, maka lewahlah ayat tersebut


Contoh:

(2a) Semua murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2b) Para murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2c) Sesetengah murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2d) Sekumpulan murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah) 


Kesimpulannya, “murid” dan “murid-murid” sama maksud tetapi fungsinya berbeza dari segi semantik makna. 


Murid membawa maksud anak atau orang yang sedang belajar atau berguru. 


“Murid-murid” ialah gandaan kepada “murid” yang membawa makna banyak. 

 

Dalam konteks lain, “murid” boleh digandakan supaya membawa makna jamak. “Murid” juga boleh dikekalkan tanpa gandaan untuk membawa makna tunggal agar tidak berlaku kelewahan jika frasa kerja/adjektif pada predikatnya membawa makna jamak. 


Lihat senarai ayat sampel di bawah:

Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai.✅



Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai belaka. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai belaka.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai belaka.✅


Perkataan “belaka” dalam ayat di atas membawa konsep adverba, tidak menjejaskan maksud ayat asal. Konsep adverba ialah konsep pilihan. Jika digugurkan “belaka”, makna ayat tersebut masih sama. Adverba tidak wajib hadir dalam ayat. 


Harap anda faham akan penjelasan saya dan suka akan penjelasan mantap saya.


Cikgu Tan CL

PERBEZAAN “CINTA AKAN” DAN “CINTA KEPADA”

 ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB

SOALAN(3)

PERBEZAAN “CINTA AKAN” DAN “CINTA KEPADA”

EPITOME BAHASA 15

[KATA SENDI NAMA "AKAN"]


JAWABAN: 

Kata tugas mempunyai fungsi yang pelbagai dan variasi makna. Untuk menjawab soalan anda, lihatkan makna dan fungsi kata sendi nama “akan” dan “kepada” dalam Tatabahasa Dewan. Kata sendi nama “akan” mempunyai peranan yang penting dalam ayat berbahasa Melayu selain berfungsi sebagai kata sendi nama.


Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. 


Kesilapan umum penggunaan kata sendi nama "akan" ialah penggunaan kata adjektif emotif/perasaan yang diikuti akhiran  -kan yang dianggap berfungsi sebagai kata sendi nama. Kata sendi nama "akan" dan akhiran "-kan" berbeza. Jangan rojakkan penggunaannya.


Contohnya: 

1. 

Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅

Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌


2. 

Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. ✅

Semua rakyat mesti sayangkan negara tempat tumpah darahnya. ❌


3

Anak raja itu berahi akan Tuan Puteri Bongsu. ✅

Anak raja itu berahikan Tuan Puteri Bongsu. ❌


4. 

Kami sungguh benci akan kelakuannya yang buruk itu. ✅

Kami sungguh bencikan kelakuannya yang buruk itu. ❌


5.

Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅

Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌


Lihat pula fungsi dan peranan kata sendi nama “kepada”.  Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:


(h) sasaran merujuk manusia

...... menghantar surat kepada ibu.... ✅

...... menghantar surat ke ibu ...... ❌


(i) sasaran merujuk haiwan

...... menghadiahkan kucing kepada kakak...... ✅

...... menghadiahkan kucing ke kakak ...... ❌


(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)

...... penting kepada negara Malaysia.... ✅

...... penting pada negara Malaysia ...... ❌

(k) menyatakan pecahan

...... terbahagi kepada dua kumpulan...... ✅

...... terbahagi ke dua kumpulan ...... ❌


(l) menyatakan perubahan keadaan

...... daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ......✅

...... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ...... ❌


...... daripada sedih kepada gembira...... ✅

...... daripada sedih ke gembira ......❌


Langkah seterusnya ialah kita harus mengkaji “Kata Adjektif Perasaan”.  Kata adjektif ini terdiri daripada perkataan yang membawa pengertian konsep perasaan, sebagai penerang kata nama dan diikuti oleh kata sendi nama. 


Contohnya: 

rindu     berahi 

benci     ragu 

segan     kasih 

suka     cinta 

gembira   marah 


Contoh penggunaannya dalam ayat: 

75. Dia amat rindu akan emaknya. 

76. Saya sungguh benci dengan kelakuan buruknya. 

77. Gadis itu amat segan untuk bertanya. 

78. Dia suka sungguh dengan perangai pemuda itu. 

79. Anak kecil itu gembira sekali dengan permainan itu. 

80. Kami semua amat kasih akan guru itu. 

81. Anak raja itu berahi akan Puteri Bongsu. 

82. Dia masih ragu terhadap kejujuran pembantunya. 

83. Setiap rakyat harus cinta pada tanah airnya. 

84. Ketua pejabat itu marah terhadap kecuaian keraninya.


SUMBER ILMU: Tatabahasa Dewan


Daripada ayat contoh 75 - ayat contoh 84, kita boleh melihat pelbagai kata sendi yang menerima kata adjektif perasaan. Kata sendi nama “akan”, “terhadap”, “pada”, “dengan” mahupun “kepada” juga sesuai mengikut semantik ayat. 


Oleh sebab itu, adakah kata adjektif perasaan boleh diikuti kata sendi nama lain daripada “akan”? Jawabannya boleh tetapi bersyarat dengan memastikan maknanya tidak tersimpang oleh fungsi kata sendi nama atau kata tugas yang tertentu. 


Saya cinta akan negara. ✅

Saya meluahkan perasaan cinta kepada Ivvy. ✅

Saya menghantar surat cinta kepada Fazleen. ✅


ALAM BIMBINGAN CIKGU TAN (ABCT)

Pautan Grup Telegram ABCT: https://t.me/+NvDP8gPhZFIwNDJl 

NOTA DAN LATIHAN DIKONGSIKAN DARI MASA KE MASA


TEL: 0122099440 (Sebarang pertanyaan bahasa, bengkel, kelas, dan bimbingan subjek Bahasa Melayu.)

18 May 2024

22 April 2024

PERIBAHASA POPULAR DALAM KARANGAN

 

PERIBAHASA POPULAR DALAM KARANGAN

1. ..... hubungan yang rapat bagai isi dengan kuku.

2. .... bekerjasama bagai aur dengan tebing.

3. .... menghargai masa kerana masa itu emas.

4. ..... mestilah insaf akan kesilapan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

5. ....bersiap sedia lebih awal kerana kita mestilah sediakan payung sebelum hujan

6. ..... bersama-sama menghadapi kesusahan dan kesenangan berlandaskan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

7....... remaja hari ini ialah pemimpin pada masa depan kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.

8. ..... ibu bapa menjaga kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.

9. ..... mestilah menimba ilmu kerana ilmu pelita hidup.

10. .... mestilah menjauhi perkara yang negatif kerana buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

 

SAMPEL:

 

        Remaja pada hari ini ialah pemimpin pada masa depan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, berkaliber, berketerampilan dan berminda kelas pertama, remaja mestilah menanam amalan membaca untuk menyuburkan minda sekali gus membuahkan ujana kejayaan. Kata ahli filsuf Tao, “jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia”. Sekiranya masa depan remaja kita tidak dipelihara, negara akan kehilangan mutiara yang paling berharga untuk menjadi pelapis kepimpinan negara. Walau bagaimanapun, remaja pada hari ini tidak menjadikan buku sebagai teman hidup mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih suka bertemankan permainan video dalam peranti. Untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja pada hari ini, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak?

          Peranan yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja ialah kempen membaca secara besar-besaran. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen membaca dapat meningkatkan kesedaran remaja khususnya tentang kepentingan menimba ilmu daripada amalan membaca.  Kalau kamu menjadi pohon kayu, jadilah pohon kayu yang tumbuh gagah di rimba, hidupnya sentiasa bersaing dan berjuang dengan pohon-pohon lain untuk mendapat tempat yang kukuh dan terjamin. Sebaliknya, janganlah menjadi pohon bunga yang ditanam di dalam pasu yang sentiasa mengharapkan dirinya sentiasa disiram dan dibajai. Jika tidak, pokok bunga itu akan menjadi layu dan seterusnya akan mati. Sebagai contohnya, agensi kerajaan seperti Perpustakaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bolehlah menjalankan kempen membaca secara agresif dan proaktif dari Perlis ke Johor dan dari Sabah ke Sarawak. Dengan berbuat begitu, remaja akan dapat melibatkan diri dalam kempen membaca sekali gus menyuburkan amalan membaca dalam diri. Pada masa yang sama, remaja juga akan menjadikan buku sebagai teman hidup mereka. Impaknya, kerajaan haruslah bekerja keras untuk menganjurkan kempen membaca agar remaja dapat memupuk amalan yang mulia dalam kehidupan mereka kerana membaca jambatan ilmu.

          Sebagai penghias bicara akhir, amalan membaca mestilah dipupuk dalam kalangan remaja pada hari ini oleh semua pihak. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing agar dapat menyuburkan dan menghidupkan amalan membaca dalam kalangan remaja. Saya yakin bahawa amalan membaca dapat menjadi kunci utama untuk membuka pintu kejayaan demi mendaki gunung cita-cita. Daripada persepsi yang lain, saya berpendapat bahawa remaja yang menimba ilmu daripada amalan membaca dapat menjadi pemimpin yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Wahai remaja, ingatlah bahawa ilmu pelita hidup! Dengan ilmu pengetahuan daripada amalan membaca kita dapat berdiri gagah dan teguh di puncak kejayaan. Kesimpulannya, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka agar dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.

 

 

 

 

 

13 June 2023

LATIHAN PENGUKUHAN PERIBAHASA

 LATIHAN PENGUKUHAN PERIBAHASA

 Isi setiap ayat di bawah dengan peribahasa yang paling sesuai.


1. Pemain badminton itu digelar ___________________ dalam pasukannya kerana dialah yang banyak memberikan mata kejayaan kepada pasukannya.

2. Jasa datuk saya sebagai guru besar terus diingati kerana ___________________ apabila namanya diangkat sebagai nama sekolah di kampung saya.

3. Sekiranya rajin berusaha, kita akan ___________________ dengan rakan-rakan yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum.

4. Kakak dikatakan menerima nasib ___________________ kerana dia meletakkan jawatan sebagai guru selepas menerima maklumat bahawa temu duga pembaca berita bakal dijalankan.

5. Apabila kita menangguhkan kerja, banyak urusan lain akan tergendala kerana ___________________.

6. Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas bahawa beliau akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang terlibat dalam aktiviti ___________________.

7. Jika kita selalu ___________________ dengan kawan, hubungan sesama kita akan terjejas.

8. Kerja yang sukar akan menjadi lebih mudah sekiranya kita sedar akan hakikat bahawa ___________________.

9. Setiap manusia harus mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelakkan segala penyakit berbahaya kerana ___________________.

10. Jadilah orang yang selalu baik hati kerana ___________________ apa-apa daripada sesiapa demi kebahagiaan hidup.

17 May 2023

Modul Bengkel Ramalan BM SPM

Modul Bengkel Ramalan BM SPM (8 set Kertas 1 & Kertas 2) disediakan untuk murid-murid dan guru-guru sebagai latihan dan rujukan dengan harga yang paling berpatutan. Hal ini dikatakan demikian kerana video rakaman selama 4-6 jam disediakan bagi setiap modul untuk memudahkan kefahaman dan penguasaan anda dalam subjek Bahasa Melayu. 


Pautan Pembelian:

https://shopee.com.my/product/53741750/10611370043/

18 January 2023

KEISTIMEWAAN MALAYSIA

 Negara Malaysia terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang sering menjadi pilihan utama pelancong seluruh dunia. Ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi percutian utama sekeluarga. Jarak Malaysia yang agak jauh dari benua Eropah tidak menjadi penghalang kepada pelancong yang ingin mengunjungi negara kita yang penuh dengan daya tarikan ini. Selaras dengan peribahasa Melayu hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, para pelancong sanggup menempuh penerbangan jauh semata-mata untuk menyaksikan keunikan Malaysia dengan mata kepala sendiri. Soalnya, apakah keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di negara Malaysia yang begitu menarik sehingga mengundang para pelancong?

Pertamanya, Malaysia istimewa sekali kerana memiliki pantai yang bersih lagi cantik. Pemandangan pantai yang indah digabungkan dengan cuaca yang panas dan lembap merupakan sebab utama pantai negara kita sering disenaraikan dalam katalog Pantai-pantai Tercantik di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menjamin iklim tropikanya sepanjang tahun. Sebagai contohnya, Pantai Cenang di Langkawi yang popular dalam kalangan pelancong disebabkan oleh keindahan pemandangan matahari terbenam dan pasir putih yang berkilauan di Pulau Redang membuatkan para pelancong berasa teruja dan berpuas hati dengan destinasi pelancongan mereka kerana keunikannya memang terserlah serta bukanlah indah khabar daripada rupa sahaja. Kesannya, peningkatan jumlah pelancong yang bercuti di pantai-pantai Malaysia memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk kita. Tuntasnya, kita mengetahui bahawa pantai yang bersih dan cantik merupakan keistimewaan di negara Malaysia. 
Seterusnya, Malaysia bertuah kerana dikurniakan pelbagai jenis makanan tempatan yang sangat unik. Tarikannya terletak pada sajian istimewa daripada pelbagai air tangan bangsa dan kebudayaan yang diwarisi secara turun-temurun. Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta, maka para pelancong yang menjejakkan kaki di tanah air kita mestilah mengenali makanan di Malaysia sebagai langkah pertama menghayati budaya negara kita yang berbilang bangsa. Misalnya, sate, lemang, mi goreng mamak, makanan laut, kuetiau goreng dan nasi lemak merupakan antara juadah seharian masyarakat tempatan yang digemari oleh ramai pelancong. Hasilnya, masakan tradisional menjadi produk pelancongan yang utama dan kerap menghiasi video pelancongan yang ditayangkan di pameran pelancongan pada peringkat antarabangsa. Pokoknya, jelaslah kepada kita bahawa pelbagai jenis makanan tempatan menjadikan Malaysia sangat istimewa di mata dunia. 
Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam termoden ialah keistimewaan Malaysia yang sering kita terlepas pandang. Kemudahan tersebut memberikan kebebasan kepada pelancong untuk bergerak ke mana-mana tanpa memerlukan pihak hotel untuk mengaturkan pengangkutan khas untuk mereka. Sebagai contohnya, sistem tren komuter, sistem tren elektronik, kapal terbang, teksi dan bas merupakan antara pengangkutan awam yang sentiasa sedia untuk digunakan oleh para pelancong mahupun penduduk tempatan. Kemudahan tersebut turut memudahkan jurupandu pelancongan membawa pelancong ke pusat pelancongan malah menjimatkan perbelanjaan kerana kosnya rendah. Selaras dengan bajet percutian mereka, para pelancong dapat berbelanja mengikut kemampuan masing-masing persis kata mutiara ukur baju di badan sendiri sewaktu memilih sistem pengangkutan awam agar tidak melebihi perancangan perbelanjaan mereka. Sesungguhnya, sudah terbukti bahawa negara Malaysia makin istimewa di dalam hati pelancong kerana kemudahan pengangkutan awam yang disediakan ini. 
Akhirulkalam, industri pelancongan Malaysia perlu dimajukan dengan semua keistimewaan di atas agar potensi sektor pelancongan negara mampu dimaksimumkan untuk menguntungkan ekonomi tempatan. Rakyat negara disarankan agar menjaga kebersihan watan tercinta terutamanya di lokasi tumpuan pelancong, memelihara kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang agar tidak lapuk ditelan zaman serta menjaga kesopanan antara satu sama lain khususnya apabila berhadapan dengan para pelancong. Dengan kerjasama antara pihak kerajaan dan para rakyat, diharapkan bahawa Malaysia pasti mampu menjadi pusat pelancongan utama di peta dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara jiran kita. Tegasnya, semua pihak wajarlah mengetahui semua keistimewaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan supaya dapat membawa kepada peningkatan kemajuan dalam sektor pelancongan tempatan. 

14 November 2022

LATIHAN PERIBAHASA

 LATIHAN PERIBAHASA

Lengkapkan peribahasa di bawah.

 

1.         di mana ada kemahuan, _________________________________________.

2.         hendak seribu daya, ____________________________________________.

3.         hujan emas di negeri orang, ______________________________________.

4.         sampan sudah di air, ____________________________________________.

5.         di mana bumi dipijak, ___________________________________________.

6.         seliang bagai tebu, _____________________________________________.

7.         kerana pulut santan binasa, ______________________________________.

8.         sesal dahulu pendapatan, ________________________________________.

9.         kalau takut dilambung ombak, ____________________________________.

10.      tak tahu menari, _______________________________________________.

11.      tak basah dek hujan, ____________________________________________.

12.      berat sama dipikul, _____________________________________________.

13.      ke bukit sama mendaki,__________________________________________.

14.      cubit paha kanan, ______________________________________________.

15.      enggang sama enggang, ________________________________________.

16.      gajah mati meninggalkan tulang, __________________________________.

17.      jika tidak dipecahkan ruyung, _____________________________________.

18.      kais pagi makan pagi, ___________________________________________.

19.      lembu punya susu, _____________________________________________.

20.      orang berbudi kita berbahasa, ____________________________________.

21.      ringan sama dijinjing, ___________________________________________.

22.      sepandai-pandai tupai melompat, __________________________________.

23.      yang dikejar tak dapat, __________________________________________.

24.      ingat sebelum kena, ____________________________________________.

25.      kecil tapak tangan, _____________________________________________.

26.      kuman di seberang laut nampak, __________________________________.

27.      sekali jalan sesat, ______________________________________________.

28.      yang baik dijadikan teladan, ______________________________________.

29.      bulat air kerana pembetung, ______________________________________.

30.      duduk sama rendah, ____________________________________________.

31.      hati gajah sama dilapah, _________________________________________.

32.      masuk kandang kambing mengembek, _____________________________.

33.      berakit-rakit ke hulu, ____________________________________________.

34.      yang bulat tak datang bergolek, ___________________________________.

35.      biar mati anak, ________________________________________________.

36.      anjing menyalak bukit, __________________________________________.

37.      seekor kerbau membawa lumpur, __________________________________.

38.      laksana bunga dedap, ___________________________________________.

39.      berat mata memandang, _________________________________________.

40.      kalau asal benih yang baik, _______________________________________.

41.      ______________________________________cakap malam dengar-dengar.

42.      __________________________________________, lain lubuk lain ikannya.

43.      _______________________________, menggolek rosak, kena golek binasa.

44.      _____________________________________, hidup enggan mati tak mahu.

45.      __________________________, sudah dipetik lama-lama matilah pokoknya.

46.      _______________________________________, lautan dalam usah diduga.

47.      _____________________________________, besar jangan disangka bapa.

48.      ________________________________________, masuk ke mulut harimau.

49.      ___________________________________________, sekali pantai berubah.

50.      ___________________________________, pelanduk mati di tengah-tengah.

51.      ________________________________________, tidak akan hilang bisanya.

52.      ___________________________________________, balik ke pangkal jalan.

53.      _____________________________________________, seciap bagai ayam.

54.      ___________________________________________, mati dikandung tanah.

55.      ___________________________________, ikut rasa binasa, ikut mata leta.

56.      ______________________________________, bercakap peliharakan lidah.

57.      ___________________________________, jika manusia dipegang janjinya.

58.      ________________________________________, sudah tahu jantan betina.

59.      ___________________________________________, pemudi tiang negara.

60.      ______________________________________, di laut sekalipun timbul juga.

61.      ______________________________________, jatuh ke laut menjadi pulau.

62.      _____________________________________________, takut kerana salah.

63.      __________________________________________, rosak susu sebelanga.

64.      _________________________________________, untung batu tenggelam.

65.      ____________________________________, ada beras semua kerja deras.

66.      ____________________________________________, ada buat ada balas.

67.      _____________________________________ jangan disangka tiada buaya.

68.      ____________________________________ biar sampai ke pangkal lengan.

69.      _________________________________, lautan mana yang tidak berombak.

70.      _____________________________________, hujung hilang pangkal lesap.

71.      ______________________________________________, turun seperti ribut.

72.      _____________________________________, diam-diam penggali berkarat.

73.      _______________________________________________, diluah mati bapa.

74.      ____________________________________________ adakala tergigit juga.

75.      ___________________________________________, murid kencing berlari.

76.      __________________________________, apakan daya tangan tak sampai.

77.      ___________________________________________ pipi tersorong-sorong.

78.      _________________________________________________, esok hari kita.

79.      _____________________________________________ kalau tidak ke nasi.

80.      ______________________________________________, parut tinggal juga.

81.      _______________________________________ air di tempayan dicurahkan.

82.      _____________________________ mulut manusia bagaimana menutupnya.

83.      _______________________________________________ ulam mendatang.

84.      bagai burung _________________________________________________.

85.      bagai burung dicabut ___________________________________________.

86.      Terlepas dari mulut buaya, _______________________________________.

87.      Harimau bertempik _____________________________________________.

88.      Gagak lalu ____________________________________________________.

89.      Gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, ____________________________.

90.      Hitam gagak tiada siapa _________________________________________.

91.      Seperti burung gagak pulang _____________________________________.

92.      ular bukan, ___________________________________________________.

93.      sekerat ular ___________________________________________________.

94.      ular dipukul jangan mati, _________________________________________.

95.      seperti memalu ular dalam benih, __________________________________.

96.      bagai ular dengan ______________________________________________.

97.      hidup dikandung adat, ___________________________________________.

98.      datang seperti ribut, _____________________________________________.

99.      tuah ayam nampak di kaki, _______________________________________.

100.  sayang di anak dilecuti, __________________________________________.

Nak dapat jawaban? WhatsApp Cikgu Tan 0122099440