28 December 2021

Terima kasih

Musim hujan dan banjir ini menyebabkan banyak informasi tersebar, terutamanya yang berkaitan dengan ramalan cuaca dan amaran tanah runtuh. Yang suka menggunakan “terima kasih info” terlalu ramai sehingga kata-kata itu terserap dalam jiwa walaupun rancu. Dari sisi masa, mungkin pengguna bahasa ingin menyampaikan terima kasih kepada pemberi info tersebut dengan cepatnya tetapi tersilap dalam kata-kata sehingga si pemberi maklumat sedih kerana si penerima hanya mengucapkan terima kasih kepada info, bukan kepada pemberi info.

“Terima kasih info” bermakna kita mengucapkan terima kasih kepada “info” yang seolah-oleh objek yang hidup. Kesilapan ini perlu dibaiki dengan beberapa cara. Lihat contoh di bawah.
(1) Terima kasih.
(2) Terima kasih atas info.
(3) Terima kasih kerana memberikan info.
(4) Terima kasih ya.
Terima kasih kerana sudi membaca luahan saya. Budi bahasa budaya kita.

Pengguna bahasa Melayu memang pelik.

 Pengguna bahasa Melayu memang pelik.

(1) Kenapakah “tengah malam” dapat dieja dengan betulnya tetapi “tengah hari” dieja “tengahari”?
(2) Kenapakah “kadangkala” dieja “kadang-kala” walaupun tiada unsur gandaan berlaku?
(3) Kenapakah “sampah sarap” dieja “sampah-sarap” padahal “sarap” dan “sampah” boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan tanda sempang sebagai jambatan bagi membentuk kata ganda?
(4) Kenapakah “insurans” dieja “insuran” padahal “s” dalam bahasa Melayu terbentuk daripada “ce” dalam bahasa Inggeris seperti “ambulance” kepada ambulans?
(5) Kenapakah “saling bantu-membantu” suka ditulis oleh pengguna bahasa walaupun mereka tahu “bantu-membantu” sudah membawa “saling”?
Fikir-fikirkan.

14 December 2021

"Semoga bahagia" tidak gramatis?

Musim perkahwinan sudah tiba. Pengguna bahasa akan menggunakan ayat-ayat berikutnya dalam ucapan mereka.

(1) Semoga bahagia.
(2) Semoga bahagia hingga ke syurga.
(3) Semohga bahagia sampai ke syurga.
Beberapa kesilapan dalam ayat di atas perlu kita baiki untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan ayat seperti di atas acap kali kita dengar daripada kawan dan sanak saudara dalam majlis perkahwinan. Sebagai guru bahasa, tanggungjawab kita adalah untuk membetulkan kesilapan ini agar pengguna bahasa mengenali dan menghargai penggunaan bahasa Melayu yang standard.
"Semoga" ialah kata hubung pancangan keterangan harapan. Oleh sebab itu, ayat "semoga kekal bahagia" ialah ayat yang tidak lengkap dan tidak gramatis. Ayat yang lengkap adalah seperti yang berikut.
(a) Saya berdoa agar kalian bahagia.
Ayat di atas dapat dicerakinkan/dipisahkan kepada dua ayat, yakni:
(a1) Saya berdoa.
(a2) Kalian bahagia.
Kata hubung: semoga.
Selain itu, "sehingga ke syurga jannah" juga merupakan kelewahan bahasa yang sering kali kita dengar dalam majlis perkahwinan. Hal ini dikatakan demikian kerana "hingga", "sampai" ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat. [Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 284]
Di samping itu, kata sendi nama "ke" juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang ditujui, dan digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa. [Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 266]
Oleh sebab itu, ayat yang gramatis ialah:
(2a) Saya berdoa semoga kalian bahagia hingga syurga jannah.
(2b) Saya berdoa semoga awak bahagia hingga jannah.
(2c) Saya berdoa semoga kalian bahagia sampai syurga.
(2d) Saya berdoa semoga awak bahagia sampai jannah.
(2e) Saya berdoa semoga kalian bahagia dari hari perkahwinan ini ke syurga.
(2f) Saya berdoa semoga awak bahagia dari hari perkahwinan ini ke jannah.
Walau bagaimanapun, ejaan "jannah" dan "jannat" pula membawa maksud yang sama, iaitu syurga, taman firdausi. [Kamus Dewan]
Banyak ucapan yang boleh kita gunakan. Gunakan ucapan yang betul dari segi bahasa, elakkan ucapan yang menurunkan martabat bahasa.
Saya berharap semoga anda dapat sedikit pengetahuan tentang ayat ucapan tahniah bersempena dengan musim perkahwinan pada cuti sekolah ini.
Akhir sekali, terimalah beberapa rangkap pantun berkaitan dengan syurga jannah daripada Telegram Kumpulan Pantun yang hamba selenggarakan sejak beberapa tahun yang lalu.
Buah selasih buah delima,
Dibeli si hawa bertudung merah;
Andai kasih hamba terima,
Hamba bawakan ke syurga jannah.
Terbang bersisih burung unta,
Bayu ditempuh di bumi sendiri;
Dulang kasih beralas cinta,
Pasti kukuh cinta terpateri.
Kacang tanah barang sepauh,
Disusun selisih dengan hama;
Syurga jannah perjalanan jauh,
Mahukah kasih tempuh bersama.
Puncak mahligai tinggi di kayangan,
Duduk si puteri menunggu pujaan;
Andai jauh jannah di awanan,
Rela kutempuh walau api lautan.
Selamat bercuti.

3 December 2021

OK atau ok atau O.K atau O.K. atau okey?

 OK atau ok atau O.K atau O.K. atau okey?

Pengguna bahasa mementingkan kefahaman tetapi tidak mementingkan ejaan. Bagi mereka, yang penting ialah mereka faham akan perkara yang disampaikan. Hal ini juga terjadi dalam tulisan kerana pengaruh bahasa perbualan dan bahasa sistem pesanan ringkas. Manusia menjadi semakin hari semakin malas untuk menukar paparan daripada abjad kepada simbol dalam telefon pintar. Oleh sebab itu, kesilapan demi kesilapan dalam mesej terjadi sehingga diserap dalam minda sebagai sesuatu yang betul dan diterima.
Perkataan OK ialah ejaan yang tidak menepati catatan dalam Kamus Dewan mahupun Kamus Dewan Perdana. Hal ini dikatakan demikian kerana "ok" yang tercatat dalam halaman 1094, Kamus Dewan dan halaman 1555 dalam Kamus Dewan Perdana membawa maksud "buluh".
Perkataan "O.K." dalam halaman yang sama dalam Kamus Dewan dan halaman 1552 dalam Kamus Dewan Perdana membawa pengertian ya, baiklah, akur, bersetuju.
Pengguna telefon pintar yang malas menukar paparan huruf kepada simbol akan mengabaikan tanda noktah dalam perbualan dan sembang maya mereka. Hal ini menyebabkan ejaan yang tepat dan yang sebenar-benarnya tidak lagi digunakan seluas-luasnya. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa singkatan seperti ini tidak perlu risau. Hal ini dikatakan demikian kerana halaman 1555 dalam Kamus Dewan Perdana juga mencatatkan "okey" dan "okeylah" sebagai padanan kepada makna perkataan O.K. Dengan melembutkan kata-kata dan maksud kita, gunalah partikel -lah. Hal ini bermakna bahawa okeylah membawa maksud baiklah atau yalah manakala okey membawa maksud menyatakan persetujuan atau akur pada permintaan.
Kesimpulannya, lihatlah ringkasan senarai yang betul dan salah dari segi ejaan.
OK (salah)
OK. (salah)
O.k (salah)
O.K (salah)
o.k (salah)
o.k. (salah)
ok (betul) maksud "buluh" dan "tunggu sebentar".
O.K. (betul)
okey (betul)
okeylah (betul)
Selepas membaca maklumat di atas, kita akan terus menggunakan "ok" dan "Ok" serta "OK" dalam perbualan. Hal ini berlaku demikian kerana kita masih selesa berbuat begitu dan ingin menyampaikan maklumat dengan cepat dan pantas kerana banyak lagi mesej yang perlu dijawab. Oleh sebab itu, mesej dalam perbualan maya dan sembang dalam aplikasi media sosial hanyalah untuk tujuan tidak formal dan kurang mementingkan ejaan yang tepat dan penggunaan kata yang tepat kerana pihak kedua hanya perlu memahami kata-kata kita dalam masa yang paling cepat. Kadangkala, 2 hingga 3 saat pertukaran paparan halaman huruf kepada simbol dalam telefon pintar boleh mengubah kualiti bahasa yang kita gunakan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.
Sekadar perkongsian maklumat dalam pencarian ilmu.

28 November 2021

KATA SENDI NAMA "TERHADAP" DAN "TENTANG"

 Saya ingin memenuhi permintaan seorang guru yang menantikan perkongsian saya tentang kata sendi nama “terhadap”. Untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci, saya juga membandingkannya dengan kata sendi nama "tentang".

KATA SENDI NAMA "TERHADAP"
Kata sendi nama terhadap biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan, atau benda. Sebagai contohnya, rujuk ayat-ayat contoh di bawah.
1. Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya.
2. Tanamilah rasa belas kasihan terhadap binatang.
3. Jangan bersikap biadab terhadap orang tua.
4. Kasih sayang Mariam terhadap ibu bapanya elok dicontohi.
5. Dalam air, tawas akan bertindak balas dengan air menghasilkan aluminium hidroksida yang mempunyai kuasa jerapan yang besar terhadap kotoran dan bahan pewarna.
6. Air bersifat lengai terhadap logam adi.
7. Kajian terhadap beberapa ekor lembu tenusu menunjukkan dapatan yang agak menarik.
Terdapat kecenderungan penggunaan kata sendi nama "terhadap" sebagai unsur yang membawa maksud rujukan umum atau mujarad atau abstrak (sesuatu yang tidak dapat dilihat dan dirasai). Dalam hal ini, penggunaan yang demikian harus digantikan dengan kata sendi nama tentang.
Lihat contoh seterusnya.
8. Ketua pejabat itu sentiasa curiga terhadap kejujuran anak buahnya.
(seharusnya: Ketua pejabat itu sentiasa curiga tentang kejujuran anak buahnya.)
9. Penghulu itu mengambil berat terhadap kebajikan orang kampung.
(seharusnya: Penghulu itu mengambil berat tentang kebajikan orang kampung.)
10. Kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap kesejahteraan rakyat.
(seharusnya: Kerajaan sentiasa memberikan perhatian tentang kesejahteraan rakyat.)
KATA SENDI NAMA "TENTANG"
Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad (tidak dapat dilihat atau dirasai). Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Sebagai contohnya, lihat ayat-ayat di bawah.
11. Mereka berbincang tentang masalah negara.
12. Kami berbual tentang kejadian rompakan itu.
13. Tentang perkara itu, kami perlu merujuk ketua kami dahulu.
14 Aduan tuan tentang kelewatan bayaran itu sedang dibincangkan dalam mesyuarat.
15. Ceritanya tentang soal pengabdian kepada Tuhan.
Kata sendi nama tentang sering juga digantikan penggunaannya dengan bentuk mengenai. Perlu diingat bahawa perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
16. Tembakan pemburu itu mengenai/kena pada sasarannya.
17. Bola yang ditendangnya mengenai/kena pada palang gol.
18. Anak panah itu mengenai/kena pada dada penjahat itu.
19. Kata-kata caciannya itu mengenai dirinya sendiri.
20. Penyakit ini lebih kerap mengenai/kena pada kanak-kanak daripada orang dewasa.
Walau bagaimanapun, penggunaan mengenai yang disamakan dengan tentang serupalah dengan penggunaan bentuk kata kerja lain seperti melalui, mengikuti dan menerusi, iaitu berfungsi sebagai kata sendi nama walaupun kata-kata ini sebenarnya tergolong dalam kata kerja. Contoh penggunaan kata kerja ini sebagai kata sendi nama adalah seperti yang berikut:
21. Antara laporan yang disediakan itu termasuklah ringkasan mengenai/tentang keperluan tenaga manusia dan keperluan kemudahan.
22. Berita kematiannya dihebahkan melalui radio.
Oleh sebab itu, kata sendi nama "terhadap" diikuti oleh unsur konkrit hidup atau tak hidup tetapi kata sendi nama "tentang" diikuti unsur abstrak.

25 November 2021

KENALILAH "DALAM" YANG SUNGGUH DALAM DALAM USAHA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU YANG BETUL DI DALAM BILIK DARJAH


Kata adjektif "dalam" jarang-jarang disalah tulis oleh pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana ayatnya mudah difahami dan maksudnya pun sampai. Sebagai contohnya, baca ayat-ayat di bawah:
(1) Cintaku padanya dalam seperti laut.
(2) Longkang itu sungguh dalam dan berbahaya.
(3) Parit di kampung itu sama dalam dengan parit di kampung saya.
Kata arah "dalam" dan kata sendi nama "di dalam" pula mudah menyebabkan pengguna bahasa keliru. Pengguna bahasa keliru kerana mereka tidak dapat membezakan kata sendi nama dengan kata arah. Sebagai contohnya, baca ayat-ayat di bawah.
(4) Murid berada di dalam auditorium. (kata arah "dalam")
(5) Doktor sedang menjalankan pembedahan di dalam dewan bedah. (kata arah "dalam")
(6) Guru sedang bermesyuarat di dalam bilik persidangan. (kata arah "dalam")
(7) Kakak saya dalam usaha menyelesaikan tugasnya. (kata sendi nama "dalam")
( 8 ) Wanita itu dalam perjalanan ke lapangan terbang. (kata sendi nama "dalam")
(9) Guru subjek Bahasa Melayu itu berani bercakap dalam mesyuarat. (kata sendi nama "dalam")
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata adjektif.
(1) boleh menerima atau diikuti kata penguat
(2) boleh dibandingkan dengan awalan se- dan menerima "sama" yang diikuti kata sendi nama "dengan"
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata arah yang membentuk frasa sendi.
(1) hadir selepas kata sendi "ke" atau "di" dan diikuti kata nama konkrit.
(2) membawa maksud ruang atau melibatkan maksud ruang dan arah.
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata sendi nama.
(1) boleh diikuti kata nama
(2) tidak boleh diikuti kata kerja
Kesilapan paling umum dalam kalangan pengguna bahasa
(10a) *Kakak berada dalam kereta. (salah)
(10b) Kakak berada di dalam kereta. (betul)
(11a) *Ibu bijak dalam menyelesaikan masalah itu. (salah)
(11b) Ibu bijak dalam usaha menyelesaikan masalah itu. (betul)
(12a) *Kejayaannya di dalam bidang sukan membanggakan keluarga. (salah)
(12b) Kejayaannya dalam bidang sukan membanggakan keluarga. (betul)
(13a) *Kakak sudah masuk dalam bilik doktor. (salah)
(13b) Kakak sudah masuk ke dalam bilik doktor. (betul)
(14a) *Adik di dalam perjalanan ke Johor. (salah)
(14b) Adik dalam perjalanan ke Johor. (betul)
Saya berharap agar pengguna bahasa akan cakna akan perbezaan antara kata sendi nama “dalam”, dengan kata arah “dalam” yang membentuk frasa sendi nama “di dalam” dan kata adjektif “dalam”. Demikianlah uniknya bahasa kebangsaan kita.
Kalimat bertanda intonasi bergaya,
Bahasa bersahaja memikat jiwa.
Unsur bergabung tutur bersambung,
Logik dan gramatis pasti tergabung.
Kemasnya ejaan bernasnya bacaan,
Indahnya tulisan jadi pedoman.
Kalimat bersusun ayat bersantun,
Terukir syair mahupun pantun.
Kalimat bersendi ayat berpaksi.
Kukuh berdiri kata dan diksi.

18 October 2021

Adakah frasa "harap jangan" betul?

Tutor LYS: Cikgu Tan, ayat “Harap jangan berludah.” salah, kan? Sebabnya ialah ada dua kata perintah hadir berderetan.

Cikgu Tan: Jangan berfikiran begitu. Kaji Tatabahasa Dewan, terutamanya bahagian ayat perintah. Anda akan mendapat jawabannya. Sebelum membelek Tatabahasa Dewan, anda sudah menghukum ayat di atas tu salah. Hal ini perbuatan yang terburu-buru. Setiap konsep ada budi bicara dan toleransi bahasa. Begitulah indahnya bahasa Melayu dan tatabahasanya.
Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti berikut:
1. Jangan
2. Usah
3. Tak usah
Penggunaan kata larangan lazimnya dapat kita perhatikan sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Oleh sebab itu, penggunaan kata larangan yang bertindih dengan kata permintaan dianggap lewah. Selain itu, bentuk ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif. Oleh sebab itu, ketidakgramatisan berlaku dalam perturan harian seperti yang berikut:
1.
Sila jangan merokok. ❌
Jangan merokok. ✔️
Sila merokok. ❌
2.
Tolong jangan buat bising. ❌
Tolong diam.✔️
Jangan buat bising.✔️
Tolong jangan ambil beg saya. ❌
Tolong ambil beg saya. ✔️
Jangan ambil beg saya. ✔️
3.
Minta jangan berludah di sini. ❌
Jangan berludah di sini. ✔️
PERINGATAN!
Ayat larangan dapat juga dilembutkan dengan menggunakan perkataan “harap” pada bahagian depannya.
Contohnya adalah seperti yang berikut:
Harap jangan merokok. ✔️
Harap jangan ambil. ✔️
Harap jangan berludah. ✔️
Cikgu Tan: Faham tak?
Tutor LYS: Faham, terima kasih.
Cikgu Tan: Terima kasih kembali.

Antara "terhibur oleh" dengan "terhibur dengan" dan "terhibur akan", yang manakah gramatis?

 Ada seorang guru bertanya kepada saya. Cikgu Tan, yang manakah frasa yang betul?
(1) terhibur oleh
(2) terhibur dengan
(2) terhibur akan

Pada lazimnya, guru-guru yang bertanya soalan hanya mahu mendapatkan jawaban tetapi tidak mahu mencari sebab jawaban itu betul atau salah. Dengan hanya memberikan jawaban tanpa menerangkan sebabnya, murid tidak akan faham akan sebabnya sampai bila-bila.

Langkah pertama ialah kita harus mengetahui fungsi kata "terhibur". Makna perkataan "terhibur" yang pertama ialah kata kerja tak transitif (KKTT). Sebabnya ialah kata kerja ini boleh hadir sebagai predikat tanpa memerlukan pelengkap. 

Hatinya terhibur. 
Hassan sudah terhibur. 
Saya pasti terhibur.  

Selain mendukung makna kata kerja tak transitif, perkataan "terhibur" tidak dapat membawa makna frasa adjektif perasaan dengan kata penguat ter-. Hal ini dikatakan demikian kerana "hibur" tidak dapat berdiri sendiri tanpa imbuhan "ter-" yang membawa makna "keadaan tersedia", mengikut Tatabahasa Dewan, halaman 175. Oleh sebab itu, perkataan ini hanya tergolong dalam kata kerja tak transitif. 

Apabila tergolong dalam KKTT, terhibur boleh diikuti pelengkap. Antara pelengkap yang boleh hadir selepas KKTT ialah kata nama, kata adjektif, dan kata sendi nama. Oleh sebab itu, "oleh", "dengan" dan "akan" juga merupakan kata sendi nama yang boleh menerima KKTT. 

Walau bagaimanapun, kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif, mengikut Tatabahasa Dewan, halaman 282. 

Contohnya:
Wanita itu rindu akan anaknya.
Rakyat mesti cinta akan negara.
Ibu bapa sayang akan anak. 
Oleh sebab itu, frasa "terhibur akan" tidak boleh diterima kerana "terhibur" bukan kata adjektif berunsur emotif. 

Di sebaliknya, frasa "terhibur oleh" pula bagaimana? Adakah diterima? Untuk mengetahui jawabannya, kita mestilah mengetahui fungsi kata sendi nama "oleh" pula. Kata sendi nama "oleh" menurut Tatabahasa Dewan, halaman 283 ialah kata sendi nama ini digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud yang berikut:
(a) kata sendi nama "oleh" menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif yang menggunakan bentuk berikut: di-, ter-, dan kena.

Contohnya:
Kuih itu dibeli olehnya. 
Buku Pelita Bahasa Melayu terkarang oleh Za'ba.
Pencuri itu kena tangkap oleh polis. 

(b) Kata sendi nama "oleh" juga menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Oleh hal yang demikian, kata sendi nama "oleh" berpunca daripada "oleh sebab" yang kemudiannya berlaku pengguguran "sebab" secara pilihan, menurut Tatabahasa Dewan, halaman 283.

Contohnya:
Dia mati oleh senjatanya sendiri. (pengguguran "sebab")
Dia mati oleh sebab senjatanya sendiri. (ayat asal)

Pemain itu kalah oleh kekurangan latihan. (pengguguran "sebab")
Pemain itu kalah oleh sebab kekurangan latihan. (ayat asal)

Oleh ketekunannya menelaah, Ali mencapai keputusan yang cemerlang. (pengguguran "sebab")
Oleh sebab ketekunannya menelaah, Ali mencapai keputusan yang cemerlang. (ayat asal)

Jika melihat pada frasa "terhibur oleh" sebenarnya berpunca daripada frasa "terhibur oleh sebab". Maka, frasa ini sebenarnya gramatis kerana boleh menjadi seperti yang berikut:

Ali terhibur oleh persembahan penari. (pengguguran "sebab")
Ali terhibur oleh sebab persembahan penari. (ayat asal)

Dalam hal ini, frasa "terhibur oleh" gramatis sekiranya makna frasa atau ayat tersebut ialah "sebab". 

Bagaimanakah pula dengan "terhibur dengan"?

Jika kita membaca halaman 280, Tatabahasa Dewan, kata sendi "dengan" membawa makna
(a) bersama-sama/berserta
(b) cara sesuatu kerja itu dilakukan
(c) memakai/menggunakan, iaitu sebagai alat
(d) menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama.

Adakah fungsi (a) gramatis?
Ali terhibur dengan penonton yang lain. (asal)
Ali terhibur bersama-sama penonton yang lain. (makna)

Adakah fungsi (b) gramatis?
Ali terhibur dengan persembahan itu. (ayat bersusunan biasa). 
Dengan persembahan itu, Ali terhibur. (ayat bersusunan songsang)

Oleh sebab itu, fungsi (a) dan (b) juga sesuai dengan makna yang berbeza iaitu 
(1) Ali terhibur dengan penonton yang lain. 
Makna: Ali terhibur bersama-sama penonton yang lain. 

(2) Ali terhibur dengan persembahan itu. 
Makna: Ali terhibur dengan cara sesuatu persembahan itu dilakukan. 

Kesimpulannya, frasa "terhibur oleh" dan "terhibur dengan" juga gramatis tetapi bergantung pada makna yang cuba disampaikan dalam ayat tersebut. Oleh hal yang demikian, guru yang ingin bertanya tentang sesuatu frasa seelok-elokknya memberikan ayat yang lengkap agar makna ayat tersebut sampai juga kepada orang yang ditanya. 

Buah cempedak di luar pagar, 
     Ambil galah tolong tunjukkan, 
Saya budak baru belajar,
     Kalau salah tolong tunjukkan.

Cikgu Tan CL

12 July 2021

NOTA PDPR 19: PENJELASAN TERPERINCI KATA SENDI NAMA "DI"

 NOTA PDPR 19

PENJELASAN TERPERINCI KATA SENDI NAMA "DI"


Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Walaupun hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun tiap-tiap satu mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaannya ditentukan oleh peraturan yang khusus dan yang jelas. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau asa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.

Contohnya dalam ayat: 

1. Ibunya bekerja di sekolah itu. 

2. Pengembara itu sesat di dalam hutan. 

3. Pertunjukan itu diadakan di Kota Bharu. 

4. Dia menunggu kami di perhentian bas. 

5. Tambak Johor terletak di antara negeri Johor dengan Singapura. 


Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. 

Contohnya: 

6. Raja Iskandar memerintah pada zaman itu. 

(bukan: Raja Iskandar memerintah di zaman itu.) 


7. Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu. 

(bukan: Suasana amat tenang di pagi yang permai itu.) 


8. Dia masih bujang pada ketika itu. 

(bukan: Dia masih bujang di ketika itu.) 


9. Burung-burung pulang ke sarangnya pada waktu senja. 

(bukan: Burung-burung pulang ke sarangnya di waktu senja.) 


10. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak pada kurun ke-15. 

(bukan: Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak di kurun ke-15.) 


Banyak pengguna bahasa termasuk ibu bapa, murid-murid, dan masyarakat di Malaysia suka menyalahgunakan penggunaan "di" dalam tulisan mereka.

Contoh:

(a) Disamping itu, masalah sosial juga disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. ❌

(b) Saya meletakkan buku itu diatas meja.❌

(c) Lelaki itu akan di masukkan ke hospital petang ini.  ❌


Dalam ayat (a) "di" diikuti kata nama, iaitu "samping". Oleh sebab itu, perkataan "di" yang berfungsi sebagai kata nama yang diterima oleh tempat mesti ditulis jarak. Hal ini dikatakan demikian kerana tempat dan kata sendi nama tidak boleh ditulis rapat seperti kata kerja pasif.

Dalam ayat (b) "di" yang diikuti kata arah "atas" mestilah dijarakkan juga kerana kata sendi "di" dalam ayat itu diikuti oleh kata arah, bukan kata kerja. 

Dalam ayat (c) "di" ditulis pisah walaupun diikuti kata kerja. Inilah kesilapan paling umum dalam kalangan pengguna bahasa. Jika "di" diikuti kata kerja, maka perlu ditulis secara rapat kerana perkataan ini ialah kata kerja pasif.

Lihat ayat aktif dan ayat pasif di bawah:


Ali membawa buku ke pejabat. (pasif) ☑️

Buku dibawa oleh Ali ke pejabat. (pasif) ☑️


Oleh sebab itu, pembetulan seperti yang berikut perlu dilakukan.

(a) Di samping itu, masalah sosial juga disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.☑️

(b) Saya meletakkan buku itu di atas meja. ☑️

(c) Lelaki itu akan dimasukkan ke hospital petang ini. ☑️


UJI PDPR 19

Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian baiki kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat tersebut.


(i) Rumah yang sangat amat cantik itu terletak diatas Bukit Larut, Taiping. 

(ii) Undang-undang yang di gubal itu telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

(iii) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengecam serangan diGaza yang mengorbankan rakyat yang tidak bersalah. 

(iv) Ujian bulanan akan di jalankan pada minggu hadapan oleh guru-guru subjek berkenaan. 

(v) Kakak saya menyimpan makanan didalam peti sejuk. 

(vii) Murid-murid di zaman moden ini sukar bangun awal pagi kerana mereka tidur lewat malam.

(viii) Kelas di dalam talian yang dijalankan oleh pihak sekolah mendapat sambutan yang baik. 

(ix) Penjelasan yang di sampaikan oleh penceramah itu kami fahami. 

(x) Guru yang berkemahiran dan kreatif itu di senaraikan sebagai guru cemerlang. 


Murnikan jika ada kekhilafan,

Teruskan pembelajaran demi masa depan.

Salam keilmuan.

10 July 2021

NOTA PDPR 18: PENGGUNAAN KLITIK "MU" DALAM AYAT

 NOTA PDPR 18

PENGGUNAAN KLITIK "MU" DALAM AYAT


Kata ganda nama diri kedua yang disingkatkan daripada "kamu" kepada "mu" mempunyai fungsi yang berbeza dan peraturan penulisannya yang berbeza. Acap kali perkataan ini muncul dalam ayat murid dan ditulis secara pisah. Walau bagaimanapun, kesilapan ini dapat kita atasi dengan adanya kemahuan membaiki kesilapan bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana "mu" boleh hadir sebagai subjek, predikat mahupun objek dalam predikat. Walau bagaimanapun, "mu" hanya boleh hadir selepas kata nama. Cara menulisnya juga perlulah betul, iaitu rapat dengan perkataan sebelum. Jika dipisahkan daripada perkataan yang sebelum atau selepasnya, maka tidak gramatis. 


Lihat ayat di bawah:

*(1a) Bapa mu garang tak?

(1b) Bapamu nampak garang tak?


*(2a) Lelaki yang berdiri itu guru ku yang hebat. 

(2b) Lelaki yang berdiri itu guru ku yang hebat. 


Ayat (1a) dan (2a) tidak gramatis kerana kata ganti nama diri kedua singkat "mu" dipisahkan daripada perkataan sebelumnya. Oleh sebab itu, ayat (1b) dan (2b) ialah bentuk yang betul dan gramatis. 


Dalam hal ini, formula yang perlu diingati ialah


KN + mu (gramatis)

KK+ mu (tidak gramatis)

KA + mu (tidak gramatis)


UJI PDPR 18

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian betulkan satu kesalahan bahasa yang terdapat dalam setiap ayat.


(i) Buku mu yang tebal ada padaku. 

(ii) Kalender mu yang cantik itu diperoleh daripada siapa?

(iii) Komputer riba mu yang berjenama Apple itu mahal?

(iv) Telefon yang baharu ini telefon mu?

 (v) Jari kakiku sakit terlanggar oleh basikal mu.

(vi) Penghinaan mu menjadi kekuatanku. 

(vii) Keputusan mu untuk berpisah denganku akan kuterima dengan reda.

(viii) Segala pengorbananku selama ini tidak pernah terukir di benak mu?

(ix) Gambar kenangan bersama mu akan kusimpan kemas di hatiku. 

(x) Kasih yang kauberikan kuterima dan kuukir sebagai kenangan mu bersamaku. 


Walaupun mudah, konsep ini kadangkala boleh mengelirukan pengguna bahasa.

Jika ada kekhilafan, mohon murnikan. 


Terima kasih.

7 July 2021

NOTA PDPR 17:PENGGUNAAN KLITIK "KU" DALAM AYAT

 NOTA PDPR 17

PENGGUNAAN KLITIK "KU" DALAM AYAT


Kata ganda nama diri pertama yang disingkatkan daripada "aku" kepada "ku" mempunyai fungsi yang berbeza. Hal ini dikatakan demikian kerana "aku" boleh berfungsi sebagai subjek mahupun objek dalam predikat. Walau bagaimanapun, "ku" pula hanya boleh hadir sebelum kata kerja pasif dan selepas kata nama. Cara menulisnya juga perlulah betul, iaitu rapat dengan perkataan sebelum atau selepasnya. Jika dipisahkan daripada perkataan yang sebelum atau selepasnya, maka tidak gramatis. 


*(1a) Beg itu ku beli di pasar pagi. 

(1b) Beg itu kubeli di pasar pagi.


*(2a) Lelaki itu merampas beg ku yang berwarna hitam. 

(2b) Lelaki itu merampas begku yang berwarna hitam. 


Ayat (1a) dan (2a) tidak gramatis kerana kata ganti nama diri pertama singkat "ku" dipisahkan daripada perkataan sebelum dan selepasnya. Oleh sebab itu, ayat (1b) dan (2b) ialah bentuk yang betul dan gramatis. 


Dalam hal ini, formula yang perlu diingati ialah


(i) ku + KK pasif tanpa imbuhan awalan

(ii) Kata nama + ku 


Perkataan yang berfungsi sebagai kata adjektif tidak boleh berdiri sendiri jika diikuti kata ganti nama diri singkat "ku" kecuali hadirnya kata nama sebelum kata adjektif itu. 

Contohnya: 


(4a) Isteriku telah dirampas orang.  (gramatis) 

(4b) Isteri cantikku telah dirampas orang. (gramatis)

(4c) Cantikku dirampas orang. (tidak gramatis)


UJI PDPR 17

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian betulkan satu kesalahan bahasa yang terdapat dalam setiap ayat.


(i) "Ayah ku seorang polis," kata Ali kepada Aminah yang bersembang dengannya. 

(ii) Botol air ku yang amat sangat cantik itu mahal harganya. 

(iii) Wanita yang tinggi lampai itu akan ku jadikan sebagai isteri. 

(iv) Buku teks itu ku ambil daripada Aliah yang duduk di depan meja guru. 

(v) Lokasi yang diceritakan oleh orang kampung itu sudah pernah ku tujui. 

(vi) Tiket bas itu ku beli dengan wang pemberian ibu kesayangan. 

 (vii) Sari yang ku peroleh daripada sahabat baik itu cantik warnanya. 

(viii) "Wahai kekasih ku, janganlah bermuran durga," kata P. Ramlee dalam filem lakonannya. 

(ix) Gambar ku yang lama telah ditukar kepada yang baharu. 

(x) Kakak ku telah membeli kereta baharu yang berwarna biru. 



Walaupun mudah, konsep ini kadangkala boleh mengelirukan pengguna bahasa.

Jika ada kekhilafan, mohon murnikan. 


Terima kasih.

6 July 2021

NOTA PDPR 16: FRASA KERJA DENGAN AYAT KOMPLEMEN

 NOTA PDPR 16

FRASA KERJA DENGAN AYAT KOMPLEMEN


Suatu masa dahulu, ada seorang guru bertanya kepada saya tentang penggunaan "mengatakan bahawa" dan "berkata bahawa". Adakah kedua-dua frasa ini betul? Untuk menjawab persoalan ini, kajilah halaman 398, Tatabahasa Dewan untuk mendapatkan jawabannya. Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama mengkaji tajuk "Frasa Kerja dengan Ayat Komplemen" 

Menurut Tatabahasa Dewan, Frasa kerja, sama ada mengandungi kata kerja transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Apabila ini berlaku, ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk. 

Contohnya: 

(i) Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen 

1. Orang itu menafikan bahawa barang-barangnya telah hilang.

(1a) Orang itu menafikan sesuatu. 

(1b) Barang-barangnya telah hilang. 


(ii) Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen 

(2) . Pak Abu berkata bahawa tetamu anaknya dari kota. 

(2a) Pak Abu berkata. 

(2b) Tetamu anaknya dari Kota. 


Dalam ayat 1, perkataan "sesuatu" perlu ditulis selepas kata kerja transitif sewaktu kita memisahkannya menjadi ayat tunggal. Dalam ayat 2 pula, kita tidak perlu menambah apa-apa perkataan kerana kata kerja dalam ayat kedua ialah kata kerja tak transitif. Oleh sebab itu, kata kerja itu boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan objek. Hal ini berbeza dengan ayat 1 yang menggunakan kata kerja transitif yang wajib diikuti objeknya. Dalam ayat 1, 


Subjek: Orang itu.

Kata kerja: menafikan

Objek: bahawa barang-barangnya telah hilang


Oleh sebab objeknya "bahawa barang-barangnya telah hilang", maka objek ini tidak boleh diubah menjadi "barang-barangnya" atau "barang-barangnya telah hilang". Lihat kesilapan di bawah: 

(*1c) Barang-barangnya dinafikan telah hilang oleh orang itu. 

(*1d) Barang-barangnya telah hilang dinafikan oleh orang itu. 


Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis kerana menggugurkan kata hubung pancangan komplemen sebagai penanda objek.

Ayat 1 sepatutnya dipasifkan menjadi:

(1e) Bahawa barang-barangnya telah hilang dinadikan oleh orang itu.


Baiklah, cukup setakat ini perkongsian saya pada hari ini. Cubalah soalan-soalan di bawah:


UJI PDPR 16

Baca ayat-ayat di bawah, kemudian kenal pasti sama ada ayat di bawah ayat aktif transitif atau ayat aktif tak transitif. Selepas itu, tukarkan ayat aktif transitif yang anda pilih kepada ayat pasif. transitif. Bagi ayat aktif tak transitif, anda harus menyenaraikan kata kerja dengan ayat komplemennya.

(i)  Penulis itu mengesahkan bahawa dia telah memenangi peraduan mengarang cerpen. 

(ii)  Berita itu menyatakan bahawa semua penumpang terselamat. 

(iii)  Kami menegaskan bahawa kejayaan bergantung pada usaha gigih. 

(ix)  Kerajaan mengumumkan bahawa rakyat luar bandar akan diberikan lebih banyak kemudahan di bawah rancangan pembangunan itu. 

(v)  Mereka berhujah bahawa projek itu dapat diselesaikan dalam masa dua tahun. 

(vi)  Penduduk kampung itu beranggapan bahawa penghulu mereka sudah berpindah. 

(vii)  Penceramah itu berasa bahawa tajuk itu sesuai untuk para pendengar. 

(viii) Ibu Ali berpendapat bahawa sumbangan PIBG sekolah anaknya berkesan.

(ix) Ayah menjelaskan bahawa keadaan nenek semakin stabil.

(x) Ibu menyatakan bahawa air sungai semakin melimpah.


Sekian, terima kasih.

5 July 2021

NOTA PDPR 15: AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN PERBANDINGAN

 NOTA PDPR 15

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN PERBANDINGAN
(episod terakhir bahagian ini)

Salam sejahtera. Pada hari ini, kita akan mempelajari ayat majmuk keterangan perbandingan yang kurang produktif tetapi masih mampu mengelirukan pengguna bahasa kerana "seperti", "ibarat", "bagai", "macam" dan sebagainya juga boleh berfungsi sebagai kata sendi nama. Seperti apa-apa yang saya beritahu sebelum ini, kata sendi nama menyebabkan ayat tidak dapat dipisahkan manakala kata hubung menyebabkan ayat tersebut dapat dipisahkan. Dalam hal yang berkaitan dengan ayat majmuk keterangan perbandingan pula, ayat induk dan ayat keterangan juga mestilah ada subjek dan predikat. Dengan cara ini, barulah ayat majmuk itu dapat dipisahkan/dicerakinkan.Sebelum itu, marilah kita perhatikan nota ini. Apakah itu keterangan perbandingan? Keterangan perbandingan ialah unsur yang menerangkan sesuatu kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah-olah, seakan-akan, ibarat, bagaikan, dan bak. Contohnya:

1. Dia kebingungan bagai rusa masuk ke kampung.
(1a) Dia kebingunan.
(2b) Rusa masuk ke kampung.

2. Hatinya hancur seperti kaca terhempas ke batu.
(2a) Hatinya hancur.
(2b) Kaca terhempas ke batu.

3. Pemuda itu sentiasa mengelamun macam pungguk merindui bulan.
(3a) Pemuda itu sentiasa mengelamun.
(3b) Pungguk merindui bulan.

4. Kanak-kanak itu mencebik bibirnya seakan-akan dia hendak menangis.
(4a) Kanak-kanak itu mencebik bibirnya.
(4b) Dia hendak menangis.

Keempat-empat ayat di atas mengandungi dua ayat lengkap dalam 1 ayat. Dengan kata lain, ayat kedua menerangkan keadaan yang sama seperti ayat 1.

Perhatikan pula ayat di bawah yang menggunakan kata sendi nama "seperti", "macam", "bagai" dan lain-lain.
(5) Lelaki itu garang bagai harimau.
(6) Muka wanita itu bulat bagai bulan purnama.
(7) Kulit bayi itu putih bagai kapas.

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, selepas kata sendi nama, tidak ada subjek. Hal inilah yang membezakannya dengan ayat majmuk pancangan keterangan perbandingan.

Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:
UJI PDPR 15
Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.

(i) Penduduk kampung itu bertolong-tolongan bagai aur dengan tebing.
(ii) Hati ibu kecewa macam kaca terhempas ke batu.
(iii) Kedua-dua orang kawan itu rapat laksana isi dengan kuku.
(iv) Ratu cantik itu nampak anggun umpama bulan dipagari bintang.
(v) Mereka berdua selalu bergaduh bagai anjing dengan kucing.
(vi) Ibu saya suka naik angin seakan-akan semua orang berhutang kepadanya.
(vii) Pengetua itu bijak berkata-kata seakan-akan pemimpin bercakap dengan rakyat.
(viii) Guru itu rajin bekerja seakan-akan petani di sawah padi.
(ix) Dewan peperiksaan awam itu sunyi seakan-akan tidak ada sesiapa di dalamnya.
(x) Komputer itu nampak baharu seakan-akan ada bau kedai padanya.

Demikianlah lengkap kesembilan-sembilan jenis kata hubung pancangan keterangan telah saya jelaskan.
Saya berharap agar perkongsian ini membawa makna PdPR yang lebih besar kepada guru-guru.
Terima kasih kerana sudi memanfaatkannya.
Jika ada kelemahan, murnikan.

2 July 2021

NOTA PDPR 14: AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN TUJUAN

NOTA PDPR 14

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN TUJUAN


Jom belajar keterangan tujuan dalam ayat majmuk. Harus ingat, bahagian ini juga selalu ada kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kekeliruan terjadi apabila penggunaan kata sendi nama "untuk", "demi", dan "bagi" sebagai kata hubung. Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan adalah seperti untuk, demi dan bagi. Yang paling penting, pengguna bahasa harus mengetahui 4 fakta penting, yakni:

(a) Kata sendi nama menyebabkan ayat itu tidak dapat dicerakinkan/dipisahkan.

(b) Kata hubung menyebabkan sesuatu ayat dapat dicerakinkan/dipisahkan.

(c) Kata sendi nama hanya boleh diikuti kata arah dan kata nama.

(d) Kata hubung boleh menerima kata kerja.

 

Contohnya: 

1. Para pemimpin menyusun rancangan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. 

(1a) Para pemimpin menyusun rancangan ekonomi.

(1b) Para pemimpin meningkatkan taraf hidup rakyat. 


2. Demi menyatukan rakyat berbilang kaum, sebuah jabatan khusus telah ditubuhkan. 

(2a) Sebuah jabatan khusus telah ditubuhkan.

(2b) Sebuah jabatan menyatukan rakyat berbilang kaum.


NOTA: Ayat (2) ialah ayat bersusunan songsang, oleh sebab itu, ayat induknya ada di belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana pendepanan sebahagian daripada frasa kerja berlaku. 


3. Dua atom hidrogen bergabung bagi membentuk satu molekul unik. 

(3a) Dua atom hidrogen bergabung. 

(3b) Dua atom hidrogen membentuk satu molekul unik.


Jika kita perhatikan ketiga-tiga ayat di atas, selepas kata hubung ialah kata kerja. Oleh sebab itu, ayat-ayat tersebut dapat dipisahkan. Ayat-ayat di atas boleh diubah suai sehingga menjadi ayat yang tidak dapat dipisahkan dengan cara berikut:


4. Para pemimpin menyusun rancangan ekonomi untuk tujuan meningkatkan taraf hidup rakyat. 

5. Demi tujuan menyatukan rakyat  berbilang kaum, sebuah jabatan khusus telah ditubuhkan. 

6. Dua atom hidrogen bergabung bagi tujuan membentuk satu molekul unik.


Nampak tak "tujuan" yang dimasukkan? Hal ini bermakna, selepas kata sendi nama "bagi", "demi", "untuk", kata nama telah mengikutinya dan menyebabkan ayat ini tidak dapat lagi dipisahkan. Uniknya bahasa Melayu ialah perkataan "tujuan" digugurkan untuk memberikan laluan kepada ayat tersebut menjadi ayat majmuk keterangan "tujuan" agar dapat dipisahkan. 


Saya berharap agar inovasi bahasa ini dapat memberikan pengetahuan kepada anak-anak murid kalian.


Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:

UJI PDPR 14

Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.


(i) Kakak membeli kek untuk meraikan hari jadi ibu.

(ii) Ibu menyediakan sarapan bagi mengenyangkan kami. 

(iii) Nenek meraut lidi untuk membuat penyapu.

(iv) Kita harus berkorban demi menyatupadukan rakyat. 

(v) Rakyat hendaklah hidup bekerjasama demi mengukuhkan perpaduan.

(vi) Irdina menyediakan sarapan untuk menggembirakan hati ibunya.

(vii) Salim menghadiahkan seutas jam tangan untuk menceriakan hati isterinya.

(viii) Imran menulis jurnal demi meyakinkan pensyarahnya.

(ix) Ikram mengahwini wanita pilihan ibu bapanya bagi menenangkan hati mereka.

(x) Meganathan menggubal soalan karangan untuk membantu anak-anak muridnya.