NOTA PDPR 16
FRASA KERJA DENGAN AYAT KOMPLEMEN
Suatu masa dahulu, ada seorang guru bertanya kepada saya tentang penggunaan "mengatakan bahawa" dan "berkata bahawa". Adakah kedua-dua frasa ini betul? Untuk menjawab persoalan ini, kajilah halaman 398, Tatabahasa Dewan untuk mendapatkan jawabannya. Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama mengkaji tajuk "Frasa Kerja dengan Ayat Komplemen"
Menurut Tatabahasa Dewan, Frasa kerja, sama ada mengandungi kata kerja transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Apabila ini berlaku, ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk.
Contohnya:
(i) Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen
1. Orang itu menafikan bahawa barang-barangnya telah hilang.
(1a) Orang itu menafikan sesuatu.
(1b) Barang-barangnya telah hilang.
(ii) Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen
(2) . Pak Abu berkata bahawa tetamu anaknya dari kota.
(2a) Pak Abu berkata.
(2b) Tetamu anaknya dari Kota.
Dalam ayat 1, perkataan "sesuatu" perlu ditulis selepas kata kerja transitif sewaktu kita memisahkannya menjadi ayat tunggal. Dalam ayat 2 pula, kita tidak perlu menambah apa-apa perkataan kerana kata kerja dalam ayat kedua ialah kata kerja tak transitif. Oleh sebab itu, kata kerja itu boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan objek. Hal ini berbeza dengan ayat 1 yang menggunakan kata kerja transitif yang wajib diikuti objeknya. Dalam ayat 1,
Subjek: Orang itu.
Kata kerja: menafikan
Objek: bahawa barang-barangnya telah hilang
Oleh sebab objeknya "bahawa barang-barangnya telah hilang", maka objek ini tidak boleh diubah menjadi "barang-barangnya" atau "barang-barangnya telah hilang". Lihat kesilapan di bawah:
(*1c) Barang-barangnya dinafikan telah hilang oleh orang itu.
(*1d) Barang-barangnya telah hilang dinafikan oleh orang itu.
Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis kerana menggugurkan kata hubung pancangan komplemen sebagai penanda objek.
Ayat 1 sepatutnya dipasifkan menjadi:
(1e) Bahawa barang-barangnya telah hilang dinadikan oleh orang itu.
Baiklah, cukup setakat ini perkongsian saya pada hari ini. Cubalah soalan-soalan di bawah:
UJI PDPR 16
Baca ayat-ayat di bawah, kemudian kenal pasti sama ada ayat di bawah ayat aktif transitif atau ayat aktif tak transitif. Selepas itu, tukarkan ayat aktif transitif yang anda pilih kepada ayat pasif. transitif. Bagi ayat aktif tak transitif, anda harus menyenaraikan kata kerja dengan ayat komplemennya.
(i) Penulis itu mengesahkan bahawa dia telah memenangi peraduan mengarang cerpen.
(ii) Berita itu menyatakan bahawa semua penumpang terselamat.
(iii) Kami menegaskan bahawa kejayaan bergantung pada usaha gigih.
(ix) Kerajaan mengumumkan bahawa rakyat luar bandar akan diberikan lebih banyak kemudahan di bawah rancangan pembangunan itu.
(v) Mereka berhujah bahawa projek itu dapat diselesaikan dalam masa dua tahun.
(vi) Penduduk kampung itu beranggapan bahawa penghulu mereka sudah berpindah.
(vii) Penceramah itu berasa bahawa tajuk itu sesuai untuk para pendengar.
(viii) Ibu Ali berpendapat bahawa sumbangan PIBG sekolah anaknya berkesan.
(ix) Ayah menjelaskan bahawa keadaan nenek semakin stabil.
(x) Ibu menyatakan bahawa air sungai semakin melimpah.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.