Sesetengah pihak berpendapat bahawa perkembangan teknologi yang pesat menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan tersebut.
[100 markah]
Bukannya bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari
bahawa perkembangan teknologi semakin pesat dalam kehidupan seharian kita.
Masyarakat yang tidak berdamping dengan teknologi beranggap ketinggalan zaman
dalam arus globalisasi ini. Setiap manusia bersandar pada teknologi untuk
kemajuan. Kalau ada asap, tentu ada api bukan? Teknologi dapat memudahkan
urusan kehidupan seharian kita. Kini, ibu bapa tidak lagi seperti generasi ibu
bapa beberapa dekad lalu. Walau bagaimanapun, hubungan kekeluargaan semakin
renggang disebabkan oleh perkembangan teknologi dan ahli-ahli keluarga semakin
asyik dengan gajet. Kesannya, masyarakat bersikap mementingkan diri dan tidak
mahu bergaul dengan ahli keluarga. Lebih teruk lagi, hal ini akan menyebabkan
masalah kronik seperti kemurungan. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat
dilakukan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan di sebalik kemodenan ini?
Antara usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan
ialah ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral yang merupakan suntikan
paling mujarab untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang renggang. Hal ini
disebabkan agama ialah tunjang atau asas keperibadian anak-anak. Pakar motivasi
keluarga Islam yang tersohor tanah tumpah darah kita, Dr. Tengku Asmadi, pernah
berkongsi cara-cara mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menurut beliau, seisi
keluarga hendaklah bersolat bersama-sama, mengaji al-Quran bersama-sama,
mengerjakan amal ibadat bersama-sama dan sebagainya. Interaksi yang sihat ini
dapat menghindarkan anak daripada tercebur dalam aktiviti yang kurang berfaedah
seperti berjinak-jinak dengan permainan komputer, selebriti televisyen, malahan
aksi-aksi berunsur lucah dan ganas. Umpama memasang pelita tengah hari, alat
berteknologi dapat dijual beli tetapi keluarga tidak dapat ditukar ganti. Ibu
bapa perlulah mengutamakan didikan agama dan moral sebagai uswah hasanah dalam
didikan agama kepada anak agar hubungan kekeluargaan dieratkan.
Di samping itu, isi yang tidak boleh dikesampingkan ialah
ibu bapa perlu meluangkan masa bersama-sama anak-anak setelah banyak
menghabiskan masa bekerja mencari rezeki. Hal ini dikatakan demikian kerana
anak-anak pada hari ini banyak meluangkan masa mereka untuk bermain permainan
komputer di bilik dan melayan telefon mereka seperti ahli keluarga mereka.
Mereka jarang menyertai aktiviti kekeluargaan. Sebagai contohnya, ibu bapa
perlulah menganjurkan majlis makan malam secara berkala supaya anak-anak dapat
membantu ibu bapa menyediakan makanan. Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu
ibu bapa dengan mengemas rumah, membasuh kereta, menanam pokok dan sebagainya.
Sebagai kesannya, mereka dapat menyedari kepentingan waktu bersama keluarga,
memusatkan jiwa dan minda kepada hubungan kekeluargaan apatah lagi menjadi
modal insan yang berminda kelas pertama. Mereka dapat menjadikan nasihat orang
tua-tua bahawa kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa sebagai
pedoman. Intihanya, ibu bapa haruslah memperbanyak aktiviti kekeluargaan untuk
merapatkan hubungan kekeluargaan daripada mendampingi teknologi.
Selain itu, jika soalan ini diteliti dengan lebih
mendalam, saya berpendapat bahawa ibu bapa hendaklah merancang kegiatan
melancong bersama-sama keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini
tercetus apabila ahli keluarga pada kehidupan seharian kurang bercakap dan
asyik bersembang dalam aplikasi WhatsApp walaupun tinggal sebumbung. Biar kita
melihat tamsilnya, ibu bapa membawa anak-anak pergi bersiar-siar, melancong di
kawasan yang tidak mempunyai liputan Internet, berekreasi dan mandi-manda untuk
membebaskan diri daripada kongkongan teknologi. Sikap menatang minyak yang
penuh haruslah diamalkan oleh ibu bapa untuk membentuk generasi muda yang
efektif. Anak-anak juga dapat bertukar-tukar pandangan dengan keluarga dengan
keadaan yang aman. Mereka juga dapat belajar untuk menyayangi keluarga daripada
teknologi. Jauh perjalanan luas pemandangan, keluarga bukan sahaja dapat
menggenggam ilmu-ilmu yang terdapat di sekeliling mereka, malahan merapatkan
hubungan silaturahim dan menjalin kasih antara satu sama lain. Oleh itu, tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata bahawa melancong bersama keluarga
dapat merapatkan hubungan kekeluargaan kembali.
Seterusnya, jika dilihat daripada lensa perbincangan ini,
ibu bapa juga harus meraikan hari-hari yang penting untuk merapatkan hubungan
kekeluargaan dan menjernihkan kekeruhan hubungan mereka. Hal ini dikatakan demikian
kerana anak jarang-jarang berjumpa dengan wajah ibu bapa sehingga sanggup
melupakan mereka kerana leka berhubung dalam alam maya berkomunikasi dengan
rakan sebaya. Bukti yang boleh diketengahkan ialah ibu bapa boleh meraikan hari
jadi ahli keluarga, Hari Ibu dan Hari Bapa. Ibu bapa boleh menyediakan makanan
kegemaran mereka dan ini dapat menarik perhatian anak-anak remaja daripada
skrin peranti elektronik. Remaja akan menyayangi keluarga kerana mereka
bersusah payah menyediakan makanan tanpa mengenal penat lelah. Selain itu,
mereka juga dapat menjadi golongan anak yang mengenang jasa ibu bapa dan tidak
menjadi seperti kacang lupakan kulit. Izharlah, sebagai menggulung huraian yang
diperkatakan di atas, hari-hari utama harus diingati oleh ibu bapa dan anak-anak.
Mereka sewajarnya untuk meraikan hari-hari utama bersama dengan keluarga supaya
silaturahim terjalin.
Tidak cukup dengan itu, amalan ziarah-menziarahi antara kita
dengan ahli keluarga mestilah diamalkan oleh semua ahli keluarga untuk
merapatkan hubungan kekeluargaan sebalik kongkongan teknologi moden. Hal ini
dikatakan demikian kerana datuk dan nenek tinggal jauh daripada ibu bapa. Ibu
bapa boleh menggantikan perjumpaan dengan aplikasi Zoom dan WeChat mahupun
Facebook. Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak pulang ke kampung sebulan
sekali untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga kita di kampung halaman yang
indah dan pastinya menggamit kenangan. Ibu bapa boleh membawa ahli keluarga
makan besar untuk merapatkan ahli keluarga dengan anak-anak. Natijahnya, ibu
bapa terasa disayangi dan anak-anak berasa dihargai kerana tidak dipisahkan
oleh perkembangan teknologi moden. Jelaslah bahawa, siang bagai hari, terang
bagai bulan, ibu bapa haruslah mengamalkan sikap ziarah-menziarahi sejak kecil
lagi dalam anak-anak yang berumur setahun jagung, darah setampuk pinang untuk
mengekalkan hubungan rapat dan mengamalkan sikap tidak bergantung pada
teknologi.
Sebagai penghias bicara akhir bagi segala yang
dihuraikan, saya ingin menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan yang keruh
mampu dijernihkan kerana semuanya bergantung pada ahli keluarga itu sendiri kerana
di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Ahli keluarga haruslah mengikut semua
idea yang telah saya sampaikan di atas supaya ahli keluarga sentiasa
diutamakan. Ahli keluarga harus mengetahui cara menggunakan gajet apabila perlu
dan tidak dipengaruhi oleh teknologi dan perkembangannya semata-mata. Disebabkan
dunia tanpa sempadan, kemanusiaan dan kekeluargaan juga mampu disempadankan
oleh teknologi. Ahli keluarga hendaklah berganding bahu menghargai masa
bersama-sama dengan ahli keluarga yang tercinta sebelum nasi menjadi bubur. Masyarakat
juga haruslah menggembleng tenaga dan memerah keringat memanfaatkan teknologi
dengan bijak supaya tidak melupakan asal usul perhubungan sesama ahli keluarga.
Tegasnya, banyak usaha boleh dilakukan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan
yang renggang.
thank you
ReplyDeleteThank you Cikgu
ReplyDelete