Sukan
mampu mewujudkan keamanan dan hubungan yang baik dalam kalangan penduduk dunia.
Jelaskan
pernyataan di atas.
Sukan ialah aktiviti
kecergasan badan yang mampu memberikan faedah yang banyak kepada manusia dan
melibatkan semua. Penduduk di dunia bersukan untuk menyihatkan tubuh badan dan
bersukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Penduduk dunia menghadapi
konflik dan hubungan semakin hari semakin terjejas, mahal ada yang berani
berbalah dalam media sosial kerana perbezaan agama dan kebudayaan serta gaya
hidup. Masing-masing tidak mahu bertolak ansur dan bersikap bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Adakah sukan mampu mewujudkan keamanan
dan hubungan yang baik dalam kalangan penduduk dunia?
Sukan ialah platform utama
yang menjadi jambatan perhubungan baik antara penduduk negara di seluruh dunia.
Hal ini dikatakan demikian kerana ahli sukan berkumpul di suatu tempat untuk
meraikan kejayaan dan mengukir catatan rekod baharu serta bertukar-tukar
pandangan. Sukan Olimpik contohnya, diadakan
empat tahun sekali dengan mengumpulkan atlet dari seluruh dunia. Pada tahun
2021 nanti, Jepun ialah tuan rumah. Masyarakat pelbagai bangsa dan agama dapat
bertanding dan memupuk semangat kesukanan serta dapat berkenalan di negara matahari
terbit itu. Bukan itu sahaja, para atlet dapat mengenali kebudayaan dan adat
resam atlet-atlet yang berbeza agama dan bangsa
kerana tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, saya yakin bahawa keamanan
dan hubungan yang baik dapat diwujudkan dalam bidang sukan kerana sukan menjadi
jambatan penghubung keeratan.
Selain itu, pertandingan
sukan membolehkan peminat sukan mengetahui perbezaan adat dan budaya rakyat di
negara lain. Hal ini berlaku demikian kerana peminat sukan biasanya akan
membeli tiket penerbangan untuk pergi ke negara tuan rumah dan menyaksikan
pertandingan sukan. Rakyat Malaysia dapat pergi ke London untuk menyaksikan
Pertandingan Badminton All England dan dapat melancong sebagai contohnya. Hal
ini dapat memberikan peluang kepada ramai orang untuk mengenali tempat-tempat peranginan
yang menarik dan mengetahui gaya hidup dan bahasa berbeza serta mengenali
keunikan di sana. Kita dapat menghormati adat resam dan budaya orang lain kata
orang tua-tua, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Oleh hal yang
demikian, sukan membolehkan peminatnya mengenali pelbagai perbezaan antara
negara sendiri dengan negara orang lain.
Sukan dapat meningkatkan
imej sesebuah negara sekali gus memberikan keamanan kepada dunia dan jalinan
hubungan baik sesama negara. Hal ini terjadi demikian kerana tuan rumah akan
dihormati dan dipuji kerana berjaya menganjurkan pertandingan sukan yang
mendapat liputan dunia. Pihak CNN dan Al Jazeera terbukti pernah memuji
kesungguhan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1988. Selepas itu,
nama Malaysia semakin mewangi dan dikenali serta dilawat oleh banyak pelancong.
Mereka dapat melihat keamanan dan keunikan di negara kita dan menyaksikan
keharmonian rakyat yang hidup bertolong-tolongan bagai aur dengan tebing. Sebagai
seorang warganegara Malaysia, kita harus berasa sangat kagum akan kejayaan
Malaysia dalam usaha ini. Oleh hal yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa imej
negara dapat dipertingkatkan oleh sukan sekali gus mengekalkan keamanan dan
menjamin hubungan erat dan mesra.
Perpaduan antara negara
dapat dipupuk dalam bidang sukan sekali gus menghidupkan obor keamanan di
dunia. Usaha ini ada benarnya kerana perbalahan masih berlaku di beberapa buah
Negara. Sebagai contohnya, negara Amerika masih bermusuhan dengan negara Iran.
Atlet dapat berkumpul dan mereka harus meletakkan fahaman politik yang berbeza
di tepi dan mengutamakan persahabatan sukan. Hal ini dapat ditunjukkan jika
atlet bertanding secara harmoni dan memberikan pandangan dan idea yang berbeza.
Hal ini akan mengukuhkan hubungan sahabat antara ramai atlet di negara yang
berbeza. Orang lama-lama pernah berkata, “kawan biar seribu, lawan jangan satu”.
Hal ini dapat menyebabkan kehidupan aman dan harmoni di dunia ini. Negara yang
terlibat dalam sukan pasti akan hidup aman dan harmoni dan hubungan menjadi
lebih erat bagai isi dengan kuku.
Bidang sukan menyediakan
peluang pekerjaan yang bersifat global kepada sesiapa sahaja yang terlibat
dalam bidang ini. Hal ini ada benarnya kerana banyak negara yang mengimport
pemain dan jurulatih dari negara yang berbeza
apabila mereka memerlukan perkhidmatan khas dalam bidang kejurulatihan
sukan. Sebagai contohnya, pemain beregu badminton negara, Jeremy Gan, pernah
menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Jepun. Beliau dipilih untuk menjadi
jurulatih beregu campuran dan sasaran menghasilkan pemenang pingat dalam Sukan
Olimpik 2021 Jepun. Oleh sebab jauhari jua yang mengenal manikam, bakat pemain
dari Malaysia juga menjadi rebutan di luar Negara. Begitu jugalah jurulatih
profesional dari luar negara yang juga menjadi perhatian Malaysia, terutamanya
Pasukan Bola Sepak JDT yang mengimport jurulatih dan pemain dari luar negara. Dalam
hal ini, rakyat Malaysia berpeluang pekerjaan di seluruh dunia tetapi perlu
melibatkan diri dalam bidang sukan secara serius agar peluang pekerjaan sentiasa
terbuka.
Kesimpulannya, semua pihak
haruslah menerima hakikat bahawa sukan memberikan pelbagai manfaat dengan
mengamankan dunia dan mengeratkan hubungan. Pelbagai pertandingan sukan perlu
diadakan yang melibatkan lebih banyak negara supaya pertandingan menjadi meriah.
Sukan terus diminati dan dijadikan agen perpaduan dalam kalangan penduduk di
dunia untuk hidup aman dan sentosa. Ungkapan “Majulah Sukan untuk Negara”
bolehlah ditukar kepada “Majulah Sukan demi Dunia yang Aman Damai” selepas ini.
Rakyat tak kira di benua Afrika atau di Asia Tenggara dapat hidup aman damai
serta memupuk silaturahim yang erat antara satu sama lain. Akhir kata, kita mestilah
menyokong usaha penganjur pertandingan atau aktiviti sukan di seantero
jagatraya untuk menjadikan sukan sebagai agen pengaman dan platform perpaduan
sejagat.
SHANTINI SIVABALU, SMK KOTA KEMUNING, PPD KLANG, SELANGOR
thank you for letting me plagiarize this.
ReplyDeleteboooo
ReplyDelete