Penggunaan Kata Sendi Nama "dari" dan "daripada"
Pengguna bahasa Melayu beranggapan bahawa "from" dalam bahasa Inggeris dapat menggantikan fungsi kata sendi nama "dari" dan "daripada". Oleh hal yang demikian, kekhilafan bahasa terjadi apabila pencacamarbaan bahasa terjadi. Walau bagaimanapun, kesilapan kecil ini tidak boleh dipandang enteng oleh pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kesilapan bahasa yang remeh ini mungkin membawa impak yang lebih besar kepada anak bangsa dan bahasa kita. Sebenarnya, kata sendi nama "dari" digunakan bagi Arah, Tempat dan Masa (ATM). Sebaliknya, kata sendi nama "daripada" pula digunakan untuk Keanggotaan, Abstrak, Benda, Organisasi atau Orang, dan Sumber (KABOS).
PRINSIP:
📌dari 👉 ATM📌
📌daripada 👉 KABOS📌
Dalam penulisan formal atau peperiksaan, fenomena kesilapan penggunaan kata sendi "dari" dan "daripada" adalah tidak sihat kepada imej bahasa kebangsaan kita. Selain itu, kesilapan penggunaan kata sendi ini dalam lisan lebih ketara dan memerlukan perhatian yang intensif. Lihat contoh di bawah:
1. Cikgu Bungaros berasal daripada ❌Bachok, Kelantan.
2. Norzilah berada di Manchester daripada ❌bulan Mei lagi.
3. Pasukan bola baling itu terdiri dari ❌12 orang pemain.
4. Harga ikan di Pasar Taiping meningkat dari ❌RM10 sekilo kepada RM15.
5. Pedang bertatahkan berlian itu diperbuat dari ❌ besi meteorit.
Pembetulannya:
1. Cikgu Bungaros berasal dari ✅Bachok, Kelantan.
2. Norzilah berada di Manchester dari ✅bulan Mei lagi.
3. Pasukan bola baling itu terdiri daripada ✅12 orang pemain.
4. Harga ikan di Pasar Taiping meningkat daripada ✅RM10 sekilo kepada RM15.
5. Pedang bertatahkan berlian itu diperbuat daripada ✅ besi meteorit.
💊Catatan:💊
Terdapat ayat yang membawa maksud organisasi yang disalahtafsirkan sebagai tempat, seperti yang berikut:
1. Surat itu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
2. Bingkisan itu daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Polo.
UJI BAHASA
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama dari atau daripada yang sesuai.
1. Pada waktu asar esok, akan muncul sebuah kapal __________ Vietnam.
2. Sesiapa yang makan durian haruslah menjauhkan diri __________ kami.
3. Perlahan-lahan orang tua itu bangkit __________ kerusi lalu berjalan ke beranda.
4. Gambar sinar-X diambil __________ sudut pandangan belakang untuk memastikan semua tulang kelihatan pada filem itu.
5. Keputusan yang diambil oleh Suren hanya __________ agakan belaka.
6. Satu ayat yang mengisahkan pengorbanan suami kepada isterinya diambil __________ al-Quran.
7. Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pernah disandang oleh tokoh __________ MCA, iaitu Tan Sri Wong Pow Nee.
8. Pak Muslim tersentak __________ lamunan apabila disapa oleh Lebai Leman ketika berada di anjung surau.
SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.