Pelbagai masalah mula menekan keluarga seperti
peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak
boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin
meruncing.
Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan
oleh anak-anak untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.
KARANGAN:
Semua pihak telah
maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga
adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi
dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia,
bencana alam dan krisis bahan makanan cukup menakutkan pelbagai pihak. Hingga
hari ini, ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar
yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan
Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun
bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis
kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500.00. Beban kewangan
adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan
dengan itu, anak-anak hendaklah memahami susah payah ibu bapa dengan cara
melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang
ditanggung oleh mereka.
Budaya
berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh untuk meringankan beban
kewangan keluarga. Anak-anak diharap
dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa
berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah
terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama tenaga elektrik
dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang
dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan
kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat
itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun
segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah,
jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah paras RM20.00, justeru penggunaan domestik tersebut adalah
percuma. Langkah bijak ini sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Sejajar
dengan itu, langkah lain yang wajar dilakukan oleh anak-anak adalah mengamalkan sikap bersederhana dalam
kehidupan seharian. Anak-anak yang
baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum
akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa
simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah
beratnya tanggungan ibu bapa, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Anak-anak
seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan
minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Mereka tidak harus menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih
mewah. Misalnya, mereka tidak harus
meminta-minta sesuatu di luar kemampuan
ibu bapa seperti ingin memiliki pakaian yang berjenama dan berselera untuk
makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak
daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sama enggang
masakan dapat terbang bersama.
Walaupun
bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sesebuah negara seperti
Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka.
Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara
kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu
dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu
lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang
penting ialah mereka harus mengetepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya
banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri
Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi usahawan
yang berjaya dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh sebab itu, langkah yang terpenting ialah setiap anak
perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang
tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Prakarsa seterusnya
untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi ialah
anak-anak harus membudayakan amalan menabung. Hal ini demikian kerana mereka
dapat membantu keluarga untuk menampung perbelanjaan luar jangkaan apabila
mengalami kesempitan wang. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, wang
yang disimpan di bank boleh menjadi penyelamat pada masa gawat. Dalam
konteks ini , wang pemberian ibu bapa
yang tidak dibelanjakan harus disimpan kerana sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Tamsilannya, tabungan tersebut dapat
digunakan oleh ibu bapa untuk membiayai kos sara hidup yang kian meningkat yang
sedang melanda negara kita kini.
Malahan, anak-anak dapat menggunakan tabungan untuk menampung
perbelanjaan persekolahan mereka.
Natijahnya, jika anak-anak mengamalkan budaya yang mulia ini, maka mereka mampu meringankan beban
kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.
Sebagai
penutup wacana, anak-anak memainkan
peranan yang amat penting dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa. Ketika
berdepan dengan pelbagai cabaran akibat krisis kewangan, setiap keluarga tidak
boleh mati akal. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak
dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab
mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh
menjadi jambatan untuk menzahirkan impian pembentukan keluarga bahagia. Semoga
dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya
ibarat sepanjang-panjang jalan berliku
ada penghujungnya.
Usai (Indonesia) = berakhir (Malaysia)
ReplyDelete