INFORMASI BAHASA
“JURU” YANG TIDAK POPULAR
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “juru” membawa maksud orang yang mempunyai keahlian dalam sesuatu perkara (biasanya dipakai dalam kata majmuk dan dieja bersambung atau bercantum sebagai satu perkataan. Antaranya, jurulatih, jurutera, juruteknik, jururawat, dan juruselam yang popular. Banyak lagi kepakaran popular yang tidak kita ketahui waima jarang kita temukan dalam bahan ilmiah dan majalah. Perhatikan contoh yang berikutnya:
1.
jurubatu – anak buah perahu yang tugasnya mengukur dalamnya laut.
2.
jurucerakin – ahli kimia yang kerjanya membuat penyelidikan di makmal dan biasanya mencerakinkan bahan kimia.
3.
jurudalam – tukang perhiasan di rumah orang besar-besar.
4.
jurugas – orang yang tugasnya memeriksa meter gas, menyelenggarakan radas gas domestik dan sebagainya.
5.
jurugegas – orang yang mahir memasang atau melaraskan bahagian-bahagian mesin dan sebagainya.
6.
jurukaki – pesuruh, bentara (pesuruh raja yang menyampaikan titah atau membawa alat kerajaan)
7.
jurukater – jurusaji / katerer (orang yang menyediakan dan menyajikan makanan untuk sesuatu majlis)
8.
jurukelat – anak perahu yang kerjanya memagang tali kelat (untuk menarik kapal layar)
9.
juruketik – jurutaip (orang yang kerjanya menaip dokumen)
10.
jurulelang – orang yang mengurus lelong (jurulelong)
11.
jurulito – orang yang mencetak buku dengan cap batu.
Banyak lagi pekerjaan mulia yang tidak lazim kita ketahui. Ketahuilah, fahamilah, dan cernakanlah minda kita dengan kosa kata yang lebih luas. Dengan peluasan kosa kata, perbendaharaan kata dalam kamus kehidupan ini menjadi lebih bermakna.
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa!
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.