21 September 2015

INFORMASI BAHASA - PENCERAHAN MAKNA SEBENAR PERIBAHASA

INFORMASI BAHASA
21 SEPTEMBER 2015
PENCERAHAN MAKNA SEBENAR PERIBAHASA

Kebanyakan pengguna bahasa Melayu waima penutur asli bahasa kebangsaan ini sedar bahawa peribahasa Melayu amat kaya pedoman dan pengajaran. Walau bagaimanapun, ada peribahasa yang disalah faham dari segi maksudnya. Fenomena salah faham akan maksud peribahasa ini akan menyebabkan makna waima mesej sebenar peribahasa tidak sampai kepada pengguna bahasa. Berikut ialah beberapa peribahasa yang saya maksudkan:

1.
alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Maksud sebenar dalam Kamus Dewan: Kalau sudah terlanjur jahat, biarlah sampai beroleh hasilnya.

Peribahasa di atas sesuai untuk perbuatan jahat, bukannya untuk menasihati masyarakat seperti peribahasa "alang-alang berminyak biar licin" atau "alang-alang mandi biar basah" atau "alang-alang berdakwat biar hitam" yang membawa maksud kalau mengerjakan sesuatu jangan sekerat jalan.

2.
(a) ibarat telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya
(b) seperti telur dua sebandung, pecah satu pecah keduanya.
Maksud sebenar dalam Kamus Dewan: orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya.

Peribahasa di atas sesuai untuk sikap manusia yang setia dan semuafakat dalam perkara yang dilakukan, bukannya untuk maksud peribahasa “sebab nila setitik, rosak susu sebelanga” yang membawa maksud kerana yang sedikit, rosak yang banyak ataupun peribahasa “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit” yang membawa maksud seorang yang membuat jahat atau salah semuanya mendapat nama buruk atau seorang yang membuat kesalahan semuanya terlibat sama.

3.
bagai ikan kena tuba
Maksud sebenar dalam Kamus Dewan: banyak orang yang sakit atau mati dalam sesebuah kampung atau negeri.
bagai ikan kena tuba
seperti ikan kena tuba
Maksud sebenar dalam Kamus Dewan: tidak berdaya lagi.

Peribahasa di atas sesuai untuk keadaan atau situasi kawasan kampung atau negeri yang rakyatnya sakit atau mati dalam suatu kejadian yang tragis. Banyak pengguna bahasa yang beranggapan bahawa peribahasa ini sama maksud dengan peribahasa “nyawa-nyawa ikan” yang membawa maksud hampir-hampir mati.


Banyak lagi “peribahasa” yang mungkin biasa kita gunakan seperti “melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “bagai mencurahkan air ke laun keladi”. Kedua-dua peribahasa ini tidak menerima kemasukan dalam Kamus Dewan. Yang mendapat entri dalam Kamus Dewan ialah “tatkala lagi rebung tiada dipatah, ketika sudah jadi aur apa gunanya” yang membawa maksud mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar, tidak akan berhasil lagi manakala peribahasa “air di daun keladi” dan “daun keladi dimandikan” yang membawa maksud sukar ditunjuk ajar atau dinasihati.

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.