21 August 2014

AYAT CIPTAAN CIKGU TAN YANG DAHSYAT UNTUK KEGUNAAN DALAM KARANGAN

No.
Isi
AYAT DAHSYAT
1
Kerajaan
Kerajaan bagaikan jantung yang merupakan jentera negara paling penting untuk memastikan fungsi pentabdiran kerajaan berjalan dengan lancar.

Kerajaan yang dipilih oleh rakyat merupakan kerajaan harapan nusa dan bangsa.

Kerajaan itu bukan permainan politik semata-mata sebaliknya merupakan nadi penggerak kemajuan sesuatu bangsa.

Bangun atau jatuhnya sesebuah kerajaan itu bergantung pada jenteranya yang memainkan peranan penting untuk memastikan setiap sayap pentadbirannya dapat menjalankan tugas dengan baik demi kepentingan negara.

Kerajaan sesebuah negara memikul tanggungjawab berat untuk memastikan segala harapan dan doa rakyatnya termakbul melalui dasar dan rancangan pembangunan yang dijalankan.

2
Ibu bapa
Dalamnya Lautan Pasifik tidak mungkin dapat dibandingkan dengan dalamnya kasih dan sayang ibu bapa terhadap kita.

Ibu bapa bagaikan Tuhan Maha Esa yang maha mengetahui segala-galanya yang terbuku di dalam lautan hati anak-anak mereka.

Ibu bapa kita boleh diumpamakan radar kehidupan kita yang sentiasa mengetahui arah tuju dan destinasi kehidupan kita kerana merekalah yang melukiskan perjalanan hidup kita sejak kecil.

Janganlah sekali-kali kita lupa akan hakikat bahawa kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa.

Ibu bapa yang menadah tangan untuk memanjatkan doa demi kesejahteraan kita bagai Tuhan yang merestui perjalanan hidup kita sampai bila-bila.
3
Sekolah
Sekolah bagai kilang pendidikan yang melahirkan bakal pemimpin masa depan yang berpengetahuan dengan pakej sahsiah diri yang terpuji.

Sekolah itu institusi yang paling agung ilmunya kerana guru-guru itu pendidik nombor utama yang mendukung pembangunan modal insan pada era modenasasi ini.

Selangkah kita masuk ke pintu gerbang sekolah, selangkah lagilah kita sudah dekat dengan puncak kegemilangan yang dicari-cari.

Tiada sekolah di dunia ini yang melahirkan anak murid yang jahat tetapi banyak anak murid yang mencemarkan nama sekolah gara-gara perbuatan diri yang tercela dan terhina.

Sekolah itu gua peradaban insan yang melahirkan pendeta berilmu dan pemimpin berilmiah serta pengikut yang berkewibawaan.

4
Didikan agama dan moral
Didikan agama dan moral ialah perhiasan diri terakhir kita sebelum kembali ke pangkuan Tuhan yang akan mengadili kita di rumah keadilan.

Mana-mana manusia yang sentiasa mengingati Tuhan sebelum mengambil apa-apa tindakan dalam hidupnya, maka dialah yang akan dapat memasuki mana-mana pintu syurga pilihannya.

Agama dan didikan moral bagaikan tiang kukuh dalam kehidupan kita yang akan menentukan kekuatan jati diri kita apabila menghadapi cabaran dan liku-liku kehidupan.

Apalah gunanya kaya material dan harta di birai mata tetapi miskin ajaran-Nya sehingga tidak mampu membeli kunci ke pintu syurga.

Tiada agama di bumi ini yang mendidik kita kehancuran dan tiada didikan moral yang menggelongsorkan kita ke lurah kebejatan sosial.
5
Kawan
Kawan biar seribu, lawan biar satu. Jangan kita sengaja mencari kemurkaan Tuhan dengan berkawan dengan insan-insan durjana yang menambah kedosaan dalam hidup kita.

Kawan yang baik akan mendorong kita mengenali erti kehidupan sebenar tetapi kawan yang jahat mengajar kita menipu diri sehingga mencalarkan nama baik kita.

Kawan merupakan seperjuangan kita yang melayari lautan berombak, taulan merupakan seperjalanan kita yang mendaki bukit-bukit harapan sama-sama demi membina tinta-tinta kecemerlangan dalam hidup.

Persahabatan pasti wujud dalam kamus kehidupan kita kerana tanpa kawan, hidup kita tiada ertinya seperti lautan tanpa ikan dan pergunungan tanpa batu-batan.

Insan pertama yang melekat di dalam hati apabila kita mula mengejar ilmu dan kejayaan di sekolah ialah kawan yang sejati dan sehati sejiwa.
6
masyarakat
Masyarakat yang madani bukanlah masyarakat yang pulang dari Madinah atau sudah menunaikan fardu haji di Mekah semata-mata kerana ilmu duniawi itu bekalan material tetapi ilmu akhirat itu bekalan ke syurga.

Masyarakat yang hidup bersulamkan prinsip bersatu kita teguh, bercerai kita roboh adalah lebih berkualiti daripada masyarakat yang hanya berpolitikkan perkauman.

Jatuh atau bangunnya sesebuah masyarakat bergantung pada kukuh atau lemahnya pupuk kepemimpinan ketua masyarakat setempat.

Masyarakat yang bersatu hati bagaikan sepuluh batang kayu yang diikat bersama kerana sukar dipatahkan manakala masyarakat yang mementingkan diri bagaikan sebatang kayu yang mudah dipatahkan.

Kemajuan sesebuah negara bukan terletak pada kerajaannya tetapi terletak pada kesatuan hati penduduknya yang kukuh.
7
Mulut
Kata-kata manusia itu lebih tajam daripada pisau kerana menusuk kalbu dan merobek hati serta jantung kita yang disulami kasih sayang.

Manusia hanya pandai berkata-kata tanpa menggerakkan tenaga dan kudratnya untuk melaksanakan tugas.Manusia seperti ini bagaikan pokok yang tinggi dan berdaun lebat tanpa berbuahkan hasil.

Mata pena hanya menulis kata-kata untuk dibaca, mata hati mengumpulkan kata-kata untuk diluahkan sehingga menggores perasaan relung hati manusia yang mudah hancur.

Mulut manusia yang berbisa boleh mencakar hati serta meracuni perasaan manusia kerana kelukaan yang disebabkan oleh kata-kata itu dalamnya tidak dapat diramalkan.

Janganlah kita suka berkata-kata sesuatu untuk memperburuk orang lain kerana satu jari menuding orang lain, empat daripada jari tangan itu sedang menuding kita.  
8
ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang itu bagai hiasan diri yang paling mahal tanpa jenama yang hanya mengenal nama bukannya kualiti.

Kualiti dalam diri seseorang itu terletak pada ketinggian ilmu pengetahuan yang dikautnya sepanjang merenang lautan cabaran dalam kehidupannya.

Ilmu itu pelita hidup yang mampu menyuluh kehidupan kita dan menerangi jalan hidup kita yang sentiasa mendepani persimpangan dilema.

Ketinggian ilmu pengetahuan dalam diri seseorang itu adalah seperti kekukuhan menara yang dibinanya dengan usaha yang konkrit dan kesungguhan yang tidak pernah mencapai titik noktah.

Ilmu yang kita pelajari tidak dapat dijual beli kerana pengalaman menimba ilmu ialah saat-saat yang paling berharga dalam kehidupan kita sebagai pencinta ilmu.
9
Kesedihan
Kesedihan merupakan penyakit yang tidak dapat didiagnos dengan ilmu pengetahuan tetapi hanya dapat dikenal pasti dengan menyelami hati dan lautan perasaan seseorang.

Setiap linangan air mata manusia merupakan setiap retak dan robekan hati nurani manusia yang tidak mungkin dapat dibaiki kerana luka mungkin boleh sembuh tetapi parut tetap ada.

Manusia yang tersungkur jatuh ke lurah kedukaan itu mudah dihanyutkan oleh arus perasaan yang amat emosional kerana kederasan arus lara itu mampu menjana kekecewaan yang selautan luasnya.

Sedih dan air mata merupakan kawan sejati kepada hati manusia yang terluka kerana manusia yang terluka amat memerlukan air mata untuk merembeskan segala kesedihan di dalam hatinya.

Air mata merupakan hadiah kepada manusia yang melukakan hati seseorang dengan kata-kata atau perbuatan melampau yang tidak disengajakan atau sebaliknya.


2 comments:

  1. terima kasih cikgu , ayat yang bombastik dan sangat membantu utk mengarang karangan yang mantap .

    ReplyDelete

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.