Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
20 February 2009
Soalan 1: Perbezaan antara Dato' dengan Datuk
19 February 2009
Kata Bilangan
kata bilangan tak tentu
beberapa, segala, seluruh, sekalian, para, setengah-setengah, sesetengah, dan sebagainya
kata bilangan pecahansuku, setengah, separuh, tiga suku, satu per tiga, lima per tujuh, dan sebagainya
kata bilangan pisahan
setiap, masing-masing dan tiap-tiap
kata bilangan himpunan
kedua-dua, ketiga-tiga, berpuluh-puluh, berminggu-minggu, berbulan-bulan, beribu-ribu, ribuan, beratus-ratus, ratusan, berjuta-juta, jutaan, dan sebagainya
kata bilangan tingkat
pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya
KESALAHAN UMUM PELAJAR
1. Beberapa pelajar (salah)
Pembetulan: Beberapa orang pelajar
(kata bilangan beberapa MESTI diikuti penjodoh bilangan)
2. Lima setengah jam (salah)
Pembetulan: Lima jam setengah
(kata bilangan pecahan mestilah di letakkan di hujung kata bilangan tentu)
3. Setiap orang pelajar (salah)
Pembetulan: Setiap pelajar
(pelajar sudah menunjukkan "orang", maka TIDAK perlu penjodoh bilangan "orang" lagi.
4. Beribu hadiah, berjuta bintang, (salah)
Pembetulan: Beribu-ribu buah hadiah, berjuta-juta butir bintang, beratus-ratus buah kereta
(beribu bermaksud "mempunyai ibu", berjuta bermaksud "ada juta")
5. Kedua ibu bapa (salah)
Pembetulan: Kedua-dua orang ibu bapa
(kedua bermaksud "tempat kedua" dan kedua-dua bermaksud "dua orang yang terlibat")
6. Setiap-tiap pelajar, tiap pelajar (salah)
Pembetulan: Setiap pelajar, tiap-tiap pelajar
(Dalam BM, hanya ada "setiap" dan "tiap-tiap")
Latih Nahu
Nyatakan sama ada frasa di bawah betul (B) atau salah (S), kemudian berikan jawaban yang betul untuk menggantikan jawaban yang salah.
- Kedua-dua orang menteri ( )
- Satu suku jam ( )
- Dua ringgit setengah ( )
- Setengah pelajar ( )
- Separuh daripada murid di dalam kelas ( )
- tiap peserta pertandingan ( )
- beribu-ribu buah komputer ( )
- Setengah-setengah remaja ( )
- Seluruh buah kampung ( )
- tempat keempat belas di dalam kelas ( )
17 February 2009
Kesalahan Ejaan dan Imbuhan
(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
Pada kertas SPM November 2008, LPM membuat kejutan sekali lagi apabila menukar arahan daripada kertas SPM Ulangan kepada arahan berikut:
(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
Setahu saya, banyak guru sekolah yang masih belum mengetahui perubahan ini. Guru-guru yang tidak mengambil inisiatif untuk mencari maklumat terbaharu seperti kertas SPM Ulangan dan Soalan SPM sebenar ini kebanyakannya masih meminta pelajar menulis jawaban seperti format lama. Oleh itu, berikut ialah beberapa latihan latih tubi yang saya petik daripada akhbar untuk latihan bersama.
Jawaban contoh:
Latihan 1
(i) dinegara - di negara
memenuhkan - memenuhi
Latih Nahu 4
(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
Latih Nahu 5
Sebagaimana kita sedia maklum, remaja yang berusia antara 12 hingga 19 tahun merupakan gulungan yang terhadap proces perubahan dari segi fizikal, mental, gaya hidup dan sebagainya. Malangnya, dada-dada akhbar sering kali terpampang berita mengenai masalah sosial yang berkaitkan golongan remaja yang masih bersekolah. Realitinya, masalah ini amat membimbangkan semua pihak terutamanya ibubapa. Sebenarnya terdapat banyak punca yang disebabkan masalah ini semakin berleluasa.
[ 6 markah ]
Latih Nahu 6
Demi aspirasi tidak mahu melihat rakyat membumbungkan angkasa dan berlantaikan tanah gersang, kerajaan telah mengambil anjakan paradigme dengan melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (KPR). Projek ini bertitik tolak daripada hasil kaji selidik kerajaan bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kata Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting yang juga terangkap Presiden MCA, 35 Peratus daripada rakyat tempatan masih menyewa rumah. Golongan yang kaya terus menjadi lebih kaya dalam senareo ini. Oleh hal yang demikian, innisiatif kerajaan ini seyogianya diterima dengan hati dibuka oleh rakyat nusa ini demi kemajuan rakyat.
[ 6 markah ]
Latih Nahu7
Gengsterisme harus berhentikan di sekolah. Seseorang pelajar itu pergi ke sekolah untuk menimpa ilmu pengetahuan dan bukan untuk melaku kegiatan yang tidak bermoral ini. Semua pihak, terutamanya pihak sekolah serta ibu bapa perlu bekerjasama untuk mengatasi masaalah mereka. Ibu bapa juga patut mengambil berat terhadap anak-anak mereka serta mempastikan mereka tidak terlibat dalam kegiatan gengsterisme. Jika semua pihak bekerjasama, sudah pasti kegiatan gengsterisme dapat mengatasi.
[ 6 markah ]
Berikut ialah perkataan yang pernah kerluar dalam soalam SPM sebenar sejak cabang "kesalahan ejaan dan imbuhan" diperkenalkan mulai tahun 2004.
16 February 2009
Karangan Jenis Forum
Tajuk: Rasuah
Saudara B : Assalamualaikum dan terima kasih saudara pengerusi. Berdasarkan laman web suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), rasuah merupakan suatu perbuatan yang melibatkan pemberian dan penerimaan wang atau barangan tertentu dengan niat untuk mengelakkan tindakan diambil atau mendapat keistimewaan. Amalan rasuah ini melibatkan semua lapisan masyarakat sama ada dalam sektor awam ataupun swasta. Antara jenis sokongan pula adalah dalam bentuk material seperti wang, kereta, dan rumah, dan bentuk hiburan seperti wanita, melancong ke luar negeri dan sebahagainya.
Saudara C : Menurut Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan amalan rasuah sebagai barah dan jika dibiarkan akan menyebabkan sesebuah kerajaan runtuh dan sekali gus menjatuhkan imej Negara di mata antarabangsa.
Pengerusi : Kita sudah jelas mengenai isu rasuah. Sekarang apakah pendapat ahli panel kita mengenai punca rasuah?
Saudara B : Saudara pengerusi. Izinkan saya mencelah sedikit. Punca utama ialah pengaruh rakan. Apabila melihat rakan sekerja menerima rasuah dan menikmati pelbagai kemewahan hidup tanpa dikenakan sebarang tindakan, seseorang itu akan terpengaruh untuk menerima rasuah. Tekanan di tempat kerja ini mampu mengganggu perasaan, apatah lagi jika pegawai atasan juga turut terlibat. Tanpa berfikir panjang, seseorang itu akan mudah terpengaruh dan turut mengamalkan rasuah kerana ingin cepat menikmati kemewahan hidup di dunia yang fana ini.
Pengerusi : Mungkin saudara C ingin menambah pendapat mengenai punca rasuah?
Saudara C : Pengerusi, saya bersetuju dengan pendapat saudara B. Selain itu , Undang-undang di Negara kita pula lemah menyebabkan ramai orang tidak takut atas hukuman yang dikenakan. Contohnya, tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Di samping itu, Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana golongan penerima duit kopi ini sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diterima oleh mereka itu setelah keluar dari penjara.
Pengerusi : Terima kasih saudara C, saya berharap kita semua boleh berganding bahu untuk mencegah rasuah dan jangan menbiarkannya berakar umbi dalam sanubari rakyat Malaysia. Lagipun, masalah ini semakin serius. Apakah pandangan saudara B berhubung dengan langkah-langkah mengatasinya?
Saudara B : Kerajaan perlu memgubah sikap kakitangan awam dan swata agar lebih amanah dan bertanggungjawab. Slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu dihayati oleh semua kakitangan awam dan swasta. Perkhidmatan kaunter telah pun diperkenalkan di kesemua pejabat kerajaan untuk mengelakkan sebarang amalan memberi dan menerima "wang kopi". Kerenah birokrasi juga hendaklah dikurangkan ataupun dihapuskan bagi mewujudkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Hal ini pernah diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika berucap di Parlimen baru-baru ini.
Pengerusi : Terima kasih saudara B. Nampaknya, saudara C ada sesuatu yang hendak diucapkan. Silakan.
Saudara C: Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang agar masyarakat sedar betapa bahaya dan seriusnya masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan Negara. Dendaan yang lebih berat dan hukuman penjara diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang baru diluluskan di Parlimen baru-baru ini mampu menakutkan gologan berkenaan. Pihak mahkamah juga disarankan agar mengenakan hukuman maksimum. Kuasa yang lebih untuk bertindak terhadap orang ramai yang enggan bekerjasama den pihak SPRM juga boleh mengubah sikap orang rami yang selama ini enggan bekerjasama. Pemberi maklumat juga perlu diberi ganjaran yang lumayan. Mereka juga harus mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa.
Pengerusi : Terima kasih saudara C, dan saya kira kita sudah berada pada penghujung forum. Sebagai rumusannya, saya kira masalah rasuah di Negara kita merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani segera. Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak dapat menbantu kerajaan menangani masalah ini. Di samping itu, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tinggi kepada ahli-ahli panel. Namun, apakan daya masa tidak mengizinkan kita berbicara dengan lebih lanjut. Sekian, terima kasih.
13 February 2009
CIKGU TAK FAHAM, KENAPA?
CIKGU TAK FAHAM
Cikgu itu tak faham
Cikgu itu tak faham
Cikgu itu tak faham
Cikgu itu tak faham
Cikgu itu tak faham
Mungkin kini guru itu sudah faham
CIKGU TAN
Saya teringat akan lagu ini secara tiba-tiba. Hal ini berlaku demikian kerana saya teringat akan pelajar yang pernah berjanji kepada saya tetapi tidak mengotakan janji mereka. Oleh sebab itu, janganlah ada dusta antara kita. Jikalau berjanji, tunaikanlah janji itu. Usahlah biar dusta menutup kebenaran di dalam hati.
Salam Santai Minggu.
10 February 2009
Pementasan "DanSing Thru Broadway" oleh pelajar saya.
Tarikh: 19 dan 21 Februari 2009
Masa: 8.30pm
Harga tiket: RM200, RM150, RM80, RM50
20% discount for purchase of 4 or more tickets
10% discount for senior citizends (55+)
10% discount for MPO subscribers
Discounts cannot be combined
Tickets are available at:
Box Office, Dewan Filharmonik PETRONAS,
Ground Floor, Tower 2, PETRONAS Twin Towers,
KLCC, 50088 Kuala Lumpur
Tel: 03-2051 7007
Semoga pementasan ini sukses!
Jom sama-sama ikut saya memberi sokongan kepada rakan pelajar anda!
8 February 2009
Thaipusam - Perayaan Eksklusif di Malaysia
Tujuan dan objektif sambutan ini sentiasa menjadi tanda tanya kaum-kaum lain. Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi maklumat bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.
Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, "kavadi" (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas) akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.
Pelbagai cara "menyeksa diri" dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga dalam kalangan pembazar nazar atau peminta ampun yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belalang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sentimeter. Perayaan ini bukan sahaja melibatkan penganut agama Hindu di Malaysia, malah pelancong asing dari seantero dunia. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.
Boleh dikatakan semua pembayar nazar berada dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu. Ada juga yang percaya, dewa yang memberi "kuasa" kepada mereka untuk berbuat demikian dan mereka seolah-olah jalan terumbang-ambing dan berada dalam keadaan separuh sedar. Amalan ini amat dipandang berat dalam perayaan ini. Sebenarnya, Agama Hindu berasal dari India dan dibawa ke Malaysia oleh buruh-buruh ladang pada zaman penjajahan British seawal 1786 di Pulau Pinang. Perayaan Thaipusam pada zaman dahulu disambut di ladang, kuil-kuil Hindu yang dibina dengan pembiayaan beberapa orang penganut Hindu yang berkemampuan. Oleh hal yang demikian saiznya tidaklah begitu besar. Di Malaysia, antara kuil yang bersaiz besar terletak di Sungai Petani, Georgetown, Teluk Intan, Hutan Melintang , Seremban, Johor Baharu , Kuala Lumpur dan lain-lain.
Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia jika dibandingkan dengan di India, Hal ini berlaku demikian kerana di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Mengikut kajian, Thaipusam dapat menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar yang berkumpul di beberapa buah kuil Hindu yang besar sahaja. Selain disambut di Malaysia, negara lain seperti Singapore, Afrika Selatan, Sri Lanka dan lain-lain juga meraikannya.
Sambutan yang juga dipanggil "Kartikeya Thaipusam" yang juga untuk memohan keberkatan dewa Shiva dan Parvati ini juga dikenali sebagai "Kartikeya, Subramaniam, Sanmukha, Shadanana, Skanda and Guha". Kejayaan melawan anasir jahat merupakan kunci utama perayaan ini disambut. Oleh itu, semua rakyat yang diam di Malaysia haruslah bersyukur dengan Malaysia yang hanya merupakan negara kecil tetapi berbilang kaum dan agama. Kita dapat hidup aman dan damai atas payung kedaulatan yang dikurniakan oleh-Nya.
Kepentingan Sektor Pertanian
Karangan Contoh Pelajar
Sektor pertanian pernah menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara pada suatu ketika dahulu. Hasil getah, kelapa sawit, padi dan seumpamanya juga pernah menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini. Namun, kemajuan arus pembangunan negara yang lebih menjurus kepada sektor perindustrian telah menenggelamkan bidang pertanian sedikit demi sedikit terutamanya dalam dekad terakhir abad kedua puluh. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada permulaan awal alaf baharu ini, mengembalikan semula kepentingan bidang pertanian di negara kita.
Peralihan pucuk pimpinan negara pada akhir tahun 2003 mungkin dapat dilihat sebagai permulaan terhadap kebangkitan semula sektor pertanian di negara ini dari zaman suramnya kira-kira dua dekad yang lalu. Kesungguhan kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memajukan bidang pertanian dapat dilihat melalui peruntukan pembangunan yang sangat banyak untuk memajukan bidang ini kita saksikan dalam belanjawan tahun 2005. Langkah ini amat tepat memandangkan negara kita mengimport bahan makanan yang terlalui banyak seperti gula, beras, buah-buahan dan sebagainya sedangkan kita mampu menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut. Oleh itu, tumpuan terhadap bidang pertanian mampu mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan sekali gus mengelakkan defisit pada imbangan perdagangan luar negara.
Selain dapat mengukuhkan imbangan perdagangan negara, penumpuan terhadap sektor pertanian berupaya mengelakkan pergantungan negara pada bekalan bahan makanan dari luar negara. Hai ini berlaku demikian kerana kadar pertumbuhan pesat penduduk di negara ini yang sudah pasti akan memerlukan jumlah makanan yang lebih besar. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, gula dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini. Jika kekurangan buruh dijadikan alasan,kita boleh menggunakan buruh-buruh asing yang bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya untuk bekerja di sektor pertanian. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menggunakan khidmat buruh yang murah bahkan dapat mengelakkan buruh-buruh asing ini daripada merampas peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan.
Pada hemat saya, keadaan dunia yang kucar-kacir akibat peperangan yang sering tercetus mewajarkan kita menumpukan perhatian untuk membangunkan sektor pertanian secara lebih serius. Dalam masa yang sama, negara kita Malaysia mempunyai tanah-tanih yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah Allah ke atas bumi kita. Dari satu sudut yang lain pula, kita telah melihat kegagalan banyak syarikat yang berasaskan industri dan perkilangan di negara ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, jika kita menumpukan pengeluaran negara kita dalam menghasilkan produk pertanian, persaingannya di peringkat antarabangsa tidak sehebat persaingan dalam sektor perindustrian terutamanya sektor yang berasaskan teknologi maklumat. Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri.
Satu lagi alasan yang mewajarkan negara kita memberi tumpuan semula kepada sektor pertanian ialah bahan-bahan mineral yang ada di negara kita sudah semakin berkurangan. Petroleum dan gas asli dijangka akan habis menjelang tahun 2050 jika telaga yang baharu tidak ditemukan. Bijih timah dan bijih besi pula sudah tinggal sisa-sisanya sahaja sedangkan bahan-bahan ini amat penting untuk menggerakkan sektor perindustrian dan pembinaan. Sementelahan, kerajaan kita mempunyai pelbagai agensi yang dapat membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian seperti Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi yang lain yang telah membuktikan keberkesanan peranan mereka. Malah sektor perikanan di negara kita khususnya perikanan laut dalam juga berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber ekonomi yang baharu.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini. Kita juga wajar menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan bidang pertanian untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Bak kata peribahasa Melayu, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
5 February 2009
Penggunaan "k" dan "kk" yang mengelirukan.
Guru-guru bolehlah membina jadual seperti di bawah dan menyuruh para pelajar mencari kata akar yang berakhir dengan konsonan "k" supaya dapat melatih mereke untuk mengenal pasti penggunaan 1k dan 2k.