7 May 2008

Demam Peperiksaan Bermula!

Menjadi tanggungjawab setiap pelajar untuk belajar sepanjang masa, sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.
JENIS-JENIS PERSEDIAAN
1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan

PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat yang penting iaitu :
Persediaan Peringkat Awal, iaitu persediaan sepanjang waktu persekolahan. Hal Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahami apa-apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.
Persediaan Peringkat Pertengahan, iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya pelajar membaca semua nota ringkas semula dan cuba meringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan pelajar mengingati apa-apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali nota yang diingati. Pastikan pelajar faham akan pengajaran setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan peperiksaan sebenar yang lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.
Persediaan Akhir, iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anda dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
PERSEDIAAN MENTAL

Malam Peperiksaan
-Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
-Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan di tempat yang senang diambil dan mudah diingati.
-Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.


Pagi Sebelum Peperiksaan
-Jangan lupa ambil sarapan pagi
-Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Langkah ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
-Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merunsingkan fikiran anda.
-Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
-Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
-Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.

MEMULAKAN PEPERIKSAAN
-Dengar arahan pengawas peperiksaan.
-Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
-Lihat semua soalan.
-Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
-Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
-Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.

MENJAWAB SOALAN
Soalan Objektif
-Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Bahasa Melayu Kertas 1 BM PMR (bilangan soalan ialah 40, masa diperuntukkan 1 jam).
-Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
-Lihat semua pilihan jawaban. Tandakan (x) untuk jawaban yang anda pasti salah. Jawaban yang tinggal ialah jawabannya.
-Pastikan jawaban ditandai pada petak yang betul.
-Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan. Jika masih tidak dapat menjawabnya, tandakan jawaban yang anda rasa yakin.
-Jika ingin mengubah jawaban, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baharu dengan elok. Jangan menandakan dua jawaban pada satu soalan.

Soalan Esei
-Pilih soalan yang paling banyak isi
-Kenal pasti bentuk soalan seperti :


Mulai menjawab dengan tenang
-Jawab semua soalan yang ditetapkan.
-Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawaban tidak dinilai berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
-Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang dengan gaya bahasa.
-Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak keluar atau menyimpang atau terpesong daripada tajuk.
-Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
-Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
-Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impresion' markah.
-Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting dalam menghadapi peperiksaan.

Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu pengukur atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyeksa dan membebankan. Oleh itu, bertawakallah kepada Tuhan, nescaya anda pasti berjaya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.