27 May 2008

Jom Kita ke Rumah Kebajikan Padmasambhava, Klang.

(gambar di atas telah saya ambil daripada laman web Rumah Kebajikan Padmasambhava)
"Berat Mata Memandang,
Berat Lagi Bahu yang Memikulnya"

Demikianlah kata mutiara yang sinonim dengan penghuni rumah kebajikan. Rumah kebajikan yang semakin banyak dibina bak cendawan tumbuh selepas hujan merupakan femonena yang lumrah sebagai impak kebobrokan dan ketidakberperikemanusiaan insan bumi ini. Kita melihat dan bersimpati dengan mereka, namun merekalah yang benar-benar merasai segala kekurangan yang ada di persekitaran hidup yang penuh pancaroba ini.
Penghuni rumah kebajikan yang akan saya lawat bersama pihak PTAG kali ini bernama Rumah Pengasih Padmasambhava (Padmasambhava Children Loving Association.) yang terletak di Klang. Jika tidak mengenali mereka, anda boleh melayari laman web rumah kebajikan ini dengan mengeklik http://www.childrenlovinghome.org/index.html untuk memahami keperluan mereka. Mengikut catatan dalam laman web tersebut, kebanyakan kanak-kanak yang menumpang kasih di situ tinggal sehelai sepinggang dan hidup sebatang kara tanpa ibu bapa.
Dengan hati nurani yang bersih dan suci, pihak yang berhati murni telah menubuhkan rumah kebajikan ini. Daripada membiarkan anak-anak kecil hidup berbumbungkan langit biru dan berlantaikan tanah gersang, anak-anak yang tidak berdosa perlu diberi pendidikan demi masa depan yang terjamin. Ada antara mereka yang terpaksa mendiami panti asuhan ini gara-gara menjadi mangsa keganasan dan penderaan manusia yang berhati binatang.
Oleh hal yang demikian, destinasi yang dipilih oleh Cikgu Lee dan Cikgu Pua dari PTAG amat sesuai dengan emosi dan rohani pelajar di PTAG. Lihatlah sendiri betapa bernasib baiknya kita semua berbanding insan malang dan terbiar tanpa penjagaan rapi. Oleh itu, Tepuk dada, tanya selera. Bukankah insan yang hidup di bumi ini perlu memegang resmi "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"? Hidup di dunia ini sementara sahaja, janganlah kita berpeluk tubuh tanpa membuat sesuatu pada kala penghuni rumah kebajikan memerlukan ikhsan kita.
Wahai murid-muridku, saya berharap dengan lawatan ke tempat yang bermakna ini, nilai keinsafan dan kesyukuran akan terbit dalam sanubari kita. Bak kata peribahasa, "hari ini hari orang, mungkin esok hari kita". Sebagai manusia di alam fana ini, eloklah kita menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Janganlah nanti ada ahli masyarakat menuding jari kepada golongan murid dan pelajar yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, terutamanya remaja atau belum remaja lagi sebagai golongan yang lemah.
Sebagaimana saya sedia maklum, ada antara yang setia mendiami rumah kebajikan itu terdiri daripada remaja perempuan yang terlanjur dan hilang arah tuju selepas mengandungkan bayi tanpa dirancang. Hal ini membuktikan bahawa kancah sosial dalam kalangan masyarakat sudah bisul jadi nanah. Daripada rancangan lawatan ini, nescaya kita dapat berkongsi-kongsi pendapat dengan mereka yang pernah tergelincir dalam norma kehidupan. Namun, mereka masih bernasih baik kerana kita masih berhati nurani kudus dengan menerima mereka seadanya.
Secara total, lawatan ini saya anggap sebagai "sambil menyelam, minum air". Kita dapat mempelajari erti kehidupan sebenar di samping mengetahui warna-warna insani di luar kepompong persekitaran kita. Nescaya, jumlah ahli rombongan adalah terhad mengikut prinsip "siapa cepat, dia dapat".
Sesiapa yang berminat, daftarkan diri anda secepat mungkin dengan menghubungi PTAG dalam talian 03-51212558. Hubungi (Wei Le) untuk keterangan lanjut. Setahu saya, yuran pendaftaran hanya RM10 berserta hidangan tengah hari.
"BUAT BAIK BERPADA-PADA,
BUAT JAHAT JANGAN SEKALI"

26 May 2008

Karangan panjang SPM - Surat Kiriman Tidak Rasmi

Saya telah selesai menyemak karangan pelajar PTAG minggu lalu, sebelum 19 Mei 2008. Dalam karangan kali ini, saya dapati kematangan pelajar semakin meningkat selaras dengan peningkatan kualiti penulisan. Dalam penulisan karangan jenis surat kiriman tidak rasmi, lima elemen penting yang harus diberi perhatian, yakni

(a) Format
(b)Tema
(c)Isi
(d)hubungan antara pengirim dan penerima
(e)bahasa
(a) Format
Format memainkan peranan penting dalam semua jenis penulisan. Untuk surat kiriman rasmi, empat markah untuk format mestilah dikuasai oleh pelajar. Antaranya ialah alamat pengirim, tarikh, kata sapaan, tandatangan dan penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai. Kesalahan yang terdapat dalam surat akan menyebabkan markah dipotong. Lihat contoh soalan dan contoh petikan karangan di bawah:

Soalan:
Tulis sepucuk surat kepada sahabat dari negeri lain dan ceritakan keadaan sekolah anda yang serius dengan masalah vandalisme. Terangkan kesan vandalisme kepada diri anda, pelajar lain, guru dan pihak sekolah.
Tulis surat itu selengkapnya.
[ 100 markah ]

Pendahuluan
Ke hadapan saudara Alex Oh yang berada di Kuantan. Semoga kamu dan keluarga sihat sejahtera. ( kamu sepatutnya ditulis saudara)

Penutup
Semoga saudara Alex dan saya berjumpa lagi dalam warkah telah datang. Kirimkan salam saya kepada keluarga saudara. Semoga dengan keizinan Tuhan, persahabatan kami akan sentiasa bertaut erat. ( kami sepatutnya ditulis kita)


(b) Tema
Tema merupakan persoalan utama yang perlu ditulis oleh calon peperiksaan. Dalam karangan di atas, kebanyakan pelajar hanya menulis tentang vandalisme. Tiga elemen penting yang berkaitan dengan tema karangan tersebut ialah:
i) harta benda awam
ii) isu kerosakan harta benda di sekolah
iii) kecintaan dan kesyukuran terhadap harta benda awam.

Tema bukanlah pendahuluan. Tema perlulah dimasukkan dalam setiap pelosok karangan tidak mengira pendahuluan, isi, dan penutup surat. Sebagai contoh, lihat petikan ayat yang berkaitan:

i) Harta benda awam sebenarnya titik peluh ibu bapa kita juga. Harta kerajaan sebenarnya harta rakyat juga. Walakin begitu, rasional ini tidak pernah terbit dalam sanubari pelajar sekolah saya.

ii) Media massa tidak pernah gersang daripada menyiarkan isu kerosakan harta benda di sekolah. Menurut kajian, kerosakan yang mencecah berjuta-juta ringgit ini merupakan pembaziran yang tidak perlu. Kebanyakan pelajar lupa bahawa “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Mereka bermaharajalela di sekolah dengan merosakkan kerusi meja sesuka hati tanpa memikirkan impaknya.

iii) Kesyukuran merupakan elemen penting yang perlu diaplikasikan dalam jiwa murid-murid. Dengan hati yang sentiasa bersyukur, saya yakin kesalahan vandalisme dapat dibendung daripada terus leluasa di alma mater.

(c) Isi
Isi penting memainkan peranan penting kerana suku daripada keseluruhan markah penulisan merupakan sumbangan isi. Setiap isi penting yang diutarakan oleh calon haruslah menepati soalan dan menjawab soalan. Formula [ ISI – HURAIAN – HURAIAN – CONTOH – HURAIAN – HURAIAN – KESIMPULAN ] ( I H H C H H K ) bolehlah digunakan sebagai panduan. Lihat tamsilannya:

Isi 1 Kesan vandalisme kepada diri
I - kesulitan
H - menyusahkan
H - menyukarkan
C - telefon awam rosak
H - gagang terputus
H - tidak dapat menghubungi
K - terpaksa meminjam telefon sekolah

Contoh perenggan

Saudari Alex,
Gejala vandalisme yang merupakan duri dalam daging di sekolah amat menyusahkan saya. Pernah sekali, saya tidak berasa sihat dan mahu menghubungi ibu bapa untuk membawa saya ke klinik. Malangnya, kebobrokan sikap pelajar telah menyusahkan saya untuk menghubungi ibu bapa saya. Situasi pada waktu itu memang tidak dapat saudara gambarkan kerana semua telefon awam di sekolah telah rosak sehingga menyukarkan pihak sekolah yang sudah pun sibuk dengan hal ehwal pentadbiran sekolah. Pelajar di sekolah saya semakin berani sehingga merosakkan telefon awam yang terletak di luar pejabat sekolah. Gagangnya terputus dan wayarnya terbiar tanpa diselenggarakan waima dibaiki. Hal ini menyebabkan saya tidak dapat menghubungi ibu bapa saya dan terus terseksa demam panas dan pening kepala. Akhirnya, saya terpaksa meminjam telefon sekolah sebagai jalan penyelesaian. Lihatlah saudara, betapa susahnya apabila kemudahan awam dirosakkan!

(d) hubungan antara pengirim dan penerima
Saudara Alex,
Dalam surat yang lalu, saudara pernah berceritakan kerosakan taman permainan kanak-kanak di taman perumahan yang saudara diami. Rupa-rupanya kejadian yang sama juga berlaku di sini. Harta benda sekolah saya mengalami nasib yang sama. Aduhai, kita ini sama-sama tingkatan empat, sama-sama menjadi mangsa kerosakan harta benda. Saya berpendapat bahawa kempen antivandalisme yang dijalankan oleh kerajaan tidak mencapai objektifnya. Adakah saudara pernah menyertai aktiviti seumpama ini? Jikalau tidak keberatan, saya berharap agar saudara dapat berkongsi idea dan pengalaman dengan saya. Maklumlah, hubungan kita yang erat bagai isi dengan kuku mestilah hidup bagai aur dengan tebing. Masih ingat nasihat bapa saya dalam surat yang lepas? Ha, jangan lupa!


(e) bahasa
Bahasa memainkan peranan yang penting kerana hampir separuh ( 45%) daripada markah penulisan ialah aspek bahasa. Oleh sebab itu, saya sentiasa berharap pelajar mematuhi tatabahasa dan hukum-hakamnya agar cemerlang dalam penulisan karangan. Kesalahan seperti berikut mestilah dielakkan.

* vandalisme berlaku di mana sahaja. ( kesalahan istilah)
vandalisme berlaku di mana-mana sahaja.

* Kesalahan vandelisme semakin leluasa. ( kesalahan ejaan)
Kesalahan vandalisme semakin leluasa.

Dengan menguasai dan memahami penjelasan di atas, saya yakin anda akan skor dalam penulisan karangan. Kejayaan dalam penulisan akan meyakinkan anda untuk terus cemerlang dalam bidang yang lain. Harus diingati, kejayaan mencapai kematangan dala karangan bukannya usaha sehari, kejayaan tersebut memerlukan 5K, yakni:

KERJASAMA antara pelajar dengan guru!
KOMITMEN dalam kerja rumah yang diberikan!
KOPERASI antara nota, latihan, dan penyemakan!
KESUNGGUHAN membaiki kesalahan dan kesilapan!
KETABAHAN menghadapi komen negatif dan teguran guru!

23 May 2008

Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih (Batu Puteh)


Pulau Batu Puteh (bahasa Inggeris: Pedra Branca) merupakan sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia. Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 kilometer dari Pengerang dan 64 kilometer ke timur Singapura. Hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor. Pulau ini merupakan satu subjek pertikaian antara Malaysia dengan Singapura yang membawa kepada kes tuntutan Mahkamah Antarabangsa di Belanda.


Dengan Majoriti 12 - 4, Pulau Batu Putih milik Singapura. Pada 23 Mei 2008, bertempat di The Hague, Belanda, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kes tuntutan bertindih atas Pulau Batu Putih yang menjadi pertikaian antara Malaysia dengan Singapura sejak 1980 terbukti menjadi milik Singapura. Namun ICJ memutuskan Pulau Middle Rocks diberi kedaulatan dan menjadi milik Malaysia sementara South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan lokasinya.





Dalam keputusan majoriti 12 - 4, penghakiman bertulis yang dibacakan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh, mengikut pendapat para hakim keputusan itu. Kata sepakat dan pengadilan dicapai berdasarkan fakta sejarah, perundangan antarabangsa serta kesan-kesan pertindihan berkaitan tuntutan tersebut. Awn Shawkat mula membacakan penghakiman tersebut tepat pukul empat petang waktu Malaysia dan berakhir dua jam kemudian.
Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tuntutan atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.






Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.


Tuntutan terhadap Middle Rock ( sila klik gambar untuk membesarkan saiznya agar anda dapat melihatnya dengan lebih jelas) yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih. Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura".







Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu. Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim; Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Agen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin. Secara tuntas, Malaysia yang bersikap “berdiam diri” dan “memandang enteng” pulau ini menyebabkan hak milik pulau terpaksa diserahkan kepada Singapura yang masih memantau dan menjaga keselamatan rumah api yang memainkan peranan penting kepada laluan trafik di perairan Laut China Selatan. Syabas Singapura yang “diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat”. Syabas juga kepada Malaysia, persis kata peribahasa, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Saya berpendapat bahawa situasi keputusan menang – menang ini ada hikmah di sebaliknya. Untuk keterangan lanjut, layarilah laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Pulau_Batu_Puteh, untuk mengetahui butirannya.

16 May 2008

Di sini "RUMAHKU" - Artis Malaysia Menyumbang untuk Perpaduan!

Pada 20 hingga 23 Mei, saya akan menghadiri Pertandingan Debat Perpaduan antara Univerisiti yang akan berlangsung di utara negara. Saya diberi tugasan berat, yakni hakim dari segi bahasa dan keindahan ayat pendebat. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). JPNIN merupakan sebuah agensi bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan (kekkwa) yang ditubuhkan bertujuan untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar Kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Di bawah ini, saya sertakan hasil tangan salah seorang kawan saya yang bekerja sebagai editor dan penari bebas yang bekerja dengan Akademi Seni Kebangsaan. Tajuk klip video dan liriknya amat sesuai dengan kehendak semasa, yakni perpaduan nasional. saksikan!




15 May 2008

GURU CEMERLANG, NEGARA TERBILANG


Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari dan pada bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


LOGO HARI GURU


Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.

Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.

Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.



Demikianlah tema Hari Guru Tahun ini. Saya yakin banyak pelajar yang mahu menyampaikan ucapan, hadiah, dan kad kepada guru. Walau bagaimanapun, anda harus sedar bahawa mutiara kejayaan merupakan hadiah yang paling bermakna kepada guru.


IKRAR HARI GURU
Bahawasanya kami Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung Perlembagaan negara
Kami mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

(klik tajuk di atas untuk memuat turun lagu ini)

"GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG"
Guru cemerlang mengasih dan menyayang
Mendidik anak bangsa seikhlas jiwa
Gigih terus bakti hidup penuh berbudi
Maruah profesional disanjung tinggi
C/O
Guru berjasa berkhidmat dengan setia
Menjulang nama bangsa di mata dunia
Hebat tidak bermegah waja dan berkarisma
Realisasi visi dan sejati
Guru cemerlang Negara terbilang
Keunggulan dan pendidikan di mata bangsa
Guru cemerlang Negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia berkibaran


Lagu & Lirik : Rosli Ahmad, BTP




7 May 2008

Demam Peperiksaan Bermula!

Menjadi tanggungjawab setiap pelajar untuk belajar sepanjang masa, sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.
JENIS-JENIS PERSEDIAAN
1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan

PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat yang penting iaitu :
Persediaan Peringkat Awal, iaitu persediaan sepanjang waktu persekolahan. Hal Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahami apa-apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.
Persediaan Peringkat Pertengahan, iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya pelajar membaca semua nota ringkas semula dan cuba meringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan pelajar mengingati apa-apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali nota yang diingati. Pastikan pelajar faham akan pengajaran setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan peperiksaan sebenar yang lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.
Persediaan Akhir, iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anda dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
PERSEDIAAN MENTAL

Malam Peperiksaan
-Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
-Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan di tempat yang senang diambil dan mudah diingati.
-Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.


Pagi Sebelum Peperiksaan
-Jangan lupa ambil sarapan pagi
-Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Langkah ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
-Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merunsingkan fikiran anda.
-Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
-Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
-Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.

MEMULAKAN PEPERIKSAAN
-Dengar arahan pengawas peperiksaan.
-Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
-Lihat semua soalan.
-Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
-Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
-Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.

MENJAWAB SOALAN
Soalan Objektif
-Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Bahasa Melayu Kertas 1 BM PMR (bilangan soalan ialah 40, masa diperuntukkan 1 jam).
-Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
-Lihat semua pilihan jawaban. Tandakan (x) untuk jawaban yang anda pasti salah. Jawaban yang tinggal ialah jawabannya.
-Pastikan jawaban ditandai pada petak yang betul.
-Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan. Jika masih tidak dapat menjawabnya, tandakan jawaban yang anda rasa yakin.
-Jika ingin mengubah jawaban, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baharu dengan elok. Jangan menandakan dua jawaban pada satu soalan.

Soalan Esei
-Pilih soalan yang paling banyak isi
-Kenal pasti bentuk soalan seperti :


Mulai menjawab dengan tenang
-Jawab semua soalan yang ditetapkan.
-Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawaban tidak dinilai berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
-Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang dengan gaya bahasa.
-Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak keluar atau menyimpang atau terpesong daripada tajuk.
-Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
-Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
-Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impresion' markah.
-Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting dalam menghadapi peperiksaan.

Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu pengukur atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyeksa dan membebankan. Oleh itu, bertawakallah kepada Tuhan, nescaya anda pasti berjaya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

4 May 2008

Betulkan yang salah, biasakan yang betul, wahai DBKL!


Sekiranya anda pernah berkunjung ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur, anda mungkin pernah terpandang papan tanda ini. Papan tanda ini didirikan berhampiran dengan Dataran Merdeka, dan salah satu daripada tujuannya adalah untuk menunjukkan arah atau letaknya “Kelab Di Raja Selangor”, iaitu di tepi Dataran Merdeka. Dari segi penggunaan bahasa, papan tanda ini sememangnya telah menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, dari segi kualitinya kurang memuaskan.

Dalam papan tanda tersebut, ejaan kata “Di Raja” yang digunakan dalam frasa “Kelab Di Raja Selangor” sebenarnya tidak tepat. Kata “Di Raja” sepatutnya dieja “Diraja”, kerana “Di” pada kata tersebut bukanlah awalan ataupun kata sendi nama, tetapi merupakan sebahagian daripada kata dasar. Kata “diraja” sebenarnya merupakan kependekan daripada kata “adiraja”, dan dalam bidang linguistik, proses pembentukan kata tersebut dikenali dengan istilah “aferesis”. Aferesis iaitu pengguguran atau penghilangan satu huruf di awal kata, seperti hujung menjadi ujung dan hulu menjadi ulu. Jadi, ejaan frasa “Kelab Di Raja Selangor” sepatutnya diubah menjadi “Kelab Diraja Selangor”. Begitu juga dengan ejaan untuk frasa-frasa lain yang turut menggunakan kata “Diraja”, seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Papan iklan di atas salah mengeja perkataan "pasaraya". Ejaan yang betul ialah "pasar raya".

Papan tanda di atas sudah salah mengeja perkataan "LEBUHRAYA".
Ejaan yang betul ialah "LEBUH RAYA"
Secara tuntas, Saya berharap kerajaan tempatan dapat mengambil iktibar untuk membaiki kesalahan mereka meremeh-remehkan kesalahan tatabahasa Melayu dalam papan iklan. Jika pihak kerajaan tempatan sentiasa menyeru pihak peniaga dan pemilik kedai membetulkan kesalahan papan iklan mereka dengan menggunakan khidmat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagaimana pula dengan mereka sendiri? Saya berharap para pelajar yang dikasihi dapat sama-sama berjuang bersama saya untuk memfoto papan iklan yang salah dari segi bahasa dan meng-e-melkan foto tersebut kepada saya di alamat wgq4990@hotmail.com supaya kita sama-sama belajar memantau bahasa kebangsaan yang kita sayangi!


Bahasa Jiwa Bangsa!
Bahasa Menunjukkan Bangsa!
Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa!

3 May 2008

Kegagalan Formula RAHMAN


Sejak beberapa hari yang lalu, Tun Dr. Mahathir yang kita kasihi dan hormati mula menulis blog seperti yang dilakukan oleh para pemimpin yang lain. Saya juga tidak terkecuali menghantar komen dan sebuah sajak untuk menghiasi laman blognya dalam ulasan. Berikut ialah sajak tersebut:



Kegagalan Formula RAHMAN


Mungkin ada benarnya formula

RAHMAN ada kecundangnya.


Rahman membapakan dirinya kepada tanah gersang terjajah

Abdul Razak membangunkan nusa tercinta

Hussein Onn Membudayakan isi negara

Mahathir memacu kejayaan bermakna

Abdullah yang "cemerlang, gemilang, dan terbilang" kononnya

Namun, hanya tinggal laungan semata-mata!


R Rahmat yang Tuhan kurniakan

A Amat bermakna untuk kita

H Hanya semangat jitu dan membara

M Mengorbankan diri demi tanah air

A Andainya Pak Lah gagal tertahan

N Najib usah hanya berangan!




T Tokoh bangun dan diguling


U Undi kotor, bersih atau rosak


N Namun "burung tua" ini tetap bergaya!






D Daripada PM hingga menjadi "Blogger"


R Ranjau kehidupan penuh warna






M Mahathir mahaguru Malaysia


A Akhiri pentadbiran dengan jaya dan gaya


H Hanya senyuman mengukir jiwa nurani


A Akhirulkalam rakyat sejahtera semuanya


T Tun digelar, masih gagah perwira


H Harum budi dan jasanya


I Istimewa darah Melayu berdaulat


R rakyat berbangga dengan personalitinya!






Sekian, nukilan ikhlas.


Tiada makna lain selain mengapresiasi kegagahan Blogger seperti Tun Dr. Mahathir!
Semoga Tun Dr. Mahathir terus gagah, sihat, dan mempunyai idea yang bernas dalam kata-kata beliau yang pedas lagi tidak kompleks!
Saya bangga akan Tun Dr. M!

1 May 2008

Adakah Perlunya Saya Mengajar Subjek Sejarah di PTAG?



Acap kali menatap gambar yang diambil dengan bekas pelajar, sejarah lama sering mengelus-ngelus jiwa ini. Kebanyakan daripada mereka sudah sukses dengan keputusan yang cemerlang sekali gus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Memori lama, kenangan silam dan sejarah bersama pelajar seperti dalam gambar lampiran ini benar-benar menyentuh perasaan saya. Nama-nama besar di dalam kelas itu seperti Yee Peng, Kak Gee, Hee Soon, Pek Jin, Huei Kim, Heng Kian, dan banyak lagi yang tidak dapat saya berikan benar-benar menggembira dan membanggakan saya. Sejarah..... Hmm.... Saya seolah-olah terpanggil untuk membuat sesuatu berkaitan dengan sejarah. Subjek sejarah!
Di menara gading, mata pelajaran Sejarah merupakan satu subjek yang luas konsepnya. Mahasiswa yang mempelajari sosiologi, manusiawi, dan duniawi dalam konteks memperkuat dan memperkasakan bahasa Melayu. Sebagai pensyarah, saya juga ditugaskan menyampaikan asal usul kewujudan satu-satu perkataan, kenapa orang dahulu kala menggunakan perkataan aatau istilah tersebut. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat bahawa pengetahuan saya dalam subjek Sejarah sebenarnya boleh digunakan untuk membantu pelajar yang saya kasihi, terutama yang berada di PTAG. Walakin begitu, perlunya atau tidak perlunya saya mengajar anda terpulang kepada anda untuk memberi komen yang ikhlas. Saya akan mewujudkan bahagian undian "pool" pada sebelah kiri muka surat ini <-- untuk anda undi. Saya akan bertindak mengikut jawaban undian dan mula mengajar mulai Oktober atau November ini.




Sila undi atau komen.