NOTA PDPR 7
AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN MUSABAB
Ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat berbagai-bagai keterangan yang disampaikan oleh ayat kecil jenis ini, bergantung pada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang terkandung di dalamnya. Terdapat sembilan jenis keterangan, seperti yang dihuraikan di bawah. Pada Hari ini, kita akan belajar satu demi satu (9 jenis) ayat majmuk pancangan keterangan. Kita mulakan PdPR dengan jenis pertama, iaitu Ayat majmuk keterangan musabab.
(i) Keterangan musabab
Keterangan musabab ialah unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab adalah seperti kerana, lantaran, sebab, dan oleh sebab. Contohnya:
1. Saya tidak dapat hadir kerana saya kurang sihat.
(1a) Saya tidak dapat hadir.
(1b) Saya kurang sihat.
2. Mereka tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan sebab mereka datang lambat.
(2a) Mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan.
(2b) Mereka datang lambat.
3. Oleh sebab mereka mengamalkan dasar aparteid, negara itu dahulu dikenakan sekatan ekonomi.
(3a) Mereka mengamalkan dasar aparteid.
(3b) Negara itu dahulu dikenakan sekatan ekonomi.
4. Pelajar itu berjaya lantaran rajin berusaha.
(4a) Pelajar itu berjaya.
(4b) Pelajar itu rajin berusaha.
5. Jamil kehilangan dua batang jarinya lantaran bermain mercun buatan sendiri.
(5a) Jamil kehilangan dua batang jarinya.
(5b) Jamil bermain mercun buatan sendiri.
UJI PDPR
Tukar ayat majmuk pancangan keterangan kepada ayat-ayat tunggal.
(i) Kami akan membuat keputusan secepat mungkin sebab tarikh akhir tidak lama lagi.
(ii) Sekolah saya ditutup esok kerana kes penularan wabak.
(iii) Kakak mahu pergi ke klinik sebab dia sakit kaki.
(iv) Nenek saya dirawat di hospital lantaran strok.
(v) Komputer itu dihantar ke kedai kerana perlu dibaiki.
(vi) Oleh sebab belum disahkan oleh pihak DBP, istilah "kuncitara" tidak wajar digunakan
(vii) Kerajaan akan mempertingkatkan pemberikan vaksin sebab mahu mengurangkan kes penularan wabak.
(viii) Pengemis itu tinggal di lorong lantaran tidak memiliki rumah.
(ix) Oleh sebab mahu membuat kek, ibu membeli tepung.
(x) Murid-murid semakin yakin kerana mereka mempunyai asas penguasaan tatabahasa.
Maafi hamba atas kelewatan mengongsikan bahan PdPR hari ini kerana hamba menerima vaksin pagi tadi.
Terima kasih kerana sudi menggunakan bahan ini.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.