26 March 2020

KOLEKSI BENTUK KECUALIAN DALAM TATABAHASA DEWAN

KOLEKSI BENTUK KECUALIAN DALAM TATABAHASA DEWAN
(1)
konsonan ganda jadi konsonan tunggal, kecuali apabila mengelirukan
assimilation - asimilasi
ferrum - ferum
majallah - majalah
Contoh kecualian ialah media massa.
(2)
Dalam bahasa Melayu kata majmuk dieja terpisah, tetapi terdapat beberapa kecualian oleh sebab kelaziman penggunaan. Yang berikut ialah beberapa contoh kata majmuk yang lazim dan
yang terkecuali:
(bentuk lazim) (bentuk kecualian)
jalan raya antarabangsa
daya serap bumiputera
campur aduk jawatankuasa
tunjuk ajar kakitangan
ambil alih tanggungjawab
(3)
Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar.
Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan dan dianggap kecualian. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
antarabangsa setiausaha
beritahu sukarela
bumiputera suruhanjaya
jawatankuasa tandatangan
kakitangan tanggungjawab
kerjasama warganegara
olahraga pesuruhjaya
matahari
(4)
Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja. Contohnya:
alat-alat tulis gambar-gambar rajah
balai-balai raya kapal-kapal terbang
suku-suku kata garis-garis pusat
jirim-jirim organik model-model linear
Menteri-Menteri Besar Naib-Naib Canselor
Penolong-Penolong Pendaftar Ketua-Ketua Menteri
Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap; penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya:
pesuruhjaya-pesuruhjaya
warganegara-warganegara
tandatangan-tandatangan
jawatankuasa-jawatankuasa
setiausaha-setiausaha
(5)
peN- menjadi pen- apabila bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan huruf d, c, j, sy, dan z dan perkataan-perkataan pinjaman yang kata dasarnya bermula dengan huruf t dan s. Contohnya:
dapat - pendapat
datang - pendatang
curi - pencuri
cukur - pencukur
jaja - penjaja
jodoh - penjodoh
syarah - pensyarah
ziarah - penziarah
Contoh perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya ialah:
tadbir - pentadbir
terjemah - penterjemah
tafsir - pentafsir
tauliah - pentauliah
stabil - penstabil
sintesis - pensintesis
swasta - penswasta
Terdapat satu kecualian pada peraturan ini, iaitu pada bentuk kata dasar ternak yang bukan kata pinjaman tetapi menerima awalan pen- membentuk kata penternak.
peN- menjadi peng- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf g dan h (bunyi konsonan), dan a, e, i, o, dan u (bunyi vokal). Seperti pen-, peng- hadir juga dengan perkataan pinjaman serta beberapa bentuk kecualian yang kata dasarnya bermula dengan huruf k. Contohnya:
gulung - penggulung
hubung - penghubung
atur - pengatur
elak - pengelak
ikut - pengikut
olah - pengolah
ukur - pengukur
Contoh perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya ialah:
kabul - pengkabul
katalog - pengkatalog
kategori - pengkategori
kritik - pengkritik
klasifikasi - pengklasifikasi
khianat - pengkhianat
Terdapat satu kecualian, iaitu pada kata dasar kaji yang bukan kata pinjaman tetapi menerima awalan peng- menjadi pengkaji untuk dibezakan dengan perkataan pengaji.
(6)
peN-...-an menjadi pen-...-an apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf d, c, j, sy dan z, dan perkataan pinjaman yang kata dasarnya bermula dengan huruf t dan s. Contohnya:
dapat - pendapatan
damping - pendampingan
cari - pencarian
cuci - pencucian
jajah - penjajahan
judul - penjudulan
syarikat - pensyarikatan
zalim - penzaliman
Contoh perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya ialah:
tadbir - pentadbiran
terjemah - penterjemahan
tafsir - pentafsiran
tauliah - pentauliahan
transkripsi - pentranskripsian
takrif - pentakrifan
sintesis - pensintesisan
stabil - penstabilan
swasta - penswastaan
Terdapat satu kecualian, iaitu kata dasar ternak yang bukan kata pinjaman tetapi menerima apitan pen-...-an menjadi penternakan.
(7)
Terdapat beberapa perkataan yang bermula dengan huruf p yang menerima awalan mem- dan dianggap kecualian Contohnya:
pelopor - mempelopori
pelawa - mempelawa
percaya - mempercayai
punya - mempunyai
peduli - mempedulikan
(8)
Terdapat dua kecualian pada bentuk kata dasar, iaitu ternak dan tertawa yang menerima awalan men- tanpa berlaku pengguguran huruf t.
ternak - menternak
tertawa - mentertawakan
(9)
Terdapat satu bentuk kecualian, iaitu kata dasar kaji yang huruf pertamanya tidak berubah menjadi bentuk sengau apabila bergabung dengan awalan meng-, iaitu mengkaji. Bentuk ini berbeza daripada bentuk mengaji.
kaji - mengkaji
(10)
Kecualian timbul pada kata pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan, iaitu awalan meng- tidak berubah menjadi menge- Contohnya:
stor - menstor
brek - membrek
klip - mengklip
(11)
Apabila awalan ber- bergabung dengan perkataan yang konsonan awalnya diikuti oleh -er-, misalnya derma, maka r dalam awalan ber- tidak gugur. Namun begitu, terdapat kecenderungan bagi setengah-setengah penutur menggugurkan r dalam awalan ber- dalam pengucapan lisan, tetapi tetap tidak digugurkan dalam ejaan. Contohnya: berderma, berserban, dan berternak.
Bagi perkataan kerja yang dieja bekerja, r digugurkan, sebagai satu kecualian.
Demikian juga, bagi perkataan ajar, gabungan ber- dengannya menghasilkan bentuk kecualian, iaitu belajar.
(12)
Awalan memper-, apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nama, membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya:
alat - memperalat
daya - memperdaya
kacang - memperkacang
budak - memperbudak
hamba - memperhamba
Contohnya dalam ayat:
(a). Komunis memperalat pemuda-pemuda itu.
(b). Peniaga itu memperdaya pelanggannya dengan janji-janji manis.
(c). Dia memperkacang harta orang tuanya hingga habis.
Kecualian daripada pola ini, dari segi makna, ialah bentuk memperisteri dan mempersuami dengan maksud menjadikan seseorang itu isteri atau suami. Sebenarnya bentuk ini menerima apitan memper-...-i tetapi oleh sebab bentuk dasar perkataan tersebut berakhir dengan huruf i maka bentuk i dalam apitan memper-...-i digugurkan.
(13)
Inti + penerang nama panggilan atau gelaran
Penerang nama panggilan atau gelaran ialah unsur yang merujuk nama julukan atau penghormatan kepada makhluk atau benda, misalnya Si Belang, Tan Sri, dan sebagainya. Bentuk ini merupakan kecualian kepada bentuk susunan inti + penerang nama, iaitu penerang ini terletak di hadapan inti.
Contohnya:
Haji Ahmad
Yang Arif Hakim Mohd Yusof
Si Belang
Nik Abdullah
YBhg. Datuk Ali
Syed Nasir
Doktor Majid
Profesor Harun
YB Senator Fatimah
Tan Sri Abdullah
Sang Kancil
(14)
Kecualian Hukum D-M
Kecualian peraturan D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan, boleh berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama pada nama-nama jawatan. Contohnya:
Penerang (M) Yang Diterangkan (D)
perdana menteri
timbalan presiden
naib yang dipertua
naib canselor
naib pengerusi
timbalan penyelidik
pembantu penyelidik
ibu pejabat
(15)
Penggunaan kata Sendi Nama Secara Umum
Dalam penggunaan sesuatu frasa sendi nama dalam ayat, dua kata sendi nama yang serupa boleh digabungkan dalam bentuk setara dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi. Kecuali dalam penggabungan frasa sendi nama yang menggunakan kata hubung tetapi, kata nafi bukan digunakan sebelum kata sendi nama pertama. Contohnya:
36. Serangan itu datang dari dalam dan dari luar kota.
37. Cahaya laser itu menuju ke kiri atau ke kanan bangunan?
38. Hadiah itu untuk ayah dan untuk ibu.
39. Mereka bersembunyi bukan di bawah tetapi di atas bangunan.
40. Ia makan dengan Ali atau dengan Ahmad?
41. Kita berkhidmat bukan untuk diri sendiri tetapi untuk negara.
42. Tanda harga ada di dalam dan di luar kotak.
43. Bungkusan ini dikirimkan oleh abang atau oleh kakak?
44. Ali bukan ke Singapura tetapi ke Johor.
45. Kerusi itu diperbuat daripada kayu dan daripada rotan.
(16)
Pada umumnya kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi kecuali dalam binaan adalah + kata nafi + frasa adjektif. Contohnya:
356. Kenyataan tentang kebocoran itu daripada pegawai jabatan adalah tidak munasabah dan mungkin terlalu awal.
357. Kita semua sedia maklum bahawa dunia yang dicipta oleh Tuhan ini adalah tidak kekal dan suatu hari nanti akan berakhir jua.
358. Keputusan panel temu duga bagi jawatan kerani di jabatan itu, pada pandangan beberapa orang kakitangannya, adalah tidak adil dan akan dibantah.
Sumber: Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.