14 June 2019

KATA KOMPLEMEN DALAM BAHASA MELAYU

INFORMASI BAHASA
14.6.2019
KATA KOMPLEMEN DALAM BAHASA MELAYU
Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu, iaitu "untuk" dan "bahawa". Kata komplemen "untuk" hanya hadir dalam subjek manakala kata komplemen "bahawa" boleh hadir dalam subjek dan predikat.
Lihat ayat di bawah.
(a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
(b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
(c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
(d) Untuk Sharifah lulus ujian itu sangatlah senang.
(e) Penduduk di Kota Kemuning menyedari bahawa nasib mereka terancam.
Walau bagaimanapun, pengguna bahasa banyak membuat kesilapan atau kesalahan penggunaan kata hubung dengan cara yang berikutnya.
(f)*Dia mengetahui yang Azizi telah bersara. (salah)
(g) *Penduduk di Kota Kemuning menyedari yang nasib mereka terancam. (salah)
Ayat-ayat di atas (ayat (f) dan ayat (g)) tidak boleh diterima sebagai bahasa persuratan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu ayat induk dan ayat komplemen yang dipancangkan.
Lihat sampel di bawah ini:
(a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
Ayat 1: Dia mengetahui (sesuatu).
Ayat 2: Azizi telah bersara.
(b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat 1: Sesuatu itu adalah kurang tepat.
Ayat 2: Ekonomi negara kita pada masa ini merosot.
Nota: "Sesuatu itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 1 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Ayat 1: Arrifin melakukannya.
Ayat 2: Perkara itu amatlah sukar.
Nota: "Perkara itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 2 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(d) Untuk Sharifah lulus ujian itu sangatlah senang.
Ayat 1: Perkara itu sangatlah senang.
Ayat 2: Sharifah lulus ujian itu.
Nota: "Perkara itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 1 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(e) Penduduk di Kota Kemuning menyedari bahawa nasib mereka terancam.
Ayat 1: Penduduk di Kota Kemuning menyedari (sesuatu).
Ayat 2: Nasib mereka terancam.
Nota: "sesuatu" mesti ditulis untuk membentuk objek pada bahagian predikat ayat 1 supaya kata kerja transitif "menyedari" tidak tergantung tanpa objek.
Bagi ayat yang mengandungi kata hubung komplemen "bahawa" pada kedudukan objek dalam predikat, kadangkala pengguguran kata komplemen tersebut dibenarkan jika tidak menjejaskan makna ayat tersebut. Walau bagaimanapun, pada kedudukan dalam subjek, kata komplemen "bahawa" dan "untuk" tidak boleh digugurkan.
Lihat contoh di bawah ini untuk mengetahui pengguran kata komplemen yang tidak menjejaskan makna ayat.
Ayat (a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
Ayat (a) boleh menjadi seperti yang berikutnya.
Dia mengetahui Ahmad telah bersara.
Lihat contoh di bawah ini untuk mengetahui pengguran kata komplemen "bahawa" yang menjejaskan kegramatisan ayat dan penulisan ayat begini tidak dibenarkan.
Ayat (b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat (b) tidak boleh ditulis seperti di bawah dengan menggugurkan kata komplemen "bahawa".
*Ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat (c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Ayat (c) tidak boleh ditulis seperti di bawah dengan menggugurkan kata komplemen "untuk".
*Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Kesimpulannya, ayat-ayat komplemen di atas perlu diketahui oleh calon-calon peperiksaan dan guru-guru subjek Bahasa Melayu. Dengan berbuat begitu, kita dapat menjawab soalan pelbagai aras yang digubal. Saya berharap agar perkongsian ilmu ini dapat memanfaatkan kalian.
Ingatlah bahawa:
(a) Bahawa --> sesuatu (jika letaknya kata hubung komplemen "bahawa" pada predikat)
(b) Bahawa --> Sesuatu itu (jika letaknya kata hubung komplemen "bahawa" pada subjek)
(c) Untuk --> Perkara itu (jika letaknya kata hubung komplemen "untuk" pada subjek)
Selamat menimba ilmu.

2 comments:

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.