CEMERLANG BAHASA GEMILANG BUDAYA TERBILANG BANGSA
1.1.2019
PENGGUNAAN KATA PEMERI "IALAH"
Kata pemeri bukan unsur wajib dalam ayat. Jika anda tidak pandai menggunakannya atau tidak tahu menggunakannya, janganlah menyalahgunakannya. Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa dalam kalangan penutur bahasa yang kurang cakna akan impaknya. Sayangnya, ada pengguna bahasa yang tidak pandai menggunakan kata pemeri terus menggunakan kata pemeri yang salah terutamanya pengacara dalam rancangan televisyen, pengacara perhimpunan, juruacara majlis dan pengantara dalam perbincangan mahupun pereka bentuk iklan.
Lihat 3 ayat contoh di bawah:
1. Keselamatan anda adalah tanggungjawab kami.
2. Juara pertandingan ini adalah Meganathan.
3. Surat rasmi itu adalah surat daripada Sharifah Bahum.
Kata pemeri "ialah" seyogianya diikuti kata nama atau predikat yang membentuk pola frasa nama (FN). Oleh sebab itu, pengguna bahasa yang tidak menyayangi dan menghormati tatabahasa menyebabkan kesilapan yang kecil pada tanggapan mereka berleluasa. Kesilapan yang dianggap kecil ini lama-kelamaan akan merancukan bahasa kebangsaan kita. Oleh sebab itu, pengguna bahasa boleh mengabaikan penggunaan kata pemeri jika kurang yakin akan penggunaannya.
Lihat contoh di bawah:
1(a) Keselamatan anda tanggungjawab kami. (FN+FN)
2(a) Juara pertandingan ini Meganathan. (FN+FN)
3(a) Surat rasmi itu surat daripada Sharifah Bahum. (FN+FN)
Jika dilihat dari sudut lain, ayat-ayat di atas juga boleh ditulis dengan menggunakan kata pemeri "ialah" seperti yang berikut kerana pola predikatnya ialah frasa nama (FN).
1(b) Keselamatan anda ialah tanggungjawab kami. (FN+FN)
2(b) Juara pertandingan ini ialah Meganathan. (FN+FN)
3(b) Surat rasmi itu ialah surat daripada Sharifah Bahum. (FN+FN)
Dengan contoh di atas, kita dapat mempelajari ilmu bahasa sedikit demi sedikit agar dapat membaiki kelemahan dalam ayat yang sering kali kita bina. Dengan kecaknaan terhadap bahasa dan tatabahasa, saya yakin bahawa kita dapat mencemerlangkan bahasa kebangsaan agar budaya berbahasa dapat dibentuk dengan betulnya dan dapat digemilangkan demi membentuk rakyat Malaysia atau pengguna bahasa Melayu yang terbilang.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.