CEMERLANG BAHASA GEMILANG BUDAYA TERBILANG BANGSA
3.1.2019
PENGGUNAAN KATA PEMERI "ADALAH" (BAHAGIAN 2)
Topik remeh seperti kata pemeri pun dicatat selama tiga hari berturut-turut. Ya, topik yang sama tetapi maklumat yang berbeza. Rakyat Malaysia semakin lama semakin bosan untuk membaca topik yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana pengaruh peranti dalam kehidupan menyebabkan banyak video, maklumat, informasi, dan klip yang berulang-ulang kali kita baca.
Topik hari ini pula berkaitan dengan penggunaan kata pemeri "adalah" yang menerima kata sendi nama. Apakah itu kata sendi nama? Pengguna bahasa acap kali tidak dapat membezakan kata sendi nama dan kata hubung. Kata sendi nama ialah kata yang ditulis atau digunakan di depan kata nama. Kata lain bagi kata sendi nama ialah preposisi. Dari sudut tatabahasa, kata sendi nama mestilah diikuti kata nama atau frasa nama. Oleh sebab itu, dapatlah disimpulkan bahawa formula baharu seperti yang berikut boleh digunakan untuk menerangkan fungsi kata pemeri "adalah".
KATA PEMERI ADALAH + KATA SENDI NAMA + KATA NAMA
Walau bagaimanapun, pengguna bahasa Melayu masih menggunakan kata pemeri "adalah" dengan tidak mematuhi tatabahasa.
Sebagai contohnya,lihat ayat-ayat di bawah:
*1. Surat daripada Irman ialah untuk ibunya.
*2. Tema karangan untuk kelas ini ialah daripada buku teks.
*3. Tarikh Hari Thaipusam ialah pada 21 Januari 2019.
Daripada ketiga-tiga ayat di atas, kita dapat mengesan kesalahan kata pemeri "ialah" yang sepatutnya ditulis "adalah". Hal ini dikatakan demikian kerana "untuk", "daripada", dan "pada" dalam ayat-ayat di atas berfungsi sebagai kata sendi nama. Kesalahan-kesalahan dalam ayat di atas perlu dibaiki menjadi seperti yang berikut.
1(a). Surat daripada Irman adalah untuk ibunya.
2(a). Tema karangan untuk kelas ini adalah daripada buku teks.
3(a). Tarikh Hari Thaipusam adalah pada 21 Januari 2019.
Jika dilihat dari sudut lain, penggunaan kata pemeri dalam ayat-ayat di atas sebenarnya tidak wajib. Oleh sebab kata pemeri boleh menjadi unsur pilihan dalam ayat, maka kata pemeri bolehlah digugurkan seperti yang berikut.
1(b). Surat daripada Irman untuk ibunya.
2(b). Tema karangan untuk kelas ini daripada buku teks.
3(b). Tarikh Hari Thaipusam pada 21 Januari 2019.
Sebagaimana yang telah saya kongsikan sebelum ini, kata pemeri bolehlah digugurkan dalam ayat daripada disalahgunakan. Penyalahgunaan kata pemeri bukan sahaja menyebabkan ayat menjadi kurang gramatis tetapi juga menyebabkan pengguna bahasa memperlekeh bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu.
Kata pemeri adalah antara unsur yang istimewa dan unik dalam bahasa Melayu yang mesti digunakan dengan sebaik-baiknya. Dengan berbuat demikian, kita dapat memastikan masa depan bahasa kebangsaan kita cerlang cemerlang. Pada masa yang sama, bahasa kebangsaan kita dapat berdiri kukuh dan dilabelkan sebagai bahasa yang gilang-gemilang di pentas linguistik. Impaknya, keterbilangan bahasa Melayu sebagai bahasa internasional akan terukir kukuh dan terus dihormati oleh penduduk di seantero jagatraya.
Bahasa kita, tanggungjawab kita.
Hilang bahasa lenyaplah bangsa.
Bahasa menunjukkan bangsa.
Bahasa jiwa bangsa!
ReplyDeleteayo daftar di agen365*com :D
WA : +85587781483