29 December 2018

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH - TAHUN 2019

Add caption
Selamat sejahtera kepada rakan guru yang saya hormati dan murid-murid yang saya sayangi. Bermula pada 2019, setiap Isnin hingga Jumaat saya akan memasukkan 5 latihan pelbagai bentuk soalan PT3 dan SPM. Saya berharap agar latihan dan nota yang saya kongsikan akan dapat dimanfaatkan untuk PdPC.

Terima kasih.

Cikgu Tan CL

3 November 2018

SENARAI PERIBAHASA YANG SESUAI DENGAN TEMA / HURAIAN DALAM KARANGAN


SENARAI PERIBAHASA YANG SESUAI DENGAN TEMA / HURAIAN DALAM KARANGAN


TEMA 1 – KERJASAMA
(a) bagai aur dengan tebing
(b) ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
(c) hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
(d) terendam sama basah, terampai sama kering
(e) bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat


TEMA 2 – KERAJINAN / USAHA / KEGIGIHAN
(a) bagai lebah menghimpun madu
(b) di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
(c) genggam bara api biar sampai jadi arang
(d) hati hendak semua jadi
(e) hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

TEMA 3 – KEINSAFAN / KESALAHAN / BERINGAT-INGAT
(a) Sesal dahulu pendapat, sesal kemudian tidak berguna
(b) ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
(c) bumi mana yang tidak ditimpa hujan
(d) sediakan payung sebelum hujan
(e) sudah terhantuk baru tengadah

TEMA 4 – KEKELUARGAAN / IBU BAPA / ANAK-ANAK
(a) bagai menatang minyak yang penuh
(b) anak emas
(c) bagaimana acuan begitulah kuihnya / bapa borek anak rintik
(d) bagai kaca terhempas ke batu ( sedih / kecewa)
(e) melentur buluh biarlah dari rebungnya

TEMA 5 – REMAJA / BAKAL PEMIMPIN / HARAPAN NEGARA
(a) pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
(b) rajin usaha tangga kejayaan
(c) yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan
(d) kepimpinan melalui teladan
(e) guru kencing berdiri, murid kencing berlari (ajaran guru)
TEMA 6 – KEMALANGAN / PERKARA MALANG / KESUSAHAN
(a) hari ini hari orang, esok mungkin hari kita
(b) berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya
(c) malang tidak berbau
(d) kusangka panas ke petang, kiranya hujan di tengah hari
(e) pandu cermat jiwa selamat / biar lambat asalkan selamat

TEMA 7 : WARISAN BANGSA / PERMAINAN TRADISIONAL
(a) tak kenal maka tak cinta
(b) tak basah dek hujan, tak lekang dek panas
(c) tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
(d) biar mati anak, jangan mati adat
(e) hidup dikandung adat, mati dikandung tanah

TEMA 8: AMALAN MENABUNG / AMALAN MEMBACA
(a) sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit
(b) ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
(c) membaca jambatan ilmu
(d) ulat buku / ilmu kunci kehidupan / ilmu pelita hidup
(e) bangsa membaca bangsa berjaya

TEMA 9: PERSAINGAN / PERJUANGAN /
(a) berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
(b) sampan sudah di air, pendayung sudah di tangan
(c) kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai (jangan ambil risiko)
(d) kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga (jangan memandang rendah kebolehan orang lain)

TEMA 10: PATRIOTIK / BAHASA KEBANGSAAN
(a) biar putih tulang, jangan putih mata
(b) di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
(c) bahasa jiwa bangsa (bahasa kebangsaan)
(d) hilang bahasa lenyaplah bangsa (bahasa kebangsaan)
(e) bahasa menunjukkan bangsa (bahasa kebangsaan)

11 October 2018

KUPASAN MUTU JAWAPAN SPM 2017

KUPASAN MUTU JAWAPAN SPM 2017
Kupasan Mutu Jawapan (KMJ) SPM 2017 mengandungi maklumat tentang prestasi calon dalam sebilangan besar mata pelajaran SPM 2017. Kupasan terhadap prestasi calon dilengkapi dengan penjelasan tentang prestasi terperinci bagi setiap soalan SPM 2017. Ulasan prestasi terperinci setiap soalan disusuli dengan pernyataan tentang kekuatan dan kelemahan calon dalam menjawab soalan serta kesilapan yang sering kali ditemui. KMJ disediakan oleh panel yang terdiri daripada Ketua Pemeriksa, Ketua Pemeriksa Bersama dan Ketua Pasukan mata pelajaran berkenaan dengan mengambil kira maklumat daripada semua pemeriksa di bawahnya.
Sila klik pautan di bawah untuk mendapatkannya.

3 October 2018

24 August 2018

RAMALAN SPM 2018 - dua pengajaran tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua pengajaran tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

NOVEL TIRANI

Novel yang saya kaji ialah Tirani, pengajaran pertama yang berkaitan dengan nilai tanggunugjawab ialah kita mestilah bertanggungjawab menjaga ahli keluarga. Sebagai contohnya, Fadhil bertanggungjawab menjaga keselamatan anaknya, Waheeda dengan membawanya yang mengalami pendarahan akibat kecederaan yang teruk angkara diserang monyet Belanda ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, pengajaran kedua yang berkaitan dengan nilai tanggungjawab ialah kita mestilah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik. Contohnya, sebagai seorang isteri dan juga ibu, Raidah menyediakan makan dan minum untuk keluarganya dan melakukan kerja-kerja harian di rumah.

Setiap isi:
Isi - 1m
Huraian - 2m


Maka, 2 isi = 6m
bahasa = 2m
total 8/8 markah
CUBA JAWAB UNTUK NOVEL LAIN

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua pengajaran tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

      Novel yang saya kaji ialah novel Jendela Menghadap Jalan hasil karya Ruhaini Matdarin.Pengajaran pertama tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel ini ialah ibu bapa haruslah menjaga kesihatan anak-anak mereka sejak kecil lagi.Buktinya,Ibu Lili menjaga pemakanan Lili sejak kecil lagi untuk memastikan kesihatan Lili sentiasa terjamin.Kedua,kita sebagai seorang rakan yang bertanggungjawab haruslah membantu rakan kita ketika mereka mereka ditimpa musibah.Buktinya,Danel sanggup mengambil risiko dengan menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan kawannya Lili yang telah diculik oleh Rafiq dan Haziq dan dikurung di sebuah pondok usang.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua pengajaran tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

Novel yang saya kaji ialah novel Songket Berbenag Emas hasil karya Khairuddin Ayip.Pengajaran pertama tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel ini ialah kita haruslah bertanggungjawab terhadap ahli keluarga kita.Buktinya,Lili sebagai seorang anak yang bertanggungjawab sanggup meninggalkan pelajarannya di sekolah demi menjaga adik-adiknya di rumah setelah ibunya dihantar ke hospital.Selain itu,seorang guru haruslah bertanggungjawab terhadap pelajaran anak-anak muridnya yang tidak dapat hadir ke sekolah.Buktinya,Cikgu Hisyam bertanggungjawab terhadap pendidikan Dahlia yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah.Cikgu Hisyam yang menyedari kesusahan hidup Dahlia,meminta Kavita supaya memfotostat nota-notanya dan memberikannya kepada Dahlia untuk mengulang kaji di rumah.

10 August 2018

Perbezaan antara Imbuhan "beR-...-an" dengan "beR-...-kan"

INFORMASI BAHASA
10.8.2018
Perbezaan antara Imbuhan "beR-...-an" dengan "beR-...-kan"

NOTA:
Frasa kerja tak transitif beR-...-an lazimnya diikuti oleh kata sendi nama, bukannya kata nama.
Frasa kerja tak transitif beR - . ..-kan haruslah diikuti oleh kata nama, bukannya kata sendi nama.

KESALAHAN:
1. Panglima yang gagah berani bertikaman ketua lanun untuk mendapatkan harta karun. ❌
1. Gerai Pak Salim berhampiran rumah Tuan Haji Gullaam Rasul. ❌
2. Sherry pergi ke pejabat pendaftaran negara berkaitan urusan kelahiran anaknya. ❌
3. Tembakan meriam berentetan Laut Merah menandakan pasukan Liu Bei telah kalah. ❌
4. Buku ayah bertaburan ruang tamu setelah rumah dimasuki oleh pencuri. ❌
5.  Pasangan suami isteri itu melancong ke Korea berpandukan pada peta sahaja. ❌
6.  Parang buatan kaum Iban berhulukan dengan tanduk rusa.❌
7.  Pemuda itu tidak bersalah berdasarkan pada hujah yang dibentangkan oleh pendakwa raya.❌
8.  Sebuah karya Inggeris yang berorientasikan pada tradisi Parsi telah dihasilkan oleh Farouk.❌
9.  Rumah panjang itu berdindingkan akan kayu cengal yang berusia puluhan tahun.❌

PEMBETULAN
1. Panglima yang gagah berani bertikaman dengan ketua lanun untuk mendapatkan harta karun. ✅
1. Gerai Pak Salim berhampiran dengan rumah Tuan Haji Gullaam Rasul. ✅
2. Sherry pergi ke pejabat pendaftaran negara berkaitan dengan urusan kelahiran anaknya. ✅
3. Tembakan meriam berentetan di Laut Merah menandakan pasukan Liu Bei telah kalah. ✅
4. Buku ayah bertaburan di ruang tamu setelah rumah dimasuki oleh pencuri. ✅
5.  Pasangan suami isteri itu melancong ke Korea berpandukan peta sahaja. ✅
6.  Parang buatan kaum Iban berhulukan tanduk rusa.✅
7.  Pemuda itu tidak bersalah berdasarkan hujah yang dibentangkan oleh pendakwa raya. ✅
8.  Sebuah karya Inggeris yang berorientasikan tradisi Parsi telah dihasilkan oleh Farouk.✅
9.  Rumah panjang itu berdindingkan kayu cengal yang berusia puluhan tahun.✅

Latihan Tubi
Tandakan (✔️) jika ayat tersebut betul dan tandakan (❌) jika ayat tersebut salah.

1. Rakyat Kedah sangat setuju untuk berajakan kepada putera bongsu itu.
2. Dia mengambil golok yang bersarungkan dengan upih itu di atas para-para.
3. Kami berkhemah di tepi sungai bertemankan akan nyamuk dan agas-agas.
4. Bandar raya bersejarah itu bermandikan darah setelah peperangan berlaku.
5. Mereka yang sedang solat berjemaah di Surau Andalas itu berimamkan kepada Haji Musa.
6. Kebanyakan karya beliau bertemakan akan percintaan dan unsur romantik.
7. Shafiqah menghadapi masalah ketika hendak berkahwin kerana berbintikan bapa angkatnya.
8. Mega memulakan perniagaan dalam bidang kasut dengan bermodalkan wang sebanyak RM10 ribu.
9. Penolong Kanan Akademik SMK Padang Polo bersalaman dengan pegawai kanan wakil rakyat.
10. Jaafar meneliti cek yang ditulisnya berpandu pada invois yang diterimanya.

7 August 2018

KARANGAN SPM - PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK SAHSIAH ANAK-ANAK


PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK SAHSIAH ANAK-ANAK


Dewasa Ini, dalam era globalisasi yang kian mencabar, gejala sosia semakin berleluasa dan merunsingkan. Acap kali. Kita melihat kes-kes gejala sosial terpampang di dada akhbar mala disiarkan di kaca televisyen. Perkara ini, tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi lebih parah apabila kebanyakan pelaku gejala sosial tersebut terdiri daripada golongan remaja. Memetik kata-kata Profesor Dr. Tun Abdullah Hassa, seorang profesor yang melakukan kajian Peradaban Manusia, beliau sangat kecewa apabila setiap pagi melihat ramai anak muda ditangkap secara kasar oleh pihak polis kerana dituduh melakukan gejala sosial dalam berita semasa. Menyedari hakikat kata-kta itulah pihak kerajaan telah bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian untuk merungkai permasalahan gejala sosial ini. Sungguh malang apabila segala usaha kerajaan terkubur dan hampa “seperti membunag garam ke laut” kerana gejala sosial langsung tidak berganjak dari zon selesanya. Namun persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka dalam usaha mengelakkan mereka daripada gejala sosial?
Sememangnya terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka. Antaranya, ibu bapa perlulah memantapkan fizikal atau jasmani serta tubuh anak-anak mereka. Jasman merupakan satu elemen yang prima bagi membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini kerana anak –anak akan dapat membina keyakinan diri dalam menjaga tubuh badan mereka sendiri. Apakah pula peranan ibu bapa untuk memastikan kesihatan fizikal anak-anak mereka dalam usaha membentuk sahsiah mereka yang sempurna? Terdapat pelbagai aktiviti jasmani yang boleh dilakukan anak-anak mereka bersama-sama ibu bapa mereka. Sebagai contoh, ibu bapa perlulaj membawa anak-anak mereka untuk bersenam dan bersukan bersama-sama. Sebaik-baiknya, bawalah anak-anak keluar tiga kali seminggu hanya untuk beriadah kerana bak kata pepatah “badan cergas minda cerdas”. Selain itu, ibu bapa perlulah menghantar anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah seperti kelab dan persatuan serta unit beruniform. Hal-hal sebegini membolehkan mereka untuk menjauhi diri daripada terjebak dalam gejala sosial.
Selain itu, ibu bapa berperanan penting dalam mengawal dan memberi perhatian terhadap emosi anak-anak mereka. Secara amnya, emosi manusia kian berubah mengikut perkembangan diri masing –masing. Perubahan emosi anak-anak sentiasa berubah terutamanya apabila mereka sudah mencapai usia keremajaan. Perubahan emosi juga jelas ditunjukkan oleh emaja perempuan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa perlu memahami emosi anak-anak mereka sekiranya mereka mengalami perubahan emosi. Hal ini menyebabkan anak-anak akan biasa kerana “alah bisa tegal biasa” untuk meluahkan isi hati mereka kepada ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa perlulah memahami emosi anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa tidak memahami mengapa mereka berubah emosi maka anak-anak mereka akan mudah tersinggung dan kecewa terhadap ibu bapa mereka. Tambahan pula, ibu bapa perlulah meminta nasihat daripada pakar supaya mengetahui cara mengenali emosi anak-anak mereka. Akhirnya, anak-anak mereka tidak akan melepaskan emosi dengan melibatkan diri dengan gejala sosial kerana mempunyai ibu bapa yang memahami emosi mereka.
Seterusnya, ibu bapa juga berperanan untuk menyediakan sumber rohani yang kuat kepada anak-anak. Hal ini sedemikian kerana faktor terbesar yang menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja ialah kurangnya atau rapuhnya rohani tersebut. Hal ini membuktikan rohani merupakan aspek yang tidak kurang pentingnya dalam usaha membentuk sahsiah anak-anak sekaligus mengelakkan mereka daripada melakukan aktiviti gejala sosial. Agama pula meruapakan pilihan individu tetapi semua agama menginginkan yang terbaik daripada penganutnya. Oleh itu, apakah peranan ibu bapa dalam menyediakan sumber rohani  yang kukuh dan kental kepada anak-anak mereka? Sebagai permulaan, ibu bapa perlulah menguatkan iman anak-anak mereka, hal ini kerana iman yang kuat menjadi bekalan kepada anak-anak mereka untuk menghindari diri daripada gejala sosial. Selain itu, ibu bapa perlulah kerap membawa anak-anak mereka ke tempat ibadat. Hal ini membolehkan anak-anak untuk sentiasa dekat dengan agamanya. Sememangnya peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak adalah untuk menyediakan sumber rohani yang kukuh kepada anak-anak mereka sekaligus menjauhkan mereka daripada gejala sosial.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting untuk memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka dalam usaha membentuk sahsiah bahkan juga menghindari mereka daripada gejala sosial. Ilmu pengetahuan amat penting kepada anak-anak mereka melalui ilmu, anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan secukupnya ilmu pengetahuan yang sedia ada dalam membentuk sahsiah anak-anak. Cara yang paling mudah adalah dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Hal ini amat wajib kepada ibu bapa agar anak-anak mereka dicurahkan ilmu yang berguna kepada mereka satu hari nanti. Selain itu, ibu bapa perlu mengikuti perkembangan akademik anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah sentiasa berhubung dengan guru-guru di sekolah untuk pengetahuan lanjut. Cara yang lain boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan membawa mereka ke pameran buku. Melalui pendekatan ini, anak-anak mampu belajar dengan kondusif bersama-sama ibu bapa mereka. Semestinya, ibu bapa berperanan menyediakan sumber intelek kepada anak-anak mereka dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan memantapkan kemahiran sosial anak-anak mereka. Kemahiran sosial dalam konteks ini sangat diperlukan dalam membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini sedemikian kerana melalui kemahiran sosial, anak-anak dapat mengetahui betapa buruknya kesan melakukan gejala sosial melalui pemerhatian dan peninjauan. Oleh itu, apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha memantapkan kemahiran sosial anak-anak mereka? Kaedah yang paling asas adalah dengan mengajar anak-anak mereka nilai-nilai murni. Sebagai contoh, nilai hormat-menghormati dan kerajinan. Melalui nilai-nilai ini, sahsiah anak –anak akan dapat dibentuk dengan sempurna. Selain itu, anak-anak juga akan dapat membuat refleksi diri sendiri dan membentuk peribadi yang lebih baik. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Tambahan pula, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka mengenai pantang larang seperti membongkok apabila melalui orang yang lebih tua. Hal-hal ini mengajar anak-anak muda untuk beradab sopan lantas menjadikan mereka sebagai remaja yang berbudi pekerti tinggi.
Konklusinya, Malaysia yang merupakan negara yang indah di mata duia serta mempunyai masyarakat yang berbilang kaum akan kelihatan buruk sekiranya gejala sosial dalam kalangan masyarakat masih belum dibendung, bak kata pepatah Melayu “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, peranan semua pihak harus dimainkan terutamanya peranan ibu bapa kerana merekalah yang mencorak keperibadian golongan muda kotemporari ini kerana “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Anak-anak diibaratkan kain putih yang perlu dicorakkan dengan sempurna agar kelihatan cantik dan elok dipandang mata. Kita janganlah menuding jari dan bersikpa pasif dalam hal ini kerana semua pihak turut serta dalam membentuk sahsiah anak-anak muda. Mahukah kita melihat dunia ini sarat dengan kemusnahan dan kegelapan akibat ketidakprihatinan kita? Semestinya “tidak” jawapan kita. Maka, bersama-sama lah kita berganding bahu menyahut cabaran dengan mengemblengkan tenaga membentuk sahsiah anak-anak muda agar mereka membawa kegemilangan negara di mata dunia satu hari nanti.

KARANGAN SPM: Peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan permainan tradisional


Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang perlu dipertahan untuk tatapan generasi akan datang.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, ini ialah peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan panduan dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh tertentu. Sejak dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan tradisional semakin ditelan zaman seiring dengan  arus pemodenan masa kini. Pada masa yang sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat masa kini. Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat seantero dunia. Persoalannya kini, adakah kita bersedia untuk melihat satu-satunya warisan daripada nenek moyang kita hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan tanpa kita sedari, ibarat daun kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup melihat masyarakat sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik yang sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan menerawang di gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan lagi permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak yang boleh dilakukan ialah menganjurkan kelab permainan tradisional dan mengadakan kempen untuk mengangkat martabat permainan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. Oleh hal yang demikian, pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas serta disegarkan dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih tercari-cari tongkat mereka untuk dijadikan panduan.

Suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya anak-anak. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana, setiap perbuatan ibu bapa akan dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan ilmu yang dipelajarinya satu ketika dahulu kepada anak-anak mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan tradisional. Peribahasa yang berkaitan dengan hal ini ialah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan tradisional daripada ibu bapa mereka tentang teknik dan cara- cara bermain. Sekiranya, ibu bapa memainkan peranan mereka maka, permainan  tradisional ini akan kekal sepanjang zaman walaupun sudah berdekad-dekad lamanya. Tegasnya, peranan ibu bapa amat signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional yang semakin ditelan zaman agar dapat terus diwarisi dari generasi ke generasi.

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peranan pihak sekolah juga merupakan salah satu usaha yang penting untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia. Dalam konteks ini, pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah supaya pelajar lebih mengenali dan meminati permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan kelab permainan tradisional sejak awal lagi supaya usaha-usaha lain dapat dilakukan melalui kelab tersebut. Dalam hal ini, untuk menarik minat pelajar menyertai program-program yang dianjurkan, pihak persatuan boleh menjemput tetamu dari luar  yang mahir dalam permainan tradisional untuk membimbing mereka tentang cara dan teknik bermain permainan tradisional yang betul. Secara langsung, para pelajar dapat mendominasi permainan tradisional dengan lebih baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam. Tambahan pula, pihak sekolah boleh mengadakan acara dan pertandingan yang menarik yang boleh disertai oleh para pelajar dan guru. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah perlu menyediakan lebih banyak alatan permainan tradisional yang boleh digunakan di sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan alatan permainan tradisional. Secara tidak langsung, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisional dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri setiap pelajar. Begitu juga halnya dengan pengekalan permainan tradisional yang perlu ditekankan oleh setiap pihak agar warisan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Izharlah bahawa, pihak sekolah mestilah memainkan peranan untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ialah media massa perlu memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Umum mengetahui bahawa, media massa merupakan suatu medium yang sentiasa menguar-uarkan sesuatu berita dengan cepat, tepat dan sahih. Bertitik tolak daripada itu, pihak media massa boleh menghebahkan tentang permainan tradisional melalui surat khabar, majalah, radio, Internet dan televisyen. Tambahan pula, media massa boleh menganjurkan pertandingan melalui program seperti jom heboh dengan tawaran hadiah yang lumayan. Yang paling nyata ialah apabila media massa memaparkan iklan-iklan yang menarik mengenai permainan tradisional kita maka, masyarakat dari negara luar akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam tentang permainan tradisional ini. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa media massa mampu mendominasi seluruh masyarakat di setiap ceruk rantau dunia. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sukan sepak takraw yang kini telah diangkat sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa iaitu piala dunia. Dalam hal ini dapat kita lihat bahawa negara luar seperti Thailand kini telah menguasai sukan sepak takraw dan mampu menandingi Malaysia. Impaknya, media massa yang memaparkan sukan ini dapat mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah bahawa, media massa perlu bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia agar diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa dan membuka mata dunia tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.
       
Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan merupakan peranan yg penting dalam mengekalkan permainan tradisional. Beritik tolak daripada itu, pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dapat mengekalkan permainan tradisional dengan mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang permainan tradisional yang hampir tenggelam oleh peredaran zaman. Pada masa  yang sama, pihak kerajaan boleh memperluaskan permainan tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui cara ini, rakyat dapat membuka mata bahawa permainan tradisional juga dapat dibawa ke peringkat antarabangsa dan mendapat perhatian di mata dunia. Sebagai contohnya, permainan wau dan layang-layang. Tambahan pula, ramai pelancong asing melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun.  Secara eksplisitnya, rakyat Malaysia tidak mudah untuk melupakan permainan tradisional yang semakin pudar di mata rakyat. Dalam konteks  ini, pihak kerajaan boleh memperkenalkan program Cintai Permainan Tradisional agar rakyat mampu menyelami dan mempelajari permainan tradisional dengan lebih mendalam. Dengan cara ini, permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang. Izharlah bahawa, pihak kerajaan mampu melestarikan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia hingga ke tahap antarabangsa.     

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirul kalam seluruh masyarakat Malaysia tidak seharusnya membiarkan warisan Malaysia yang berharga seperti permainan tradisional ini lenyap terus daripada muka bumi ini. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, kelurah sama dituruni, isu ini akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia dan warisan paling berharga ini akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi akan datang. Tambahan pula, kita sebagai pewaris khazanah negara tidak mungkin akan membiarkan permainan tradisional ini terus menjadi sejarah yang hanya diketahui namanya sahaja dan tiada siapa pun yang dapat mewarisi kemahiran atau teknik bermain permainan tradisional untuk diturunkan kepada generasi pada masa akan datang. Bertitik tolak daripada itu, kita sebagai penerus warisan negara perlu mengambil inisiatif yang pragmatik,vital,kreatif dan kritis supaya dapat memanifestasikan generasi pewaris negara yang tidak akan melupakan warisan mereka seperti kacang lupakan kulit. Dalam konteks ini, generasi sekarang perlulah memupuk rasa cinta akan warisan negara agar dapat menyanjung dan menghargai warisan negara dari rebungnya lagi. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam memastikan warisan negara ini sentiasa terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman serta terus hidup subur di dalam hati, fikiran dan diri masyarakat itu sendiri. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak dan bukannya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Kendatipun demikian, kita masih perlu menjangkau sehabis tangan bagi mempertahankan khazanah warisan tinggalan nenek moyang kita yang ulung ini agar tidak dilupakan terus oleh masyarakat. Marilah kita sama-sama menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi kudsi Wawasan 2020.


6 August 2018

KARANGAN SPM - TOPIK PENTING UNTUK PEPERIKSAAN PERCUBAAN DAN SPM


SAMPEL KARANGAN 1
Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa hadapan mereka.
Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?  

Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).   Oleh sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.

Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar  memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.

          Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di  Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
     
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 


SAMPEL KARANGAN 2
BERJIMAT CERMAT AMALAN MULIA
ulaskan pernyataan tersebut

          Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Persoalannya, mengapakan Berjimat Cermat Amalan Mulia?

          Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jikalau usaha seperti ini tidak dilakukan sudah pasti masyarakat akan menghadapi masalah kewangan terutama untuk mengharungi keadaan inflasi  serta  peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.

          “Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwahibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

          Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

           Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

          Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayangOleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin

PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET

            Marcapada, Internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan pada masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya Internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan Internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan Internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses Internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan Internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan Internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ Internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari Internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegelapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk merealisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan Internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan Internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan Internet dengan baik dan bijak.       

        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan Internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan Internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan Internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan Internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujanMelentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan Internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan Internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu Internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di Internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan Internet.

            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan Internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal Internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna Internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan Internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan Internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan Internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan Internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan Internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi Internet. Seperti yang ditegaskan, Internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan Internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari Internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan Internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangnya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan Internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari Internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui Internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan Internet.

            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanfaatkan penggunaan Internet. Perkhidmatan Internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa Internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah penyalahgunaan Internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah diungkai, dan secara tidak langsung matlamat negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia pada tahun 2020 tidak akan kesampaian.

27 July 2018

IMBUHAN ME-N- DAN ME-N KAN

Pengguna bahasa Melayu tidak menghormati peranan imbuhan dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, berlakulah kesilapan dan kekhilafan dalam penggunaan imbuhan. Yang berikut ialah beberapa petua penggunaan imbuhan yang dapat dijadikan panduan.
KATA KERJA (AKTIF)
1. memberi/memberikan
(siapa) memberi (siapa) (apa)
(siapa) memberikan (apa) kepada (siapa)
2. menghadiahi / menghadiahkan
(siapa) menghadiahi (siapa) (apa)
(siapa) menghadiahkan (apa) kepada (siapa)
3. menganugerahi / menganugerahkan
(siapa) menganugerahi (siapa) (apa)
(siapa) menganugerahkan (apa) kepada (siapa)
4. mengurniai / mengurniakan
(siapa) mengurniai (siapa) (apa)
(siapa) mengurniakan (apa) kepada (siapa)
5. membaca / membacakan
(siapa) membacakan (siapa) (apa)
(siapa) membaca (apa) kepada (siapa)
KATA KERJA (PASIF)
1. diberi / diberikan
(siapa) diberi (apa) oleh (siapa)
(apa) diberikan oleh (siapa) kepada (siapa)
2. dihadiahi / dihadiahkan
(siapa) dihadiahi (apa) oleh (siapa)
(apa) dihadiahkan oleh (siapa) kepada (siapa)
3. dianugerahi / dianugerahkan
(siapa) dianugerahi (apa) oleh (siapa)
(apa) dianugerahkan oleh (siapa) kepada (siapa)
4. dikurniai / dikurniakan
(siapa) dikurniai (apa) oleh (siapa)
(apa) dikurniakan oleh (siapa) kepada (siapa)
5. dibaca / dibacakan
(siapa) dibacakan (apa) oleh (siapa)
(apa) dibaca oleh (siapa) kepada (siapa)
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong tunjukkan;
Saya budak baru belajar,