Permainan tradisional merupakan warisan
bangsa yang perlu dipertahan untuk tatapan generasi akan datang.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk
memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tak lapuk dek hujan tak lekang
dek panas, ini ialah peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan panduan dalam
usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai
permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh
tertentu. Sejak dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan
tradisional semakin ditelan zaman seiring dengan arus pemodenan masa
kini. Pada masa yang sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam
kalangan masyarakat masa kini. Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin
dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik
yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat seantero dunia. Persoalannya
kini, adakah kita bersedia untuk melihat satu-satunya warisan daripada nenek
moyang kita hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan tanpa kita sedari,
ibarat daun kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup melihat masyarakat
sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik yang
sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding
kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan
menerawang di gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak
untuk memartabatkan lagi permainan tradisional dalam kalangan masyarakat
Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak yang boleh dilakukan ialah menganjurkan
kelab permainan tradisional dan mengadakan kempen untuk mengangkat martabat
permainan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. Oleh hal yang demikian,
pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas serta
disegarkan dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih tercari-cari
tongkat mereka untuk dijadikan panduan.
Suatu hakikat yang tidak boleh
dipertikaikan ialah ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam usaha
untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya
anak-anak. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan
untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana,
setiap perbuatan ibu bapa akan dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana
acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan
anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu
bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing. Dalam
konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan ilmu yang dipelajarinya satu ketika
dahulu kepada anak-anak mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membawa
anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan tradisional.
Peribahasa yang berkaitan dengan hal ini ialah melentur buluh, biarlah dari
rebungnya. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan tradisional
daripada ibu bapa mereka tentang teknik dan cara- cara bermain. Sekiranya, ibu
bapa memainkan peranan mereka maka, permainan tradisional ini akan kekal
sepanjang zaman walaupun sudah berdekad-dekad lamanya. Tegasnya, peranan ibu
bapa amat signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional
yang semakin ditelan zaman agar dapat terus diwarisi dari generasi ke generasi.
Memang tidak dapat disangkal
lagi bahawa peranan pihak sekolah juga merupakan salah satu usaha yang penting
untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.
Dalam konteks ini, pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah
supaya pelajar lebih mengenali dan meminati permainan tradisional kerana tak
kenal maka tak cinta. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan kelab
permainan tradisional sejak awal lagi supaya usaha-usaha lain dapat dilakukan
melalui kelab tersebut. Dalam hal ini, untuk menarik minat pelajar menyertai
program-program yang dianjurkan, pihak persatuan boleh menjemput tetamu dari luar
yang mahir dalam permainan tradisional untuk membimbing mereka tentang cara dan
teknik bermain permainan tradisional yang betul. Secara langsung, para pelajar
dapat mendominasi permainan tradisional dengan lebih baik lagi kerana jauhari
juga yang mengenal manikam. Tambahan pula, pihak sekolah boleh mengadakan acara
dan pertandingan yang menarik yang boleh disertai oleh para pelajar dan guru.
Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah perlu menyediakan lebih banyak
alatan permainan tradisional yang boleh digunakan di sekolah bagi memudahkan
para pelajar untuk menggunakan alatan permainan tradisional. Secara tidak
langsung, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisional
dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri setiap pelajar. Begitu juga halnya
dengan pengekalan permainan tradisional yang perlu ditekankan oleh setiap pihak
agar warisan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Izharlah bahawa,
pihak sekolah mestilah memainkan peranan untuk memartabatkan permainan
tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.
Lanjutan daripada huraian yang
telah dinyatakan di atas ialah media massa perlu memainkan peranan yang tidak
kurang pentingnya dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Umum mengetahui bahawa, media massa merupakan suatu
medium yang sentiasa menguar-uarkan sesuatu berita dengan cepat, tepat dan
sahih. Bertitik tolak daripada itu, pihak media massa boleh menghebahkan
tentang permainan tradisional melalui surat khabar, majalah, radio, Internet
dan televisyen. Tambahan pula, media massa boleh menganjurkan pertandingan
melalui program seperti jom heboh dengan tawaran hadiah yang lumayan. Yang
paling nyata ialah apabila media massa memaparkan iklan-iklan yang menarik
mengenai permainan tradisional kita maka, masyarakat dari negara luar akan
tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam tentang permainan tradisional ini.
Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa media massa mampu mendominasi
seluruh masyarakat di setiap ceruk rantau dunia. Bagi membuktikan perkara ini,
contoh yang boleh diketengahkan ialah sukan sepak takraw yang kini telah
diangkat sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat
antarabangsa iaitu piala dunia. Dalam hal ini dapat kita lihat bahawa negara
luar seperti Thailand kini telah menguasai sukan sepak takraw dan mampu
menandingi Malaysia. Impaknya, media massa yang memaparkan sukan ini dapat
mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia
tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah
bahawa, media massa perlu bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk
memartabatkan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh
masyarakat Malaysia agar diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa
dan membuka mata dunia tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.
Umum mengetahui bahawa pihak
kerajaan merupakan peranan yg penting dalam mengekalkan permainan tradisional.
Beritik tolak daripada itu, pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian,
Kebudayaan dan Warisan dapat mengekalkan permainan tradisional dengan
mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih
mendalam tentang permainan tradisional yang hampir tenggelam oleh peredaran
zaman. Pada masa yang sama, pihak kerajaan boleh memperluaskan permainan
tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui cara
ini, rakyat dapat membuka mata bahawa permainan tradisional juga dapat dibawa
ke peringkat antarabangsa dan mendapat perhatian di mata dunia. Sebagai
contohnya, permainan wau dan layang-layang. Tambahan pula, ramai pelancong
asing melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang
dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun. Secara eksplisitnya,
rakyat Malaysia tidak mudah untuk melupakan permainan tradisional yang semakin
pudar di mata rakyat. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh
memperkenalkan program Cintai Permainan Tradisional agar rakyat mampu menyelami
dan mempelajari permainan tradisional dengan lebih mendalam. Dengan cara ini,
permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang.
Izharlah bahawa, pihak kerajaan mampu melestarikan permainan tradisional yang
diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia hingga ke tahap
antarabangsa.
Perbincangan saya telah meniti
ke puncaknya, maka sebagai akhirul kalam seluruh masyarakat Malaysia tidak
seharusnya membiarkan warisan Malaysia yang berharga seperti permainan
tradisional ini lenyap terus daripada muka bumi ini. Jika semua pihak
berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, kelurah sama dituruni, isu ini
akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia dan warisan paling berharga ini
akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi akan datang. Tambahan pula, kita
sebagai pewaris khazanah negara tidak mungkin akan membiarkan permainan
tradisional ini terus menjadi sejarah yang hanya diketahui namanya sahaja dan
tiada siapa pun yang dapat mewarisi kemahiran atau teknik bermain permainan
tradisional untuk diturunkan kepada generasi pada masa akan datang. Bertitik
tolak daripada itu, kita sebagai penerus warisan negara perlu mengambil
inisiatif yang pragmatik,vital,kreatif dan kritis supaya dapat memanifestasikan
generasi pewaris negara yang tidak akan melupakan warisan mereka seperti kacang
lupakan kulit. Dalam konteks ini, generasi sekarang perlulah memupuk rasa cinta
akan warisan negara agar dapat menyanjung dan menghargai warisan negara dari rebungnya
lagi. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam
memastikan warisan negara ini sentiasa terpelihara dan tidak hilang ditelan
zaman serta terus hidup subur di dalam hati, fikiran dan diri masyarakat itu
sendiri. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua
pihak dan bukannya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan
batuk di tangga sahaja. Kendatipun demikian, kita masih perlu menjangkau
sehabis tangan bagi mempertahankan khazanah warisan tinggalan nenek moyang kita
yang ulung ini agar tidak dilupakan terus oleh masyarakat. Marilah kita
sama-sama menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan
warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi kudsi Wawasan 2020.
terima kasih cikgu cl tan. halalkan bagi pihak saya menggunakan bahan ini. mohon izin share juga.
ReplyDeleteKarangan peranan kerajaan bagi permainan... Boleh tolong ajar tk
ReplyDeletemohon izin kongksikan karangan ini dengan murid - murid.terima kasih
ReplyDeleteMohon ambil isi2 penting dlm karangan ni 🙏🏻
ReplyDeleteCikgu Tan, mohon perkongsian bahan yang ada untuk anak didik saya,..terima kasih..
ReplyDeleteTeima kasih Cikgu Tan, mohon perkongsian Karangan ini.
ReplyDeleteTerima kasih🥰
ReplyDeletemohon cikgu ajar peranan generasi muda untuk mempromosikan permainan tradisional di Malaysia... blh tak? tq
ReplyDeleteTerbaik lh cikgu, dh hafal smua dahhh
ReplyDeleteCikgu kalau pihak hanya bagi tiga tapi guna yg sama balik boleh kah?
ReplyDeleteBaik cg. Saya dah dan afalkan cg
ReplyDeleteTerima kasih cikgu tan
ReplyDeleteterima kasih cguuu <3
ReplyDelete👍👍
ReplyDelete