2 November 2017

TEMA SASARAN SPM - CABARAN REMAJA ABAD KE-21

CABARAN REMAJA ABAD KE-21

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), remaja merupakan individu yang berkembang dari saat pertama kali menunjukkan tanda-tanda seksual sekundernya sehinggalah saat ia mencapai kematangan seksual. Remaja mengalami perkembangan biologi, psikologi, dan dan sosiologi yang saling berkait antara satu sama lain.WHO menetapkan batasan bahawa golongan remaja terdiri daripada mereka yang berusia antara 12 hingga 24 tahun dan belum berkahwin. Perkataan ‘remaja’ berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud menuju kearah  kematangan. Golongan ini sentiasa mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa.Remaja akan mengalami pelbagai perubahan drastik termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi dan bahasa.  Akibat daripada itu, golongan remaja seringkali dilabelkan sebagai individu yang memiliki emosi yang tidak stabil dan sentiasa bermasalah. Pelbagai persoalan yang mengganggu benak kita apabila berbicara tentang remja. Persoalannya ialah apakah cabaran yang sebenarnya dihadapi oleh golongan remaja pada abad yang ke-21? Bagaimanakah remaja berdepan dengan cabaran yang dialami? Segala persoalan yang mewarnai mauduk perbincangan di atas wajar dikupas hingga ke akar umbi.

Globalisasi merupakan proses membentuk sebuah dunia tanpa sempadan dan kedudukan geografi.  Remaja yang hidup dalam abad ke-21 ini terdedah dengan cabaran teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan rintangan. Terdapat banyak laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan jati diri Islam seseorang remaja. Penggunaan media komunikasi yang berkaitan dengan Internet seperti Youtube, Whatsapp, Wechat, Instagram dan lain-lain telah menjadi satu perantaraan yang sangat efektif dan efisien untuk melakukan pertukaran informasi jarak jauh dan dekat. Penggunaan Internet yang tidak terkawal oleh ibu bapa telah mengundang banyak musibah. Kebebasan tanpa had dan batasan akan merosakkan minda dan otak remaja. Banyak berita yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana tentang kisah remaja lelaki yang merogol adik perempuan dan kawan-kawan perempuan setelah terangsang akibat menonton video lucah di Internet. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mempunyai keimanan yang ampuh sebagai benteng untuk menghadapi cabaran ini. Akidah Tauhid yang teguh akan dapat memimpin akal fikiran dan tingkah laku remaja ke arah kebaikan. Sesungguhnya iman dan amal tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya umpama buah dan pohonnya.

Remaja seringkali dikaitkan dengan budaya lepak. Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Budaya ini dianggap sebagai suatu penyakit yang telah mengundang pelbagai masalah lain dalam kalangan remaja kita. Persoalannya sekarang, mengapakah budaya lepak diamalkan oleh segelintir remaja pada hari ini? Banyak kajian yang telah dilakukan oleh para penyelidik sama ada tempatan mahupun luar negeri berhubung dengan kecenderungan sikap suka melepak. Menurut kajian yang dijalankan oleh tokoh cendekiawan tempatan, tingkah laku lepak dalam kalangan remaja menunjukkan secara purata remaja menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam seminggu membuang masa berkumpul dan berbual kosong dengan rakan sebaya di tempat-tempat awam. Kadar ini lebih menonjol di kawasan luar bandar iaitu di kawasan pembangunan tanah FELDA yang telah menghabiskan masa mereka sebanyak 28.4 jam seminggu untuk melepak. Kebanyakan remaja menyatakan mereka melepak sekadar berjumpa kawan, bersiar-siar, berehat, mencari ketenangan, melepaskan rasa bosan atau mendapatkan hiburan. Sesungguhnya remaja perlu diingatkan bahawa masa yang diibaratkan emas itu tidak akan berundur walaupun sedetik. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan setiap detik masa yang dilalui oleh anak-anak mereka diisi dengan perkara yang bermanfaat.

Golongan remaja pada abad ke-21 juga berdepan dengan cabaran pergaulan bebas. Masalah pergaulan bebas telah lama dibincangkan dan menjadi salah satu isu sosial yang kian menanah di bumi Jalur Gemilang yang tercinta ini. Pelbagai pihak di setiap lapisan masyarakat memandang isu ini sebagai satu masalah yang perlu ditangani secara holistik kerana remaja merupakan generasi yang akan mewarisi negara pada masa akan datang.Perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Sekiranya perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu hal ini akan membawa kepada permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat. Isu terkini benarkah remaja abad ke-21 ini banyak terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka bercinta dan melakukan hubungan seks serentak demi cinta sejati. Hasilnya, lahirlah anak luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap sebagai satu kesalahan malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.Oleh itu, remaja perlu bijak semasa berkawan atau bercinta  dengan cara yang telah digariskan oleh agama dalam menongkah arus kehidupan yang kian mencabar. Remaja perlu berani berkata “tidak” kepada rakan atau pasangannya apabila  tindakan dan perbuatan rakan mereka itu boleh menjerumuskan mereka ke lembah yang hina.

Jika ditinjau dari aspek yang lain pula, remaja abad ke-21 juga berhadapan dengan cabaran ledakan kebendaan atau materialistik. Memang tidak dinafikan bahawa kebendaan merupakan keperluan bagi manusia. Namun, berlebih-lebihan dalam mengumpul harta benda sehingga menjadi materialistik boleh membawa akibat yang tidak sihat dalam masyarakat. Misalnya, kehidupan sosial dalam masyarakat akan terpisah kepad dua golongan apabila salah satu golongan menganggap pemilikan material sebagai nilai yang tinggi dan mengatasi segala-galanya dalam kehidupan. Persoalannya, mengapakan remaja kini begitu mementingkan materialisme berbanding hal-hal lain? Salah satu sebab yang menjadi punca kepada permasalahan ini adalah kerana remaja telah dimomokkan dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan nilai-nilai kebendaan semata-mata sehingga mereka berpegang kepada falsafah guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan untuk generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mengawal hawa nafsu mereka daripada bersikap materialistik yang mengaburi mata seseorang untuk bersifat lebih mengasihi dan menyayangi sesama makhluk.

Remaja abad ke-21 tidak dapat lari daripada berhadapan cabaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Alam pekerjaan merupakan destinasi yang terakhir kepada kebanyakan pelajar yang telah menamatkan pengajian sama ada di peringkat sijil, diploma mahupun peringkat ijazah. Mereka mula mencongak-congak untuk mencari peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu menjawat jawatan yang diimpikan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh majikan. Satu perkara yang tidak boleh dikesampingkan ialah remaja juga perlu bersaing dengan buruh asing yang kian membanjiri bumi bertuah ini. Buruh asing yang mencari rezeki di negara kita tidak boleh dipandang remeh. Walaupun hanya sebagai buruh kasar atau operator kilang, mereka mempunyai pelbagai kelulusan yang standing dengan lepasan graduan tempatan. Berbekalkan sikap rajin dan ingin membela nasib keluarga yang ditinggalkan jauh di tanah air, mereka sanggup melakukan apa-apa pekerjaan yang ada walaupun gaji yang ditawarkan itu tidak setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan. Jelaslah bahawa remaja wajar memperlengkap diri mereka dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan di samping membuka minda mereka supaya tidak memilih pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka.

Perbincangan tentang mauduk cabaran remaja telah meniti puncaknya. Sebagai kesimpulan, remaja merupakan aset negara yang amat penting dan bakal memimpin negara pada masa hadapan. Oleh itu, perubahan tingkah laku dan pemikiran ke arah yang positif amat penting dalam memberi hala tuju yang betul dan baik dalam kehidupan mereka. Selaras dengan perkembangan dunia moden  hari ini, banyak cabaran telah memberi implikasi dalam hidup mereka termasuklah aspek sosiologi dan psikologi. Keadaan ini memberi impak secara menyeluruh dalam hidup remaja. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa  amat diperlukan dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh remaja abad ke-21. Kegagalan untuk menghadapi polemik ini secara rasional dan efektif akan menjadikan masyarakat kita pada masa hadapan sebagai masyarakat yang lemah dan tidak mampu bersaing dalam arus persada globalisasi kini.


11 comments:

  1. Salam sejahtera cikgu. Ini karangan yang saya hasilkan setelah mengikuti bengkel Penulisan 5P di bawah bimbingan Tn Hj Rosland

    ReplyDelete

  2. BONUS DEPOSIT HARIAN 20%
    QQACE96 .COM
    WA +62 823 6229 3153

    ReplyDelete
  3. karangan padu beb

    ReplyDelete
  4. Syed Ian Carlos

    ReplyDelete
  5. Terima kasih cikgu

    ReplyDelete

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.