KARANGAN RAMALAN SPM 2017
Semangat kejiranan semakin hari
semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam
kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri
atau memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah
jiran. Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak
yang jauh menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah
tetangga atau mereka yang tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula
membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan
bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang
menyakiti hati jiran, sebaliknya kita perlu bertolak ansur dan hidup
berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau
pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi,
kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi
pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin
luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat
betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara
ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini
tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai
aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat.
Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama.
Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul untuk
berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain
dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan
lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan, mengadakan
rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara
gotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti
tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli
keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran tambahan pula mereka
juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan
perkara yang sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa
haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat
kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau
‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan
semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup
seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam
hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai
semangat kejiranan dan prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat
akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka
atau mengambil tahu akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu
masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat
meringankan beban yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana
dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan
masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang
lain. Sebagai analoginya, ketika ketua
keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada
jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya
yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan kecemasan
ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah
mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena dengan sesuatu sambutan
perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dan
menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa
anak-anak bersama-sama. Dalam majlis tersebut,
masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan
lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang
sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama
dan budaya masing-masing di negara ini.
Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah
dijadikan acara tahunan Kehadiran ibu
bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat
memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah
dapat menanamkan semangat kekitaan dalam diri anak-anak dan mengamalkan
semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan
setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan
membentuk masyarakat yang harmoni
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi
dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan
semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang
sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang
dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal
ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan
yang serba kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah
dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat
membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh
sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah
berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jadi,
melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang
dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan
lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran
yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan
budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat
kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap
komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga untuk merapatkan hubungan
dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap diadakan
sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa
anak-anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang
disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh
mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu dalam
masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga,
Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai
contoh, melalui pertubuhan seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi
keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti
membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan
atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan
kaum. Walau apa-apa pun keadaan dan di
mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu
jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang
susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan
ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan
diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita
berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Jiran
Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini.
Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum
akan bertambah utuh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya
negara kita sentiasa aman, harmoni, dan sentosa.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.