18 July 2017

INFORMASI BAHASA - Kekeliruan antara Kata Sendi Nama "tentang" dengan "terhadap"

INFORMASI BAHASA
Kekeliruan antara Kata Sendi Nama "tentang" dengan "terhadap"

Kata sendi nama "terhadap" sepatutnya diikuti oleh kata nama konkrit manakala kata sendi nama "tentang" pula perlu diikuti oleh kata nama abstrak. Apakah maksudnya konkrit  dan abstrak? Konkrit ialah sesuatu yang kita sentuh dan lihat. Abstrak ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pan­caindera.

PRINSIP:
📌tentang 👉 diikuti kata nama abstrak📌
📌terhadap 👉 diikuti kata nama konkrit📌

Lihat contoh di bawah:
1. Aisyah dan Puan Sharifah berbincang terhadap ❌konflik politik di negara itu.
2. Puan Maimunah sentiasa curiga terhadap ❌ kejujuran suaminya.
3. Noorazman amat cakna terhadap ❌ kebajikan keluarganya.
4. Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan tentang ❌ pencuri itu.
5. Penentangan tentang ❌ pihak berhaluan kiri berlaku akibat daripada semangat nasionalisme.

Pembetulannya:
1. Aisyah dan Puan Sharifah berbincang tentang ✅konflik politik di negara itu.
2. Puan Maimunah sentiasa curiga tentang ✅ kejujuran suaminya.
3. Noorazman amat cakna tentang ✅ kebajikan keluarganya.
4. Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap ✅ pencuri itu.
5. Penentangan terhadap ✅ pihak berhaluan kiri berlaku akibat daripada semangat nasionalisme.

UJI BAHASA 1
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama yang sesuai.

1. Peristiwa 13 Mei haruslah menjadi peringatan _____ tiada kesepakatan antara pelbagai kaum.
2. Pensyarah dari Jepun bertukar-tukar pendapat _____ kebudayaan dalam seminar itu.
3. Keunikan seni bina bangunan itu benar-benar mencabar persepsi para arkitek _____ struktur bangunan yang memiliki kekreatifan tersendiri.
4. Pungutan suara _____ penyatuan negeri tersebut diadakan di Itali pada 16 Jun 2017.
5. Sebagai ketua yang bersikap adil _____ anak buahnya, Encik Azizi sentiasa memberikan kerja yang sama rata.
6. Kerajaan Malaysia mengutuk keganasan negara itu yang menjadi ancaman _____ keselamatan rantau dan pencabulan persempadanan.
7. Kehadiran staf syarikat ke hospital untuk menyampaikan rasa simpati _____ pengarah berikutan kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
8. Jabatan yang bertanggungjawab diminta untuk segera bertindak _____ kesilapan yang berlaku dalam projek lebuh raya itu.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.