- Bulat air oleh pembetung, bulat manusia oleh muafakat
- Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
- Bulat air oleh pembetung, bulat kata oleh muafakat
- Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
Yang manakah senarai peribahasa di atas yang tepat dan boleh diterima?
Saya berpendapat bahawa jawapan peribahasa di atas sesuai dengan permintaan soalan PT3 2015. Yang pernah memiliki skema jawapan tersebut, mohon kongsikan jawapan tersebut jika tidak keberatan. Dengan pendekatan ini, kita dapat mengetahui keterimaan Lembaga Peperiksaan Malaysia terhadap peribahasa tersebut. Jika semua peribahasa di atas diterima, saya amat berterima kasih kepada Lembaga peperiksaan Malaysia kerana konsep keterbukaan dari segi penerimaan skema jawapan peribahasa. Usaha ini dapat membantu guru mendapat pencerahan tentang peribahasa yang boleh diterima dan peribahasa yang tidak boleh diterima.
Pada pendapat saya, peribahasa Melayu dicipta oleh leluhur kita tetapi mengalami pembaikan dan pemurnian daripada generasi kepada generasi dan dari zaman ke zaman. Perubahan demi perubahan inilah yang menyebabkan satu peribahasa memiliki pelbagai bentuk tulisannya. Keadaan ini menunjukkan variasi kata dalam bahasa Melayu yang semakin hari semakin berkembang dan akar maknanya masih berdiri kukuh meskipun bentuk tulisan peribahasa itu mengalami perubahan. Demi mahabbah terhadap ilmu dan bahasa Melayu, kita harus terus mengembangkan cabang bahasa dan kata demi menghadapi persaingan daripada bahasa-bahasa lain. Dengan persaingan yang sihat inilah sesuatu bahasa itu, termasuk bahasa Melayu mendapat perhatian atawa pemerhatian penghuni buana indah ini. Kesarwajagatan konsep peribahasa ini bukan sahaja memperindah bahasa Melayu, tetapi memperkukuh kewujudannya di pentas dunia.
Sebagai akhirul kalam, saya terima senarai peribahasa di atas. Hal ini dikatakan demikian kerana senarai ini saya peroleh daripada carian dan kajian dalam buku teks sekolah rendah, sekolah menengah, buku-buku keluaran DBP, serta PRPM.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.