INFORMASI BAHASA
24.06.2015
“MERUJUK PADA” ATAU “MERUJUK KEPADA”?
(1) ...... merujuk pada Kamus Dewan.
(2) ...... merujuk kepada Kamus Dewan.
(3) ...... merujuk Kamus Dewan.
Ketiga-tiga jenis frasa
sering kita temukan dalam ayat, karangan, majalah, buku dan pelbagai media
cetak yang lain mahupun dapat kita dengar melalui media elektronik yang lain.
Dalam subjek Bahasa Melayu,
tiada dua konsep penerimaan untuk kata sendi “pada” dan “kepada”. Hal ini
dikatakan demikian kerana setiap kata sendi mempunyai fungsi dan kegunaan yang
tersendiri. Eloklah sekiranya kita teliti penggunaan kata sendi “pada” dan
“kepada” seperti yang berikut:
Untuk makluman semua, kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan
kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat,
digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa
situasi tertentu, seperti yang berikut:
(i) menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa. Antaranya adalah seperti yang berikut:
(a)
......pada masa lapang...... (gramatis)
...... di masa lapang...... (tidak gramatis)
(b)
......pada zaman moden...... (gramatis)
......di zaman moden...... (tidak gramatis)
(ii) kata sendi nama "pada" apabila didahului perkataan
"ada", mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan.
Antaranya adalah seperti yang berikut:
(c)
......ada pada ibu...... (gramatis)
......ada di ibu...... (tidak gramatis)
(d)
......ada pada kucing...... (gramatis)
...... ada di kucing...... (tidak gramatis)
(iii) sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja yang mengandungi maksud sandaran. Antaranya adalah seperti
(e)
......bergantung pada...... (gramatis)
......bergantung pada...... (gramatis)
......bergantung kepada......(tidak gramatis)
(f)
.....dipasang pada kereta....... (gramatis)
.....dipasang di kereta....... (tidak gramatis)
(g)
......digantung pada dinding...... (gramatis)
......digantung di dinding...... (tidak gramatis)
Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa
nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad,
menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:
(h) sasaran merujuk manusia
...... menghantar surat kepada ibu.... (gramatis)
...... menghantar surat ke ibu ...... (tidak gramatis)
(i) sasaran merujuk haiwan
...... menghadiahkan kucing kepada kakak...... (gramatis)
...... menghadiahkan kucing ke kakak ...... (tidak gramatis)
(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)
...... penting kepada negara Malaysia.... (gramatis)
...... penting pada negara Malaysia ...... (tidak gramatis)
(k) menyatakan pecahan
...... terbahagi kepada dua kumpulan...... (gramatis)
...... terbahagi ke dua kumpulan ...... (tidak gramatis)
(l) menyatakan perubahan keadaan
...... daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ......
(gramatis)
...... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ...... (tidak
gramatis)
...... daripada sedih kepada gembira...... (gramatis)
...... daripada sedih ke gembira ...... (tidak gramatis)
Setelah melihat dan mengkaji fungsi kata sendi nama “pada” dan “kepada”. Kita dapati bahawa tiada fungsi yang sesuai untuk dipadankan dengan frasa “merujuk kepada Kamus Dewan” waima “merujuk pada Kamus Dewan”. Oleh sebab itu, "merujuk pada" dan “merujuk kepada” sememangnya tidak gramatis.
Kamus Dewan mestilah dijadikan panduan untuk mendapatkan makna sesuatu
kata. Jika anda berhajatkan panduan untuk menggunakan sesuatu kata
dengan betul, maka hendaklah merujuk buku Tatabahasa Dewan. Seperti yang kita
sedia maklum, dalam buku Tatabahasa Dewan, merujuk ialah kata kerja transitif
yang diikuti objek selepasnya, seperti merujuk buku; dan kata sendi nama
terhadap pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang
melibatkan penyambut tertentu.
Mengikut rumus tatabahasa, frasa "Merujuk Kamus
Dewan" sebagai frasa yang gramatis kerana “merujuk” ialah kata kerja
transitif yang perlu diikuti objek daripada frasa nama, iaitu Kamus
Dewan. Walau bagaimanapun frasa "merujuk kepada Kamus
Dewan" telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat dan
diterima.
Kesimpulannya, frasa “merujuk kepada Kamus Dewan” gramatis kerana penggunaannya
yang telah mantap dalam kalangan ahli masyarakat dan “merujuk Kamus Dewan” juga
dikatakan frasa yang gramatis kerana sesuai dengan formula tatabahasa.
Kesimpulannya, bahasa Melayu ialah bahasa yang amat unik kerana konsep
kebiasaannya diterima sebagai frasa yang gramatis dan konsep ketatabahasaan
diguna pakai sebagai frasa yang gramatis. Secara tuntas, betulkan yang salah,
biasakan yang betul, elakkan yang salah, dan biasakan yang gramatis.
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.