21 May 2015

Penggunaan penanda wacana "selain itu", "Selain daripada itu", dan "Lain daripada itu".

INFO BAHASA
Penggunaan penanda wacana "selain itu", "Selain daripada itu", dan "Lain daripada itu".

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "Selain" bermaksud "di samping". Oleh itu, penanda wacana "Selain itu" tidak perlu ditambah "daripada" kerana kata sendi nama "daripada" hanya boleh hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, dan perbezaan atau perbandingan.

Penanda wacana yang betul ialah selain itu. Penggunaan "selain daripada itu" merupakan bentuk lewah kerana selain itu sudah bermaksud lain daripada itu.

Bagaimanakah pula "lain daripada itu"?
Sebenarnya, "lain daripada itu" ialah penanda wacana yang gramatis. Gunakanlah penanda wacana ini dengan baik untuk memurnikan bahasa kebangsaan kita.

Kesimpulannya, yang berikut ialah senarai penanda wacana yang sama maksudnya dengan "Selain itu" tetapi disalah tulis oleh pengguna bahasa:

1.
Selain itu, (betul)
Selain daripada itu, (salah)

2.
Di samping itu, (betul)
Disamping itu, (salah)

3.
Sementara itu, (betul)
Sementelah itu, (salah)

4.
Bukan itu sahaja, (betul)
Bukan sahaja itu, (salah)

5.
Seterusnya, (betul)
Seterusnya itu, (salah)

6.
Lain daripada itu, (betul)
Selain daripada itu, (salah)

Sekian untuk hari ini,
Salam bahasa jiwa bangsa!

3 comments:

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.