29 April 2015

TATABAHASA: PERIMBANGAN KATA

INFO BAHASA 29.4.2015
PERIMBANGAN KATA
Baca ayat di bawah dengan teliti, kemudian kenal pasti satu kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat tersebut:
(a) Kesihatan ayah merosot dari hari ke sehari.
(b) Kesihatan ayah merosot dari sehari ke hari.
Banyak calon peperiksaan waima pengguna bahasa lazimnya membuat kesilapan seperti ayat di atas. Kesilapan tersebut dinamakan kesalahan perimbangan kata. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan frasa "dari hari ke sehari" tidak ada perimbangan kata. Berikut ialah jawapan yang boleh diterima:
(a) Kesihatan ayah merosot dari hari ke hari.
atau
(b) Kesihatan ayah merosot dari sehari ke sehari.
Dalam ayat di atas, perimbangan kata berlaku kerana kedua-dua perkataan selepas kata sendi nama adalah sama dan memiliki standardisasi tatabahasa bahasa Melayu.
Sebagai bonus, lihatlah beberapa contoh kesalahan dan pembetulannya:
1.
dari minggu ke seminggu (salah)
dari seminggu ke minggu (salah)
dari minggu ke minggu (betul)
dari seminggu ke seminggu (betul)
2.
dari sehari ke hari (salah)
dari hari ke sehari (salah)
dari hari ke hari (betul)
dari sehari ke sehari (betul)
3.
dari bulan ke sebulan (salah)
dari sebulan ke bulan (salah)
dari bulan ke bulan (betul)
dari sebulan ke sebulan (betul)
4.
dari seabad ke abad (salah)
dari abad ke seabad (salah)
dari abad ke abad (betul)
dari seabad ke seabad (betul)
5.
dari jam ke sejam (salah)
dari sejam ke jam (salah)
dari jam ke jam (salah)
dari sejam ke sejam (betul)
6.
dari tahun ke setahun (salah)
dari setahun ke tahun (salah)
dari tahun ke tahun (betul)
dari setahun ke setahun (betul)
Sebenarnya, banyak lagi senarai dapat saya tulis tetapi cukuplah sekadar memberikan beberapa contoh kepada anda sebagai pengguna bahasa yang bijaksana dan terang hati.
Saya berharap agar kesilapan bahasa seperti yang dinyatakan di atas tidak akan berulang lagi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Selamat belajar kepada semua!
Selamat pagi!

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.