28 August 2014

RAMALAN (1) KARANGAN BERGAMBAR SPM 2014



BAHAGIAN A
[30 markah]
[masa dicadangkan : 45 minit]

Gambar di bawah menunjukkan perpaduan kaum di Malaysia.

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


SISTEM PENDIDIKAN

PROGRAM KEMASYARAKATAN


PENEMPATAN RAKYAT
PERPADUAN KAUM

AMALAN RUMAH TERBUKA


KERANGKA KARANGAN
PEN
Rakyat Malaysia – mesti hidup bersatu padu – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh – banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum
ISI 1
Sistem pendidikan negara – memainkan peranan sebagai agen perpaduan – memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni – pelbagai kaum belajar di dalam satu kelas – menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama untuk memupuk perpaduan nasional
ISI 2
Kerajaan – menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat – dapat bergaul mesra – hidup bagai aur dengan tebing – harmoni dan bersatu padu
ISI 3
Pelbagai program kemasyarakatan – diadakan oleh pihak kerajaan – kegiatan gotong-royong dapat memupuk perpaduan kaum – berat sama dipikul, ringan sama dijinjing – membersihkan tempat tinggal
ISI 4
Pada hari perayaan – ziarah-menziarahi antara kaum – menghadiri rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan – berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing.
PEN
Semua rakyat Malaysia – hidup bersatu padu – membina negara yang harmoni dan kukuh


KARANGAN BERGAMBAR 1

          “Rakyat Malaysia mestilah hidup bersatu padu”. Demikianlah kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas memperkenalkan Rukun Negara kepada rakyat Malaysia. Kata-kata almarhum memang ada kebenarannya kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya yakin bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

          Cara yang terbaik boleh kita lakukan untuk menyatupadukan rakyat adalah melalui sistem pendidikan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan memainkan peranan penting sebagai agen perpaduan. Pihak sekolah bolehlah memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni, yakni diduduki murid berbangsa Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum lain. Oleh sebab rambut sama hitam, hati lain-lain, pelbagai kaum dapat belajar di dalam kelas di samping menyanyikan lagu kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional.

          Kerajaan pula mestilah bertindak bijak dengan menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat. Hal ini dapat mengelakkan polarisasi kaum dan tidak membina jurang pemisah antara kaum. Apabila tinggal bersama di sesuatu kawasan petempatan, kita dapat bergaul mesra dan hidup bagai aur dengan tebing. Sulaman kasih dan amala hormat-menghormati yang diamalkan pasti dapat membentuk rakyat supaya hidup harmoni dan bersatu padu.

          Pada masa yang sama, pelbagai program kemasyarakatan bolehlah diadakan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong harus dijadikan aktiviti tahunan suoaya kita dapat memupuk perpaduan kaum. Semua kaum mestilah memahmi konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat membersihkan tempat tinggal, malah dapat bergaul mesra dan hidup serumpum bagai serai. Amalan inilah yang dikatakan semangat 1Malaysia rakyat kita.

          Di samping itu, amalan ziarah-menziarahi pada hari perayaan juga merupakan rencah penting untuk menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Amalan rumah terbuka misalnya bolehlah diadakan pada hari perayaan. Dengan berbuat demikian, semua kaum dapat dikumpulkan bersama-sama meraikan hari perayaan dengan penuh bermakna. Apabila berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan, saya yakin bahawa kita dapat berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing-masing.

          Kesimpulannya, kita haruslah menyahut seruan Perdana Menteri untuk hidup bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat bersatu padu amat penting untuk membina negara yang harmoni dan kukuh. Oleh sebab itu, tanpa rakyat tiadalah negara. Rakyat haruslah berpegang teguh pada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni demi membentuk masyarakat majmuk yang bersatu padu. Malaysia Boleh!

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.