2 October 2011

RAMALAN 2: KARANGAN BERGAMBAR

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara-cara mempopularkan permainan tradisional. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Permainan tradisional Malaysia semakin dipinggirkan. Oleh hal yang demikian, kita harus menggembleng tenaga untuk mempopularkannya semula sebelum warisan negara ini terus dilupakan oleh masyarakat.



Realitinya, pihak kerajaan haruslah menjalankan kempen mempromosikan permainan tradisional. Kempen ini bolehlah dijayakan bersama oleh media massa. Usaha ini dapat membantu usaha kerajaan yang berharap rakyat lebih mengenali permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta.



Pihak Kementerian Belia dan Sukan pula haruslah mengiktiraf permainan tradisional sebagai acara sukan penting. Pihak berkenaan bolehlah memasukkan acara permainan tradisional dalam Sukan Malaysia (SUKMA). Langkah ini dianggap serampang dua mata kerana dapat menyemai minat rakyat sekali gus mempopularkan permainan tradisional.



Pihak sekolah pula bolehlah menubuhkan kelab permainan tradisional. Dalam kelab ini, para guru dapat mengajar murid-murid bermain permainan tradisional sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, generasi muda akan pasti menghargai warisan nenek moyang.



Kementerian Pelajaran juga bolehlah menganjurkan pertandingan permainan tradisional . Usaha ini akan berjaya sekiranya kita menjadikannya suatu acara penting dalam Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS). Dengan berbuat demikian, kita pasti dapat mempopularkan permainan tradisional kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Ijmalnya, semua pihak haruslah bertanggungjawab mempopularkan permainan tradisional. Kita mesti memastikan permainan warisan kita tidak pupus ditelan zaman.

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.