"Enam Mayat Mangsa Perahu Naga Terbalik Ditemui"
"Kesemua Enam Mangsa Perahu Naga Terbalik Ditemui "
Tajuk berita di atas cukup memilukan! Nyawa anak bangsa terus lemas dibawa ombak yang kuat menghempas pantai. Demikianlah pilunya sanubari ibu yang menatap wajah pucat anak kesayangan mereka apabila pihak berkuasa membawa ibu bapa mangsa untuk melakukan proses pengecaman mayat mangsa Goh Yi Zhiang, Chin Aik Siang, Jason Ch'ng, Yong Xiang, Cheah Zi jun, dan Brandon Yeoh. Lima orang pelajar bersama guru mereka menemui ajal apabila perahu naga yang didayung oleh mereka dipukul ombak tinggi. Realitinya, mereka adalah antara 18 pelajar dari SMK Chung Ling Air Itam yang menjalani latihan mendayung perahu naga sebagai persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa pertengahan tahun ini.
Perahu naga yang dinaiki oleh mereka terbalik akibat dipukul ombak pagi semalam. Kejadian itu berlaku di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum, dan kawasan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan. Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru, dua jurulatih dan 15 pelajar. Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak sebelum terlanggar sebuah tongkang pada pukul 8.45 pagi pada hari kejadian. Sebanyak 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.
Ada pihak yang berpendapat bahawa murid-murid yang menyertai latihan tersebut tidak mematuhi arahan memakai jaket keselamatan. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa perancangan teliti tidak dilakukan sebelum latihan dimulakan termasuk tidak mengambil tahu ramalan cuasa dan skala ombak yang bergelora di perairan. Walau bagaimanapun, semuanya sudah terlewat dan 12 orang mangsa yang terselamat sepatutnya bersyukur atas kejadian tersebut dan mengambil iktibar untuk berhati-hati. Sebagai guru, saya berasa sedih dan ingin menitipkan belasungkawa kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Kepada Tuan Pengetua Chua Yao Chou, terimalah pengorbanan keenam-enam butir mutiara sekolah ini sebagai kunci semangat untuk meneruskan perjuangan untuk mengemudi sekolah yang sentiasa aktif dalam pertandingan di dalam dan di luar negara. Saya yakin, pihak sekolah sudah membuat persiapan yang terbaik dan tidak ada siapa-siapa yang ingin akan kejadian ini berlaku. Sebagai guru, saya sendiri menitiskan air mata apabila membaca akhbar tempatan yang memaparkan berita tersebut.
Di sini, saya ingin menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH
Sebelum dinihari
berkobar-kobar sanubari
bersedia di pantai
berlatih menjadi juara kemudi
berprinsip satu teguh bersama
Perahu persahabatan didayung
sekuat-kuat tenaga dipertaruh
BERSATU!KITA TEGUH
Yi Zhiang dan Jason Ch'ng
Berserta Yong Xiang dam Zi Jun
berhempas pulas mendayung perahu
bagai dirasuk kekuatan naga
perahu didayung sehabis tenaga
BERCERAI KITA ROBOH
Cikgu Chin dan Brandon
Sama-sama berjerit
memberi sokongan moral dan dorongan
menaikkan bendera Chung Ling di bahtera naga
BERSATU MEREKA MENUJU
Panggilan Ilahi tidak didengari
amaran ombak tidak dipeduli
Berani, gagah terus berdiri
berdayung terus ke hilir
BERCERAI NYAWA MEREKA SANGGUP!
Sekali ombak memukul perahu
Naga pun tumbang bergulung-gulung
anak kapal jatuh
satu per satu
hanya jeritan TOLONG!!! TOLONG!!!!
menjadi igauan
BERCERAINYA NYAWA MUTIARA SEKOLAH
Enam mutiara gugur
bersiram air mata
ayahanda dan bonda
berdoa diiringi air mata
BERSATU KITA MENGHADAPINYA
Ayuh warga Chung Ling
bangunlah
jangan pandan ke belakang lagi
perjuangan kita
belum sampai setengah perjalanan lagi
BERCERAI ERTINYA BERPUTUS ASA
Ayuh Yi Zhang
marilah Cikgu Chin
Jom Jason dan Brandon
Wahai Yong Xiang dan Zi Jun
Berilah kekuatan semangat kepada warga Chung Ling!
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH!
Semoga ombak yang dihadapi mereka
bukan gelombang yang menggagalkan Chung Ling.
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH!
SALAM BELASUNGKAWA DAN TAKZIAH!
CIKGU TAN
CIKGU TAN
No comments:
Post a Comment
SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.