17 June 2009

“Kemaslahatan membeli barangan buatan tempatan yang berformat ucapan”

Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para peniaga, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan. Saya seorang pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang keemasan ini untuk menyampaikan ucapan sempena jualan mega yang dilancarkan baru-baru ini. Perkara yang ingin saya kongsikan kepada tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini ialah kepentingan membeli barangan buatan Malaysia
Para hadirin,
“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak pengguna tempatan amnya, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan juga telah membuka kawasan perindustrian dalam pelbagai lapangan. Hal ini telah memungkinkan pengeluaran barangan buatan Malaysia menjadi lebih berkualiti dan setaraf dengan barangan import.
Untuk menggapai visi kudsi Wawasan 2020 yang diwara-warakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, sektor industri di negara kita perlulah disokong sepenuhnya agar dapat dinaik taraf dan memenuhi kehendak pasaran. Kerajaan telah melancarkan kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia” sejak awal tahun 1988, tujuannya adalah untuk membuka mata rakyat pro-Barat tentang kualiti barangan tempatan. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong barangan buatan Malaysia, siapakah lagi membeli barangan buatan Malaysia? Saya akan cuba menghuraikan kepentingan membeli barangan tempatan kepada tuan-tuan dan puan-puan.
Hadirin dan hadirat yang budiman,
Dewasa ini, Asia Tenggara sedang dilanda iklim kegawatan ekonomi yang gawat. Hal ini telah membelenggu rakyat dalam negara tetangga sebelah sini. Sesetengah tempat menghadapi masalah kekurangan bahan makanan, malah di negara kita, kadar inflasi semakin meningkat. Apakah langkah yang paling proaktif untuk menangani masalah inflasi ini? Pada pandangan saya, pendekatan yang terbaik untuk memerangi permasalahan ini adalah dengan membeli barangan keluaran tempatan. Hal ini berlaku demikian kerana melalui langkah ini, kita akan dapat mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Jika keadaan ini dapat kita elakkan, sudah pasti dana utama negara akan meningkat seterusnya dan membendung masalah inflasi.
Usahlah kita bersusah payah membazirkan wang membeli kenderaan import. Usahlah kita memandang jenamanya yang menuntut nilai yang tinggi sedangkan negara kita mempunyai kenderaan yang sama kualitinya. Lihatlah kereta-kereta nasional berjenama Proton seperti Proton Saga, Proton Waja, dan Proton Perdana. Bukankah kereta-kereta ini setanding dan setaraf dengan kereta-kereta import?
Menurut laporan yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , faktor perdana yang menyumbang masyarakat lebih gemar mengagung-agungkan barangan import ialah mereka beranggapan bahawa barangan import lebbih berkualiti. Saya di sini boleh memberitahu kalian bahawa tanggapan mereka adalah salah sama sekali kerana mereka sering menganggap bahawa barangan yang harganya lebih murah biasanya tidak berkualiti, manakala barangan yang mahal pasti berkualiti tinggi. Lantaran itu, mengapakah kita masih membayar lebih untuk barangan import yang sama kualitinya sedangkan negara kita juga mempunyai barangan lebih berkualiti berbanding barangan import? Tepuk dada tanyalah selera. Hal ini telah membuktikan bahawa barangan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan barangan import. Oleh itu, kita dapat menjimat pembelajaran ketika kita membeli barangan tempatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sejak akhir-akhir ini, negara kita telah berjaya menghasilkan enjin kenderaan yang berkuasa tinggi untuk perlumbaan Formula Satu (F1) dan pasaran kenderaan antarabangsa. Justifikasinya, kejayaan ini telah menunjukkan bahawa negara kita mampu mengeluarkan produk bertaraf dunia sejajar dengan wawasan negara. Persis pepatah Melayu berbunyi “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”. Selain dapat berbelanja secara berhemah, sedikit sebanyak kita dapat membantu anak bangsa kita sendiri dan membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu berdiri di atas kaki sendiri. Dengan membeli barangan tempatan, kita dapat membuktikan bahawa rakyat Malaysia merupakan bangsa yang berdikari tanpa memerlukan bantuan dari negara atas angin. Selain itu, kita dapat memberikan impak positif dan menjadi teladan kepada negara-negara lain.
Akhir kalam, amalan membeli barangan buatan Malaysia seyogia ada dalam jiwa masyarakat kerana amalan ini banyak mendatangkan faedah kepada rakyat tempatan. Jika sikap ego ini tidak kita kikiskan, negara kita akan runtuh. Oleh itu, saya menyeru agar hadirin dan hadirat menyokong kempen “Belilan Barangan Buatan Malaysia” ini demi kebaikan negara dan warga keseluruhannya. Rakyat haruslah menjangka sehabis tangan dalam usaha melancarkan pembangunan negara seperti yang dikatakan dalam tema kebangsaan tahun 2008 “Perpaduan teras kejayaan”. Malaysia Boleh! Sekian, terima kasih.
Karangan di atas ditulis oleh: kaiyuan05294@hotmail.com

No comments:

Post a Comment

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.