24 January 2009

Selamat Tahun Baharu Cina 2009


Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua kenalan, guru-guru yang merayakan perayaan ini dan murid-murid yang meraikan kemeriahan sambutan ini serta pengunjung blog ini. Semoga tahun lembu (mengikut kalendar Cina) akan membawa lebih banyak kejayaan dan kelancaran dalam apa-apa jua kerja yang kita lakukan. Lembu melambangkan haiwan yang sanggup bekerja keras di sawah padi untuk jangka masa yang panjang untuk memastikan hasil pertanian menjadi. Oleh hal yang demikian, para pelajar haruslah bekerja keras demi mencapai kejayaan dalam akademik dan kokurikulum.
kepada pengunjung yang ingin mengetahui erti sebenar Tahun Baharu Cina, layari laman http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Tahun_Baru_Cina untuk mendapatkan informasinya.


22 January 2009

Perpisahan bukan tanda berakhirnya persahabatan kita.

Kim Ern Ern, (pelajar dalam gambar di atas)murid dari PTAG yang saya kenali sebagai murid yang berfikiran positif dan sentiasa berusaha untuk membaiki kelemahan diri dalam subjek BM. Sejak mengenalinya pada usia 14 tahun hingga kini, walaupun kami hanya berjumpa seminggu sekali atau dua, tetapi saya masih mengingati usahanya yang tidak mengenal penat lelah dalam mempertingkatkan penguasaan subjek BMnya. Saya masih ingat, tahun lalu saya membuka 2 kelas BM di PTAG kerana permintaan daripada pelajar yang semakin meningkat. Ern Ern antara pelajar yang hadir ke kedua-dua kelas walaupun apa-apa yang saya ajar dalam kedua-dua kelas itu sama. Saya memang mengagumi kejayaannya sebagai pelajar.


Minggu lalu, saya menerima panggilan daripada Ern Ern yang mengatakan bahawa dia akan berhijrah ke Australia untuk melangsungkan kehidupan bersama keluarga. Panggilan tersebut telah menjawab persoalan di dalam hati saya yang seringkali bertanya tentang "kenapakah Ern Ern tak masuk kelas tuisyen BM tahun ini" dan "apakah" yang terjadi kepada Ern Ern yang sudah lama tidak saya jumpa. Saya memang tegas dalam soal kerja rumah pelajar, terutamanya karangan. Pada bulan Disember, saya masih sempat menelefon Ern Ern untuk memintanya supaya menghantar karangan tersebut sebelum dia dan keluarga melancong ke Australia.


Ern Ern, selepas ini, anda tidak perlu lagi menulis karangan berbahasa Melayu, namun anda harus ingat bahawa anda dilahirkan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, berbanggalah dengan bahasa kebangsaan kita ini. Jika ada kesempatan, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada masa yang akan datang. Sepanjang lebih dua tahun setengah saya mengajar anda, jika ada salah dan silap, maafkan saya. Saya akan mendoakan kejayaan anda dalam semua bidang pelajaran yang akan anda ceburi. Jika ada kelapangan, hantarlah e-mel kepada saya.



Semoga anda sukses dalam kehidupan!


Perpisahan Buat Ern Ern


Perjuangan persahabatan ini
Erti kita saling mengasihi
Ranjau dan onak persahabatan
Perlu kita hadapi
Inilah ertinya perpisahan
Satu perasaan yang kubenci
Andai boleh tidak kumahu
Hanya Tuhan yang mengerti maksud perpisahan
Antara murid dengan guru
Nescaya kita akan berjumpa lagi


Bukan lama kukenalnya
Untuk sekian kalinya
Aku sedar gadis itu
Terlalu kukuh dan jitu hatinya


Ern Ern yang kukenali
Rintangan masa depan harus kamu hadapi
Nun di sana kejayaan menanti


Ern Ern yang kuingati
Ratusan ribuan batu memisahkan kita
Nescaya persahabatan kita tiada titik noktah!


CIKGU TAN C L

20 January 2009

Pembuangan Ruangan "Berbicara Bersam Cikgu Tan"

Salam sejahtera saya ucapkan kepasa semua pengunjung blog ini. Saya telah mengambil keputusan untuk "delete" ruangan "chatbox" kerana beberapa faktor yang berikut:
i) Ada individu tertentu yang menyalahgunakan ruang chatbox untuk kepentingan diri.
ii) Golongan yang tidak bermoral ini telah menyamar sebagai CIKGU TAN lalu memberikan pemerangan yang salah.
iii) Ada juga antara pelajar yang tidak menghargai ruangan tersebut sehingga menaip kata-kata yang tidak senonoh.
Oleh hal yang demikian, saya berharap pengunjung yang ada sebarang masalah bolehlah meng-e-melkan soalan anda ke alamat e-mel saya, cikgutancl@hotmail.com
CIKGU TAN

13 January 2009

Karangan Bergambar SPM 3 - Faedah Menabung Sejak Kecil

FAEDAH MENABUNG SEJAK KECIL

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa “sediakan payung sebelum hujan”.

Dalam marcapada, menabungkan wang dikatakan dapat mendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsip “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Wang tabungan ini dapat mengekang diri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros.

Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam “bagai lebah mengumpulkan madu” demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.

Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”.

Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan dunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Daripada perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepada nusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.


Petunjuk:

kata berwarna merah = peribahasa

kata berwarna ungu = kata atau frasa manarik

kata berwarna hijau = penanda wacana

Karangan Bergambar SPM - Ciri-ciri Sekolah Selamat

Latihan Karangan Bergambar SPM – Ciri-ciri sekolah selamat

Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mestilah berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikukum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut mestila kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.

Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat-tempat yang strategik di kawasan sekolah. Langkah ini amat penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah melukis pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan. Hal ini demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang mestilah ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat. Dari semasa ke semasa, latihan kebakaran haruslah dijalankan juga. Hal ini dapat memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara ini pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan wara sekolah.

Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mestilah dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mestilah dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak yang bertugas. Dengan ini, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan anak-anak yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah. Ibu bapa juga pasti berasa puas hati dengan tahap keselamatan sekolah. Tahap kebimbangan ibu bapa dan keyakinan ibu bapa yang tinggi ini dapat meningkatkan imej sekolah secara tidak langsung.

Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan “lintasan zebra” juga merupakan langkah penting supaya murid-murid dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah juga amat penting selain memasang papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah”. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada para pemandu supaya mengurangkan kelajuan di kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, Keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak yang terlibat haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mestilah dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memastilah anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan anak-anak dapat dijamin. Saya berharap sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.

12 January 2009

Karangan Bergambar SPM


Karangan Bergambar SPM


Soalan: Punca Fenomena Jerebu

Fenomena cuaca berjerebu merupakan duri dalam daging kepada pihak kerajaan dan rakyat. Fenomena ini seolah-olah tertaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara. Realitinya, keadaan negara yang berjerebu ini amat membahayakan kesihatan rakyat.

Punca utama fenomena jerebu melanda negara ialah pembebasan asap daripada kenderaan. Hal ini demikian kerana bilangan kenderaan yang semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kenderaan seperti lori, trelar, bas dan banyak lagi mengeluarkan asap karbon monoksida sehingga mencemarkan udara.

Selain itu, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka juga menyebabkan keadaan jerebu terjadi-jadi. Oleh sebab sampah sarap dibakar sesuka hati, sikap masyarakat dikatakan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Natijahnya, kanak-kanak diserang sesak nafas dan penyakit asma.

Pembakaran asap kotor dari kilang juga dikenal pasti sebagai punca fenomena jerebu berlaku. Situasi ini bertambah buruk terutamanya di kawasan perindustrian kerana pihak pengilang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Hujan asid dan penyakit kulit pasti menyerang kita.

Sementara itu, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar sendiri akibat suhu meningkat sehingga menyebabkan jerebu berlaku. Hal ini demikian kerana fenomena pemanasan global. Oleh itu, sudah sampai masanya kita menyelamatkan bumi.

Selain faktor cuaca, kegiatan penebangan hutan yang berlaku dengan leluasa juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Pembalak di kawasan hutan membuka hutan dengan jalan mudah ini. Mereka bersikap tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan negara-negara jika terpaksa menerima padahnya.

Di samping itu, pembebasan debu daripada letupan gunung berapi juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Gunung-gunung yang masih aktif di negara Indonesia tamsilnya mengeluarkan asap tebal sebagai fenomena gunung berapi akan meletus. Hal ini menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan penerbangan tergendala.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam soal penjagaan alam sekitar. Kualiti udara yang bersih amat penting untuk menjamin kesihatan penduduk di rantau ini. Oleh itu, kita harus memikirkan setiap perbuatan yang melibatkan pembakaran supaya dapat mengelakkan fenomena jerebu.

6 January 2009

Demam Hari Persekolahan Bermula

Seawal dinihari lagi, deruman enjin kenderaan mula membanjiri jalan-jalan raya di negara kita, semalam sekolah mula dibuka untuk sesi akademik 2009. Yan paling menggementarkan ialah ibu bapa sanggup mengambil cuti tahunan untuk menyelesaikan masalah dan membawa anak-anak ke sekolah untuk membayar yuran dan sebagainya. Pengorbanan ibu bapa zaman ini masih sama seperti zaman persekolahan saya walaupun ibu bapa saya TIDAK pernah ke sekolah saya sejak sekolah rendah lagi.

Saya sentiasa iri hati dengan kawan-kawan lain yang dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka. Apalagi yang sama-sama menikmati makanan di kantin sekolah, terutamanya semasa sekolah rendah. Oleh sebab bapa saya bekerja di luar negara manakala ibu saya tidak pandai bercakap dalam mana-mana bahasa tempatan kita pada kala itu. Namun begitu, kakak dan abang serta mak cik sayalah yang menjadi "ibu bapa" kepada saya sejak kecil. Jasa mereka akan saya kenang buat selama-lamanya.
Hari persekolahan pertama juga merupakan pembukaan lembaran buku pengajaran dan pemelajaran yang ulung kali sejak kalendar 2009 membuka tirainya. Guru-guru sekolah mula sibuk merancang jadual pengajaran dan ada pula yang meminta jadual tersebut daripada saya. Saya berpendapat bahawa guru-guru tersebut seyogianya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan dedikasi. Saya sedia menyemak jadual mereka jika ada yang mahu meng-e-melkannya kepada saya.
Semalam, saya menggunakan material daripada salah sebuah buku ulang kaji Bahasa Melayu yang saya percaya berjualan laris dalam pasaran sejak tahun lalu. Dalam karangan jenis syarahannya, ada kesalahan ejaan, tapi tak banyak. Oleh itu, saya berpendapat kesalahan itu bukan kesalahan penulis buku, tapi kesalahan mengedit. Tahun lalu, bulan Mac, saya pernah berhubung e-mel dengan Cikgu Ghalib berhubungan dengan kesalahan tersebut. Beliau mungkin salah faham akan tindakan saya. Cikgu Ghalib, "bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan"?
Secara ikhlas, saya ingin meminta maaf kepada Cikgu Ghalib atas kesilapan dan salah faham yang wujud antara kami sejak tahun lalu. Bak kata peribahasa, "buang yang keruh, ambil yang jernih". Semoga saya dan Cikgu Ghalib akan sama-sama membantu para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa dan komponen sastera mereka. Saya meminta maaf secara umum bukan untuk meminta populariti, tetapi berharap agar tiada konflik antara guru yang aktif menulis blog.
Saya percaya dan yakin akan kewibawaan Cikgu Ghalib sebagai guru cemerlang dalam subjek BM. Beliau yang merupakan Munsyi Dewan untuk DBP juga merupakan "role model" dalam memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan tatabahasa melayu lebih kukuh dan utuh dalam arus pembangunan yang mementingkan bahasa Inggeris. Saya percaya, DBP dan Munsyi Dewan akan menggembleng tenaga untuk memperkasakan bahasa kita kerana "hilang bahasa, lenyaplah bangsa"!
Selamat Tahun Baru.
CIKGU TAN