4 October 2008

"di peringkat" atau "pada peringkat"

Dalam bahasa Melayu, penggunaan frasa sendi nama "di" peringkat didapati leluasa. Lihatlah ayat-ayat yang di bawah ini:

1. Pemain badminton perseorangan negara kita telah berjaya mengalahkan pemain dari negara China di peringkat separuh akhir.

2.Kadar elaun khas yang kini di peringkat akhir perincian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bagaimanapun akan bergantung pada jarak serta kemudahan asas di sesuatu kawasan terbabit.

Untuk menentukan penggunaan frasa sendi nama di peringkat dalam ayat (1) dan (2) di atas sama ada betul atau salah, marilah kita melihat penggunaan kata sendi nama di dan pada dalam ayat.

Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.

Kata sendi nama pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada+pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.

Dengan berdasarkan penggunaan kata sendi nama di dan pada seperti yang dinyatakan di atas, didapati bahawa penggunaan kata sendi di dan pada dalam frasa di peringkat dan pada peringkat tidak jelas. Persoalannya ialah adakah peringkat menunjukkan konsep tempat atau keterangan waktu dan tempat? Yang jelas ialah peringkat bukan menerangkan tempat. Oleh sebab itu, penggunaan frasa sendi nama "di peringkat" tidak tepat.
Peringkat bermaksud kedudukan mengikut tarafnya atau tingkatannya. Oleh hal yang demikian, frasa yang tepat ialah pada peringkat. Hal ini diperkukuh apabila penyusun Kamus Dewan Edisi Ketiga mengemukakan ayat contoh seperti yang berikut:

3, Rundingan mengenai pertahanan Asia Tenggara pada peringkat menteri akan diadakan tidak lama lagi.

Kesimpulannya, frasa sendi nama pada peringkat lebih tepat berbanding dengan frasa sendi nama di peringkat.
Dipetik daripada catatan blog Cikgu Abdul Ghalib Yunus,

1 comment:

  1. Terima kasih saudarA, Tan.
    Huraian yang tepat. Namun demikian,saya berpendapat bahawa yang lebih tepat ialah "di peringkat"
    Sebabnya, "di" dalam Tatabahasa Dewan hanya untuk tempat, "pada" pula menunjukkan "masa". Saya fikir, peringkat merupakan "tempat" yang bersifat abstrak, sama seperti pembahagian kata nama am abstrak dan konkrit.

    ReplyDelete

SILA HANTAR E-MEL KEPADA cikgutancl@hotmail.com ATAU HUBUNGI SAYA MELALUI SMS DALAM TALIAN 0122099440 JIKA ADA SOALAN ATAU PERTANYAAN.