Negara Malaysia terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang sering menjadi pilihan utama pelancong seluruh dunia. Ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi percutian utama sekeluarga. Jarak Malaysia yang agak jauh dari benua Eropah tidak menjadi penghalang kepada pelancong yang ingin mengunjungi negara kita yang penuh dengan daya tarikan ini. Selaras dengan peribahasa Melayu hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, para pelancong sanggup menempuh penerbangan jauh semata-mata untuk menyaksikan keunikan Malaysia dengan mata kepala sendiri. Soalnya, apakah keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di negara Malaysia yang begitu menarik sehingga mengundang para pelancong?
Pertamanya, Malaysia istimewa sekali kerana memiliki pantai yang bersih lagi cantik. Pemandangan pantai yang indah digabungkan dengan cuaca yang panas dan lembap merupakan sebab utama pantai negara kita sering disenaraikan dalam katalog Pantai-pantai Tercantik di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menjamin iklim tropikanya sepanjang tahun. Sebagai contohnya, Pantai Cenang di Langkawi yang popular dalam kalangan pelancong disebabkan oleh keindahan pemandangan matahari terbenam dan pasir putih yang berkilauan di Pulau Redang membuatkan para pelancong berasa teruja dan berpuas hati dengan destinasi pelancongan mereka kerana keunikannya memang terserlah serta bukanlah indah khabar daripada rupa sahaja. Kesannya, peningkatan jumlah pelancong yang bercuti di pantai-pantai Malaysia memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk kita. Tuntasnya, kita mengetahui bahawa pantai yang bersih dan cantik merupakan keistimewaan di negara Malaysia.
Seterusnya, Malaysia bertuah kerana dikurniakan pelbagai jenis makanan tempatan yang sangat unik. Tarikannya terletak pada sajian istimewa daripada pelbagai air tangan bangsa dan kebudayaan yang diwarisi secara turun-temurun. Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta, maka para pelancong yang menjejakkan kaki di tanah air kita mestilah mengenali makanan di Malaysia sebagai langkah pertama menghayati budaya negara kita yang berbilang bangsa. Misalnya, sate, lemang, mi goreng mamak, makanan laut, kuetiau goreng dan nasi lemak merupakan antara juadah seharian masyarakat tempatan yang digemari oleh ramai pelancong. Hasilnya, masakan tradisional menjadi produk pelancongan yang utama dan kerap menghiasi video pelancongan yang ditayangkan di pameran pelancongan pada peringkat antarabangsa. Pokoknya, jelaslah kepada kita bahawa pelbagai jenis makanan tempatan menjadikan Malaysia sangat istimewa di mata dunia.
Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam termoden ialah keistimewaan Malaysia yang sering kita terlepas pandang. Kemudahan tersebut memberikan kebebasan kepada pelancong untuk bergerak ke mana-mana tanpa memerlukan pihak hotel untuk mengaturkan pengangkutan khas untuk mereka. Sebagai contohnya, sistem tren komuter, sistem tren elektronik, kapal terbang, teksi dan bas merupakan antara pengangkutan awam yang sentiasa sedia untuk digunakan oleh para pelancong mahupun penduduk tempatan. Kemudahan tersebut turut memudahkan jurupandu pelancongan membawa pelancong ke pusat pelancongan malah menjimatkan perbelanjaan kerana kosnya rendah. Selaras dengan bajet percutian mereka, para pelancong dapat berbelanja mengikut kemampuan masing-masing persis kata mutiara ukur baju di badan sendiri sewaktu memilih sistem pengangkutan awam agar tidak melebihi perancangan perbelanjaan mereka. Sesungguhnya, sudah terbukti bahawa negara Malaysia makin istimewa di dalam hati pelancong kerana kemudahan pengangkutan awam yang disediakan ini.
Akhirulkalam, industri pelancongan Malaysia perlu dimajukan dengan semua keistimewaan di atas agar potensi sektor pelancongan negara mampu dimaksimumkan untuk menguntungkan ekonomi tempatan. Rakyat negara disarankan agar menjaga kebersihan watan tercinta terutamanya di lokasi tumpuan pelancong, memelihara kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang agar tidak lapuk ditelan zaman serta menjaga kesopanan antara satu sama lain khususnya apabila berhadapan dengan para pelancong. Dengan kerjasama antara pihak kerajaan dan para rakyat, diharapkan bahawa Malaysia pasti mampu menjadi pusat pelancongan utama di peta dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara jiran kita. Tegasnya, semua pihak wajarlah mengetahui semua keistimewaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan supaya dapat membawa kepada peningkatan kemajuan dalam sektor pelancongan tempatan.