22 February 2020

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU
1. SUMBER RUJUKAN
Semua guru subjek
Bahasa Melayu mestilah memiliki sumber rujukan yang betul, tepat, dan memenuhi keperluan peperiksaan. Antara sumber rujukan yang wajib dimiliki adalah seperti Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Tatabahasa Dewan, Buku Teks, dan Gaya Dewan. Bukan semua buku dalam senarai ini telah anda miliki, bukan? Maka, carilah buku-buku tersebut dengan melayari laman web kedai buku DBP.
2. MINAT
Semua guru haruslah memiliki minat yang mendalam terhadap tatabahasa dan sentiasa tidak jemu mencari maklumat serta menyimpan fail-fail/dokumen/buku berkaitan dengan tatabahasa. Minat terhadap tatabahasa bukanlah dapat ditimbulkan dalam masa sehari dua, tetapi memerlukan usaha yang berpanjangan dan langkah yang berterusan untuk mencari gali ilmu.
3. CAKNA BAHASA
Guru yang memiliki tahap kecaknaan terhadap bahasa, terutamanya ejaan dan kesalahan bahasa iklan, akhbar, poster, majalah, buku, dan lirik lagu serta bahan-bahan lain akan dapat menguasai tatabahasa dengan mudahnya. Bahan-bahan tersebut bolehlah dirakamkan dalam bentuk gambar untuk dijadikan bahan bantuan mengajar (BBM) dalam kelas tatabahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kesilapan umum dan kesilapan yang lazim inilah yang berulang dalam peperiksaan dan kertas-kertas peperiksaan. Jika guru cakna bahasa, murid bijak berbahasa.
4. PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Guru subjek bahasa Melayu mestilah mengikuti mana-mana kursus tatabahasa atau bengkel audit tatabahasa mahupun ceramah tatabahasa yang dianjurkan oleh DBP atau pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Para Munsyi Dewan juga banyak mengadakan kursus sebegini secara persendirian mahupun berkumpulan. Tuntutlah ilmu bahasa dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin bahawa cikgu akan berjaya. Janganlah segan menuntut ilmu bahasa kerana peribahasa Melayu juga sering mengingatkan kita bahawa malas berkayuh perahut tak hanyut, segan bertanya sesat jalan.
5. MODUL TATABAHASA
Guru-guru boleh membina modul tatabahasa berlandaskan DSKP dan soalan berbentuk model peperiksaan. Jika setiap minggu ada satu model bahan, pada setiap tahun cikgu dapat menerbitkan buku tatabahasa yang sesuai dengan tahap murid di sekolah dan murid di dalam kelas. Murid-murid juga boleh dibimbing untuk menggubal soalan tatabahasa, terutamanya soalan kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa. Guru-guru boleh memurnikan bahan tersebut lalu menjadikannya bahan bantuan mengajar murid yang sangat efektif. Bengkel pembinaan item tatabahasa juga penting untuk diadakan di sekolah agar dapat membantu guru memahami konsep, format, standard, dan kemahiran menggubal soalan dengan memasukkan unsur kesahan, unsur pengganggu, dan unsur penentu jawaban dalam soalan.

Setitis perkongsian daripada pengalaman hamba ini diharapkan dapat memberikan pedoman dan maklumat berguna kepada guru-guru, terutamanya ketua panitia subjek Bahasa Melayu. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

19 February 2020

5 PETUA UTAMA SEWAKTU MENGAJARKAN TOPIK PENULISAN KEPADA MURID-MURID

5 PETUA UTAMA SEWAKTU MENGAJARKAN TOPIK PENULISAN KEPADA MURID-MURID
1. PERSEDIAAN GURU SEBELUM MENGAJAR MURID TOPIK PENULISAN
Setiap guru harus menulis karangan yang akan diberikan kepada murid. Hal ini dikatakan demikian kerana guru-guru harus melalui eksperimentasi dan pengalaman menulis karangan yang sama. Langkah ini paling penting agar guru-guru memahami kekangan dan cabaran yang bakal dilalui oleh anak-anak muridnya. Percayalah, jika cikgu menulis karangan tersebut dengan baiknya, karangan tersebut boleh dijadikan koleksi karangan terbaik/cemerlang malah menjadi penanda aras karangan dengan hasil murid. Lama-kelamaan, cikgu sendiri boleh menerbitkan buku penulisan sendiri. Kalau cikgu tak buat, yang rugi ialah cikgu dan murid cikgu. Cubalah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
2. GURU DAN IDEA PENULISAN
Kebanyakan guru menyediakan idea karangan untuk ditulis oleh murid. Hal ini menyebabkan murid tidak dapat memikirkan huraian atau ilham untuk mengembangkan idea yang diberikan. Hal ini berlaku demikian kerana pemikiran guru dan murid berbeza dan tahap kematangan juga berbeza. Biarlah murid menyenaraikan idea, kemudian kita sebagai guru memurnikan idea tersebut. Hormati idea murid dan kenali idea murid serta kaji setiap idea murid. Kadangkala idea mereka lebih mengikut trend dan kemas kini (updated) daripada kita. Sama-samalah kita melalui perdebatan dan berkongsi ilmu tentang idea. Hal ini juga jelas dinyatakan dalam DSKP, iaitu menyenaraikan idea.
3. SUMBER PENULISAN
Guru harus menekankan sumber penulisan yang betul kepada murid. Antara sumber penulisan yang baik ialah senarai penanda wacana yang tepat, senarai peribahasa berdasarkan senario/tema, dan frasa menarik atau ucapan menteri mahupun statistik tepat berkaitan dengan topik karangan tersebut. Hal ini bukan sahaja meringankan beban kita menanda karangan, tetapi juga memudahkan tugasan murid untuk menulis karangan. Sediakan sebuah buku untuk catatan peribahasa, koleksi ucapan, contoh realiti, statistik, keratan akhbar, dan senarai penanda wacana mahupun frasa menarik yang gramatis.
4. DISIPLIN PENULISAN MURID
Guru boleh mendisiplinkan murid dengan gaya penulisan yang betul dan mengikut DSKP. Antaranya, murid perlu tahu bahawa setiap idea mesti ada ayat topik, ayat huraian, ayat contoh, dan ayat penegas. Jika murid dapat membuat label dengan huruf atau abjad, mereka akan tahu jenis ayat yang telah ditulis oleh mereka. Dengan catatan begini, mereka akan dapat menulis karangan dengan lebih tersusun dan kemas. Pelbagai cara dan formula ada di pasaran, sesuaikan dengan kemampuan murid kita dan murnikan dengan persediaan yang rapi. Saya yakin bahawa kualiti penulisan murid akan meningkat.
5. MOTIVASI GURU KEPADA MURID
Murid pada hari ini memerlukan kata-kata motivasi dan dorongan yang ikhlas daripada guru. Selepas setiap karangan disemak dan dinilai, nyatakan kekuatan dan kelemahan karangan tersebut. Hal ini sesuai dengan kehendak semasa agar murid tahu kekurangan mereka. Selain menulis cadangan guru, tulislah juga kata-kata perangsang dan untaian kata yang mendorong mereka dan memangkin keyakinan mereka untuk menulis dengan lebih baik pada masa depan. Gunakan "teknik sandwic" iaitu satu lapisan ayat pujian, kemudian ayat kelemahan karangan, dan seterusnya ayat berkaitan dengan cadangan pemurnian atau penambahbaikan serta ayat harapan. Dengan kata-kata dari hati ke hati ini, saya yakin bahawa murid tahu memahami dan menghayati luahan guru terhadap kualiti penulisan yang baik.
Selamat berkongsi idea.
Selamat mencuba petua di atas.
Terima kasih kerana sudi membaca tip yang saya kongsikan melalui LADAP yang biasanya saya jalankan di sekolah-sekolah. TEL: 0122099440 (jika berminat untuk menjalankan LADAP GURU)

15 February 2020

KARANGAN RAMALAN SPM 2020 - PERANAN SEKOLAH


Karangan "peranan sekolah" ialah karangan ramalan saya yang pertama untuk tahun 2020. Oleh sebab itu, latihlah anak-anak kita dengan menggunakan pelbagai tema yang mungkin akan keluar dalam SPM.

Yang berikut ialah sampel idea karangan CEMERLANG yang bertajuk:
SOALAN
Pihak sekolah memainkan peranan penting untuk menghidupkan permainan tradisional dalam kalangan murid di sekolah.
Ulaskan pernyataan di atas.
[100 markah]

IDEA PERTAMA 


Sila siapkan idea 2,3,4 dan 5

Selamat maju jaya!


2 February 2020

BUKU TERBAHARU CIKGU TAN CL UNTUK BULAN FEBRUARI 2020

Februari sudah tiba, masa untuk saya mempromosikan buku baharu saya untuk kegunaan bulan Februari tahun 2020. Keberanian saya menggunakan tema warna-warni kehidupan ini harap diterima secara positif oleh pembaca dan pengguna buku nota latihan bulanan saya. Kita haruslah berani mengubah landskap penerbitan di Malaysia agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kualiti penerbitan negara-negara maju yang lain.
Sila klik pada pautan berikutnya untuk mendapatkan buku-buku terbaharu mengikut tingkatan.