1 April 2019

KEKELIRUAN POLA AYAT

POLA AYAT YANG MENGELIRUKAN PENGGUNA BAHASA

1.
Guru itu bernama Puan Lida.
FN + FN ❌
FN + FK✅
Penerangan: Semua kata yang berimbuhan ber- membentuk kata kerja. Walau bagaimanapun, nama seseorang pada bahagian predikat mengelirukan pengguna bahasa/calon peperiksaan sehingga mereka beranggapan bahawa nama itulah yang menjadi penentu jawapan FN, padahal mereka lupa akan perkataan "bernama" pada awal predikat yang telah berfungsi sebagai kata kerja.

2.
Tutur kata lelaki itu kemelayuan.
FN + FN ❌
FN + FA✅
Penerangan: Semua kata terbitan berapitan ke-an yang berintikan bangsa seperti "kemelayuan", "kecinaan", "kearaban" dan sebagainya membentuk frasa adjektif.

3.
Berita ini amat menggembirakan ibu.
FN + FK ❌
FN + FA✅
Penerangan: Semua kata kerja yang membawa maksud emotif sifatnya seperti "menyedihkan", "menggembirakan", "mengecewakan" dan sebagainya membentuk frasa adjektif jika menerima kata penguat.

4.
Bunyi bising itu ialah bunyi paluan kompang.
FN + FA❌
FN + FN✅
Penerangan: Semua kata yang menerima imbuhan -an membentuk maksud hasil. Sebagai contohnya, "lukisan", "garisan", "guntingan", "coretan", "pecahan". Selain itu, semua predikat yang bermula dengan kata pemeri "ialah" mesti berpolakan FN.

5.
Karangan itu saya tulis.
FN + FN❌
FN + FK✅
Penerangan: Semua frasa kerja pasif diri pertama dan kedua ditulis dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua kemudian diikuti kata kerja tanpa imbuhan awalan. Oleh sebab itu, kata ganti nama diri ini mengelirukan calon/pengguna bahasa dan mereka beranggapan bahawa frasa tersebut ialah frasa nama, padahal, frasa tersebut ialah frasa kerja pasif (FK).

Buah cempedak diluar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

BAHASA JIWA BANGSA!