Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
3 November 2012
1 November 2012
KARANGAN SPM 2012 - TEMA - BERJIMAT CERMAT
Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu
pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat
membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada
paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik
kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam
gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan
sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak
fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang
terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan
kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh
itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus
diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa, tak
ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah
ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya
mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan
konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan membazir
dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen
tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai
murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan
yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut
kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan
usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan
mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat
menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan
artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah
bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan
perisai yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada
masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah
adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara
ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti
ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi
ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka
hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan
berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan
pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa
untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan
tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak
kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak
mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan
undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada
golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang
lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan
sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu,
usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan
tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah
kenaikan harga barangan di pasaran.
Setelah
meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh,
segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk
mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia
yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu
kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh
itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak
berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan
2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun
Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin