10 May 2012

LATIHAN RUMUSAN SPM - SBP 2011

UNTUK SKEMA JAWAPAN, SILA E-MEL SAYA.
Latihan rumusan penting untuk skor markah yang tinggi dalam SPM.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

CIKGU TAN

SOALAN SEBENAR SPM PERCUBAAN 2011 - SEKOLAH BERASRAMA PENUH
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan berekreasi dalam kalangan remaja dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

          Berekreasi sememangnya digalakkan bagi setiap orang. Kepentingan menjaga kesihatan ialah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang mudah dan kita perlu melakukannya bagi memastikan kesihatan tubuh dan kecerdasan minda tidak terganggu. Berekreasi merupakan terapi fizikal semula jadi untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan kecerdasan minda. Persekitaran hari ini yang serba moden dan canggih menyaksikan kegiatan rekreasi bagi tujuan mengeluarkan peluh tidak lagi tertumpu di taman permainan, sebaliknya boleh dilakukan di pusat kesihatan yang menyediakan pelbagai peralatan senaman moden. Hampir di setiap kawasan perumahan, ada disediakan taman untuk berekreasi.

Bagi golongan remaja, rekreasi yang dilakukan secara teratur, sama ada dilakukan secara berseorangan ataupun berkumpulan, mampu mengelakkan remaja daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat yang boleh merosakkan masa hadapan mereka. Berekreasi, selain berfungsi menyihatkan badan dan memberikan kesihatan yang baik, minda yang cerdas dan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang tidak sihat, juga mampu mendidik remaja untuk lebih terbuka dari segi minda dan pergaulan. Kesempatan bertemu dengan rakan baharu dapat membantu membentuk sahsiah diri remaja yang baik, seperti belajar untuk bergaul, menghormati sesama rakan, dan yang paling penting, mengajar mereka untuk tidak mementingkan diri sendiri.

Rekreasi yang dilakukan secara teratur mampu membentuk golongan remaja menjadi lebih matang, berketerampilan, dan mempunyai keyakinan dalam pergaulan. Pergaulan yang sihat membolehkan remaja berkongsi pengalaman dan semua ini penting sebagai persediaan untuk menempuh alam dewasa yang lebih mencabar. Program rekreasi secara berkumpulan mendedahkan remaja kepada aspek kerohanian. Secara tidak langsung akan membantu meningkatkan motivasi diri dan menilai diri serta menghargai usia remaja dengan sebaik-baiknya. Remaja yang suka berekreasi bukan sahaja mempunyai minda yang sihat serta terbuka dalam pergaulan, tetapi juga lebih terarah dalam soal kehidupan berbanding dengan mereka yang tidak melakukan aktiviti rekreasi.

Berekreasi membantu perkembangan psikologi remaja. Sebagai remaja yang menuju alam kedewasaan dan perlu membuat pilihan untuk menentukan masa hadapan, biasanya mereka telah ada arah tuju atau pilihan. Berekreasi memudahkan remaja mencari hala tuju dalam kehidupan mereka tanpa terpengaruh oleh persekitaran yang tidak sihat. Mereka akan mudah membuat keputusan kerana memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas. Remaja yang membuat pilihan bijak akan mengecap kejayaan dan mereka yang tersilap langkah akan berdepan dengan kehancuran dan dihimpit masalah. Oleh itu, bagi menggalakkan remaja aktif berekreasi, kerajaan telah membina banyak pusat sukan tertutup bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan cerdas.

(Dipetik dan diubah suai daripada rencana `Ayuh Berekreasi’,

Dewan Siswa, Januari 2010)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    (i)          Berikan maksud rangkai kata menuju alam kedewasaan .

[2 markah]

  (ii)          Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggalakkan rakyat berekreasi?

[ 3 markah]

(iii)          Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan para pelajar berekreasi.
Berikan tiga cadangan.
[4 markah]


2 May 2012

SPM 2012 - Ulang Kaji TATABAHASA SPM

Jawaban bagi setiap latihan di bawah akan saya hantar melalui e-mel kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya. Sila e-melkan alamat e-mel anda kepada saya.
Semoga anda semua dapat skor dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012 ini.

LATIHAN 1 :
SEKOLAH BERASRAMA PENUH

(b) Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

Golongan remaja yang terlalu asyik melayari Internet sering kali menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer. Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan pelajaran. Mereka memberikan alasan hendak mencari maklumat tetapi sebenarnya melayari laman-laman yang tidak berfaedah.

[ 6 markah]

LATIHAN 2 :
MRSM

(b) Kenal pasti jenis ayat-ayat pasif di bawah. Tentukan sama ada ayat-ayat tersebut ialah ayat pasif dengan ganti nama diri pertama, ayat pasif dengan ganti nama diri kedua, ayat pasif dengan ganti nama diri ketiga atau ayat pasif songsang.

         (i)     Makanan itu belum aku rasai lagi sejak pagi tadi.
       (ii)     Hutang itu perlu kaujelaskan selewat-lewatnya esok.
     (iii)     Bahagian tepi bangunan kedai itu dicat oleh Pak Samad.
     (iv)     Saya tendang bola itu sekuat hati sehingga luar pagar sekolah.
       (v)     Ladang tebu itu telah dibersihkan oleh mereka pagi semalam.
     (vi)     Perkara tersebut belum awak putuskan sehingga hari ini.
[6 markah]
LATIHAN 3 :
MPSM MELAKA
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

         (i)     Masalah alam sekitar perlu ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa.
       (ii)     Kasut sekolah yang kotor itu telah saya cuci semalam.
     (iii)     Sajak-sajak yang baik itu telah ditulis oleh kumpulan penyajak yang masih muda.
[6 markah]
LATIHAN 4 :
MPSM JOHOR
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

         (i)     Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh diselesaikan oleh ibu bapa sekiranya mereka mengambil langkah pencegahan awal.
      (ii)     Kursus perhubungan awam telah ditawarkan oleh kebanyakan kolej dan universiti di negara kita.
     (iii)     lsu pembuangan bayi perlu kita tangani dengan segera demi menjaga imej negara.
[6 markah]
LATIHAN 5 :
MPSM PERLIS
(b) Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat perintah, ayat seruan, atau ayat tanya.

         (i)     Menerusi komunikasi, pelbagai maklumat disebarkan dari sebuah negara ke sebuah negara lain dengan mudah dan cepat.
       (ii)     “Siapakah namakau?” soal seorang pemuda berwajah garang sambil mendekati diriku.
     (iii)     Bangunan yang tinggi itu direka bentuk oleh seorang arkitek dari luar negara.
     (iv)     Syabas, kamu telah berjaya menjuarai kejohanan yang berprestij itu!
       (v)     “Mazwin, tolong hantar buku-buku ini ke bilik guru dan letakkan di atas meja saya,” kata Puan Geetha kepada Mazwin dengan lembut.
     (vi)     Sampai bilakah Pak Dol akan menangisi kematian isteri kesayangannya itu?
[6 markah]
LATIHAN 6 :
MPSM SABAH
(b) Nyatakan jenis-jenis ayat yang disenaraikan di bawah ini.

         (i)     Wah, besarnya sungguh rumah kontraktor yang terkenal itu!
       (ii)     Ayahnya baru sahaja pulih daripada penyakit paru-paru berair.
    (iii)     Apakah punca yang menyebabkan pelajar-pelajar suka ponteng sekolah?
    (iv)     Jangan berkawan dengan budak-budak yang menghisap rokok.
       (v)     Silakan duduk, saya hendak pergi ke dapur dahulu.
     (vi)     Tolong bersihkan bilik tidur kamu sebelum ibu pulang.
[6 markah]
LATIHAN 7 :
MPSM SARAWAK
(b) Cerakinkan ayat majmuk dalam perenggan di bawah kepada enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.

Di Malaysia hampir dua pertiga sumber air kita digunakan oleh sektor pertanian dan sektor ini adalah antara sektor yang banyak mencemar dan membazirkan air namun tiada sistem pengurusan permintaan air bagi sektor ini. Ladang-ladang penternakan haiwan dan penternakan hidupan akuatik dalam sangkar juga menjadi punca pencemaran.
[6 markah]
LATIHAN 8 :
MPSM SELANGOR
(b) Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian anda dikehendaki menggabungkan ayat-ayat berikut menjadi tiga ayat.
            Malaysia menjadi destinasi tarikan pelancong. Malaysia mempunyai beberapa buah pulau yang indah. Malaysia mempunyai kawasan rekreasi hutan yang menarik. Kerajaan telah berusaha dengan gigih untuk mempromosikan Malaysia. Kerajaan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kerajaan Malaysia juga menganjurkan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa. Ekonomi Malaysia meningkat. Peluang pekerjaan juga terbuka luas. Banyak pelancong datang ke Malaysia.

[6 markah]
LATIHAN 9 :
MPSM TERENGGANU
(b) Tukar ayat susunan songsang di bawah kepada ayat bersusunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.
         (i)     Tersusun kemas alat-alat pertukangan di dalam bengkel itu.
       (ii)     Perlu kita tamatkan sahaja perlawanan ini kerana hujan semakin lebat.
     (iii)     Akan menerima hadiah utama sesiapa sahaja yang meneka kedudukan bola dengan tepat.
[6 markah]
LATIHAN 10 :
MPSM PULAU PINANG
(b) Baca dan teliti ayat-ayat di bawah, kemudian gabungkan setiap dua ayat tersebut dengan kata hubung yang sesuai.

         (i)     Atiqah menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya dengan segera.
       (ii)     Ibunya membenarkan dia turut serta dalam perkhemahan pengakap itu.
     (iii)     Puan Haliza berjanji akan memenuhi permintaan anak kesayangannya itu
     (iv)     Anaknya itu menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
       (v)     Orang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
     (vi)     Pelajar-pelajar tingkatan tiga terpaksa mengulang kaji pelajaran
[6 markah]
LATIHAN 11 :
MPSM NEGERI SEMBILAN
(b) Kenal pasti jenis-jenis ayat perintah yang berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan atau ayat permintaan.

         (i)     Sila buat laporan tentang kes meniru itu.
       (ii)     Usahlah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
    (iii)     Awak siapkan tugasan ini sekarang.
     (iv)     Awak tidak usahlah datang ke sini lagi.
       (v)     Pujuklah budak yang menangis itu.
     (vi)     Tolong hantarkan karangan ini sebelum hari Khamis.
[6 markah]
LATIHAN 12 :
MPSM PAHANG
(b) Tulis petikan di bawah ini semula dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

MAN :Tuk ... tuk ..., orang jumpa mayat lagi. Orang jumpa mayat. Mayat itu besar, tuk.
PAK MAN :Di mana Man?
MAN :Tepi pantailah, tuk. Marilah tengok mayat tu. Mari tuk.
PAK MAN :Mayat orang Melayu atau orang Cina?
MAN :Bukan, tuk.
PAK MAN :Kalau bukan, mayat siapa? India kot?
MAN :Bukanlah, tuk. Ini mayat ikan dugong besar, tuk.

[6 markah]
LATIHAN 13 :
MPSM KEDAH
(b) Baca ayat-ayat di bawah dan nyatakan golongan atau jenis kata bagi setiap kata yang berhuruf tebal dalam ayat tersebut. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

 Gagasan 1Malaysia diyakini dapat membantu negara ini mengecap kemakmuran dari segi pembangunan dan kesejahteraan hidup.

[6 markah]
LATIHAN 14 :
MPSM PERAK
(b) Tukar ayat susunan biasa yang berikut kepada ayat bersusunan songsang.

         (i)     Ingatan Pak Hamid yang berusia 80 tahun itu masih kuat.
       (ii)     Kehebatan pemidato itu terletak pada kekuatan hujahnya.
     (iii)     Zaid telah ditukarkan ke ibu pejabat sebagai langkah penstrukturan syarikat itu semula.

[6 markah]
LATIHAN 15 :
MPSM KELANTAN
(b) Nyatakan pola ayat dasar di bawah ini sama ada Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)

         (i)     Dia masih tidur.
       (ii)     Bas itu dari Seremban.
     (iii)     Kucing itu kurus kering.
     (iv)     Rakannya gadis Filipina.
       (v)     Puan Ramziah guru di sekolah itu.
     (vi)     Merokok membahayakan kesihatan.

[6 markah]