Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

5 March 2011

ANALISIS LENGKAP NOVEL TINGKATAN 2 - WIRA PERSONA AVATARI

Wira Persona Avatari
(Ahmad Zaki Abu Bakar)

Sinopsis
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakannya, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Tujuan mereka menyertai pertandingan ini adalah untuk mengulangi kejayaan Pasukan Zamrud yang diketuai oleh ayah Anas, Profesor Fitri yang telah menjadi juara pertandingan Avatari sepuluh tahun dahulu. Sebelum pertandingan, mereka telah menjalani beberapa sesi latihan yang keras seperti latihan silat, latihan kecergasan, dan latihan menempuh halangan yang dijalankan oleh Cikgu Nisah.

Pertandingan Avatari ini ialah pertandingan kembara di ruang siber atau adventure game bagi makhluk janaan komputer yang dipanggil avatar. Pertandingan yang menggunakan rangkaian Internet ini dijalankan serentak di seluruh dunia. Terdapat empat peringkat yang perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menjuarai pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia ini. Untuk peringkat pertama, seratus pasukan terbaik akan layak ke peringkat kedua. Pada pusingan kedua pula, hanya dua puluh pasukan terbaik yang akan dipilih. Selepas disaring dalam pusingan ketiga, hanya lima pasukan terbaik yang akan meneruskan cabaran ke pusingan yang keempat, iaitu pusingan terakhir.

Pasukan Zamrud II telah berusaha dengan gigih dan berjuang bermati-matian untuk melepasi halangan dan cabaran yang terdapat dalam setiap pusingan. Di samping itu, mereka juga terpaksa menghadapi ancaman dari dalam pasukan sendiri kerana salah seorang ahli pasukan mereka, iaitu Anjali telah mensabotaj pasukan dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari. Masalah menjadi rumit apabila Aina cedera parah akibat ditembak oleh penjahat ketika pasukan mereka bersiap sedia untuk ke pusingan akhir. Namun begitu, semua halangan dan masalah dapat diatasi oleh Pasukan Zamrud II, dan akhirnya pasukan mereka telah menjuarai pertandingan tersebut.

TemaKesungguhan dan semangat perjuangan yang tinggi untuk mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh. Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian sehingga mereka berjaya menjuarai pertandingan tersebut.

Persoalan
1. Persoalan persiapan untuk menghadapi sesuatu pertandingan.
Anas dan ahli-ahli kumpulannya berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun.

2. Persoalan kesabaran dalam menghadapi cabaran hidup.
Keluarga Anas masih sabar dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun ayahnya, Profesor Fitri masih hilang semasa mengikuti ekspedisi rahsia di Lautan Andaman.

3. Persoalan hubungan kekeluargaan yang erat.
Anas amat mengambil berat akan adiknya, Aina.

4. Persoalan sokongan moral ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak.
Puan Maizan, Pak Cik Ho dan Mak Cik Angie sentiasa berada di tempat pertandingan
Avatari untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka.

5. Persoalan golongan remaja yang suka menghabiskan masa dengan permainan video.
Anjali dan Sudin bermain permainan Robot War di Pusat Permainan Video Game Star yang
penuh sesak dengan pengunjung yang terdiri daripada golongan remaja.

6. Persoalan hubungan erat antara kaum.
Ahli-ahli Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Pauline, Anjali, Adeen, dan
Zuriani dapat bekerjasama tanpa mengira perbezaan kaum.

7. Persoalan perjuangan mempertahankan maruah agama
Anas dan ahli-ahli Pasukan Zamrud II menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad secara maya dalam pertandingan Avatari.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama
Anas
• Anak sulung kepada Profesor Muhammad Fitri Izzati dan Mazian
• Berumur 17 tahun
• Ketua Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
• Penyayang – amat menyayangi adiknya, Aina
• Berani – sanggup membahayakan diri untuk menghalang pasukan lawan daripada
• memenangi pertandingan
• Bijak – bijak mengatur strategi sehingga dapat menjuarai pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh

Watak Sampingan
Aina
• Adik kepada Anas
• Bertubuh kecil - berumur 12 tahun
• Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
• Pintar - digelar rakan sedarjah “si cili padi”
• Rajin beribadat – berpuasa sunat bulan Rejab
• Gigih – berusaha bersama abangnya untuk menubuhkan Pasukan Zamrud II
• Keras hati – tetap menyertai pertandingan Avatari walaupun dilarang oleh ibunya

Zuriani
• Gadis kacukan Melayu - Inggeris
• Sahabat karib Aina - berumur 12 tahun
• Peserta simpanan Pasukan Zamrud II
• Rendah diri – kurang keyakinan terhadap kemampuan diri ketika diminta menggantikan
• tempat Aina di peringkat akhir pertandingan
• Amanah – tidak memberitahu sesiapa tentang peristiwa kehilangan cip papan litar avatari setelah dipesan oleh Pak Cik Tan

4
Kumar
• Anak bongsu Pak Cik Kuppusamy, jutawan barang kemas
• Panas baran – lekas marah kerana Adeen lewat tiba di Pusat Permainan Video Games
• Star
• Angkuh – tidak mahu menyertai Pasukan Zamrud II kerana tidak yakin akan keupayaan
• komputer Avatari Pak Cik Ho
• Menginsafi kesilapan diri – berasa menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II

Adeen
• Anak Profesor Zakri
• Berumur 18 tahun
• Pengendali komputer Avatari
• Pelajar jurusan kejuruteraan komputer di kolej khas, di Koridor raya Multimedia
• Sangat pintar – mempunyai I.Q yang tinggi/ penggodam komputer yang cekap
• Sabar – tidak bertindak terburu-buru dengan tindakan biadap Kumar

Pauline
• Anak tunggal Pak Cik Ho
• Berumur 17 tahun
• Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
• Menaruh hati terhadap Anas
• Manja dengan ayahnya, Pak Cik Ho
• Berani – sanggup menegakkan pendiriannya semasa bertengkar dengan Kumar

Anjali
• Adik kepada Muthu, iaitu seorang ketua kongsi gelap
• Anak yatim - tinggal dengan abangnya setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya
meninggalkan mereka
• Kasar – dipengaruhi oleh didikan abangnya
• Pembelot – sanggup mengkhianati Pasukan Zamrud II setelah diarahkan berbuat demikian oleh abangnya
• Pandai bermain permainan video – mengalahkan Sudin dalam permainan Robot War

PlotTidak mengikut kronologi – Bab pertama (Poster Misteri) didahului dengan puncak (klimaks)
cerita.

Binaan Plot

Permulaan
Aina mengajak abangnya, Anas untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Avatari
Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Mereka menubuhkan
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat
rakan mereka, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani.

Perkembangan
Pasukan Zamrud II menjalani latihan sebagai persediaan untuk pertandingan. Berkat kegigihan
dan kerjasama berpasukan, mereka berjaya melepasi halangan dan cabaran dalam pusingan
pertama, pusingan kedua, dan pusingan ketiga. Anjali telah mensabotaj Pasukan Zamrud II
dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari.

Puncak
Semasa Pasukan Zamrud II bersedia ke peringkat keempat, iaitu pusingan akhir pertandingan,
Aina cedera ditembak di bahu oleh penjahat yang cuba mencuri baju-baju khas pertandingan
Avatari di bilik persalinan. Aina dibawa ke hospital dan tempatnya digantikan oleh Zuriani.

Peleraian
Pasukan Zamrud II menjuarai menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dan
memenangi hadiah sebanyak hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia. Aina yang masih
dirawat di hospital mendapat berita gembira bahawa ayahnya, iaitu Profesor Muhammad Fitri
dan kumpulan penyelidik yang hilang di Lautan Andaman telah dijumpai.

Teknik Plot

1. Dialog
Contoh: “Kenapa Abang Adeen lambat?” tanya Aina lagi.
“Maaf, terlepas komuter tadi,” jawab Adeen.

2. Suspens
Contoh: Pak Cik Tan bersembunyi di dalam bilik persalinan untuk mengetahui orang yang mencuri cip pemecut mesin Avatari.

3. Kejutan
Contoh: Adeen ternampak dua orang lelaki yang mencurigakan di bilik persalinan.

4. Imbas kembali
Contoh: Anas teringat akan kata-kata ayahnya yang mahu Anas dan Aina menjadi juara pertandingan Avatari seperti yang pernah dicapai oleh ayahnya dan Pasukan Zamrud sepuluh tahun lalu.

5. Monolog
Contoh: “Tak sangka Aina pandai tulis sajak, walaupun perlu diperbaiki lagi,” kata Anas
sendirian.


Gaya Bahasa
 Diksi
• Istilah Komputer
Contoh: browser, CPU, kayu ria, kamar bicara, papan litar
• Slanga
Contoh: amoi cantik, hei tambi
 Peribahasa
Contoh: nasi sudah menjadi bubur;
kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

 Pembinaan Ayat
• Bahasa mudah dan menarik
• Ada ayat pendek
Contoh: Samy semakin nekad
• Ada ayat panjang
Contoh: Pengalamannya sebagai banduan cukup mengajarnya supaya menghargai kebebasan

 Personifikasi
Contoh: Petang semakin tua

 Simile
Contoh: …seperti semut merah menghurung lipas mati
…seperti halilintar membelah bumi

 Hiperbola
Contoh: …mata yang tajam
...berjalan di atas kepulan awan

LatarLatar Masa
 Zaman sekarang – golongan remaja bermain permainan komputer dan menggunakan
Internet
 Zaman prasejarah – setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya dalam peringkat pertama pertandingan Avatari
 _ Zaman Mesir kuno – pasukan yang layak ke peringkat kedua pertandingan Avatari
mengembara secara maya ke zaman Mesir kuno untuk mencari pelbagai objek harta
karun berdasarkan petunjuk yang akan diperoleh daripada teka silang kata yang
diselesaikan oleh peserta.
 Zaman Kesultanan Melayu Melaka – Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman Kesultanan Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan Melaka.

Latar Tempat
 Kompleks Beli-belah Anggun – tempat pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dilangsungkan
 Rumah Profesor Fitri – tempat tinggal Anas dan Aina
 Pusat Permainan Game Star – Anjali dan Sudin bertanding dalam permainan Robot War
 Pangsapuri Pak Cik Ho – Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk berbincang tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.
 Kawasan bukit di Batu Layar – tempat Cikgu Pasukan Zamrud II menjalani latihan kembara

Latar Masyarakat
 Masyarakat bandar yang celik komputer
Contoh: Anas dan Aina melayari Internet untuk mencari maklumat tentang pertandingan
Avatari
 Masyarakat remaja yang meminati permainan komputer
Contoh: Pusat Permainan Video Game Star sentiasa sesak dengan pengunjung yang
terdiri daripada golongan remaja.
 Masyarakat elit
Contoh: Anas, Aina, Pauline, Adeen, dan Kumar datang daripada keluarga elit kerana
ayah mereka merupakan jutawan, ahli perniagaan, dan profesor.

 Masyarakat bandar yang miskin
Contoh: Anjali ialah anak yatim yang dibesarkan dalam keadaan yang amat daif lagi
mencabar.
 Masyarakat yang gemar melakukan jenayah
Contoh: Abang Anjali, iaitu Muthu merupakan ketua samseng yang diarahkan untuk
menimbulkan huru-hara di Pusat Permainan Video Game Star.

NILAI1. Nilai bertanggungjawab
Anas berasa bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai orang lelaki di rumah selepas ayahnya hilang semasa menjalankan ekspedisi misteri di Laut Andaman.

2. Nilai kasih sayang
Anas sangat menyayangi adiknya, Aina.

3. Nilai keberanian
Anas membahayakan dirinya dalam usaha untuk memastikan kejayaan Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari.

4. Nilai kesabaran
Adeen sabar dengan karenah Kumar yang angkuh.

5. Nilai keinsafan
Kumar menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II.

6. Nilai kegigihan
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas gigih berlatih sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

Pengajaran1. Kita hendaklah berani berjuang untuk mencapai matlamat
Contoh: Anas membahayakan dirinya untuk memastikan Pasukan Zamrud II menjuarai
Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
2. Kita perlulah mengetepikan kepentingan diri sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam pasukan
Contoh: Cikgu Nisah menasihati Pauline supaya mengubah sikapnya yang cemburu terhadap Anjali.
3. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai matlamat
Contoh: Ahli kumpulan Pasukan Zamrud II gigih berlatih sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

4. Kita haruslah sanggup berjuang untuk mempertahankan agama
Contoh: Anas sanggup menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad semasa peringkat akhir pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dengan dibantu oleh ahli Pasukan.

5. Kita tidak harus mengkhianati kepercayaan orang terhadap kita
Contoh: Anjali mensabotaj Pasukan Zamrud II sehingga pasukan itu hampir-hampir tewas dalam pertandingan Avatari.

6. Kita mesti bekerjasama dan mengamalkan semangat berpasukan untuk menjamin
kejayaan sesuatu pasukan dalam pertandingan
Contoh: Semua ahli Pasukan Zamrud II mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sehingga berjaya menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.