17 August 2010

Peranan ibu bapa mengatasi masalah makanan segera dalam kalangan anak







HASIL PELAJAR SMK USJ12,
TAN SUE MAY



Karangan - Usaha Memupuk Perpaduan Rakyat

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.


Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.


Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.


Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.
Hasil karangan murid
Tai Wen Liang, SMK USJ12

10 August 2010

Tajuk KOMSAS 2011 untuk Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 5

Mulai tahun 2011, semua pelajar tingkatan 2 dan 5 akan meneruskan penggunaan teks antologi dan novel terbaharu bagi kumpulan pertama teks Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat menengah rendah (PMR) dan menengah atas (SPM). Sepanjang tahun 2010, mereka telah pun menggunakan teks antologi Kesusasteraan Melayu dan novel terbaharu semasa di tingkatan 1 dan 4.

Pelajar di tingkatan 1 sebelum ini menggunakan antologi Kasut Kelopak Jantung di samping novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Pada tahun 2011, mereka akan menggunakan antologi baharu berjudul Gema Sepi Gadis Genius. Bagi zon Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, pelajar-pelajar tingkatan 2 akan menggunakan novel berjudul Lestari Bukit Menghijau, karya Syed Mahdzir, terbitan Star Trading Sdn. Bhd.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan 5 tahun 2011 pula, mereka akan menggunakan teks antologi baharu berjudul Dirgahayu Bahasaku selain Harga Remaja yang digunakan semasa di tingkatan 4. Bagi zon Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, pelajar-pelajar tingkatan 5 akan menggunakan novel berjudul Sutera Dalam Lukisan, karya Abd. Talib Hassan, terbitan ABM SMAZ Creative.
Terima Kasih kepada http://munsyibm.blogspot.com/ atas maklumat berguna ini.

7 August 2010

Bina Ayat SPM (Soalan 3a)

Apabila anda membina ayat, pastikan anda menggunakan formula:

a) Bila + Siapa + buat apa
b) Siapa + buat apa + di mana
c) Siapa + buat apa + kenapa

Contoh:
1. Prasyarat
ayat: Kakak berjaya memasuki pertandingan itu kerana lulus prasyarat yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan.

2. Propaganda
ayat: Pendedahan akuan palsu yang dilakukan oleh pemimpin negara itu merupakan propaganda politik yang mungkin akan menarik perhatian media massa.

3. Pascamerdeka
ayat: Pada zaman pascamerdeka, anak-anak bangsa harus mengisi kemerdekaan dengan mempertahankan kemerdekaan negara daripada dijajah semula oleh anasir luar.

4. Dwibahasa
ayat: Ayah menggunakan kamus dwibahasa untuk mencari makna perkataan yang tidak difahaminya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

5. Anti-Israel
ayat: Satu perarakan anti-Israel telah diadakan di Dataran Merdeka oleh penuntut-penuntut universiti kerana mereka mengetahui kekejaman Israel terhadap keamanan dunia.

6. Antirasuah
ayat: Kerajaan Malaysia menjalankan kempen antirasuah untuk menghapuskan gejala ini sehingga akar umbi.

7. Interaksi
ayat: Pakar psikologi perpendapat bahawa kekurangan interaksi antara anak dengan ibu bapa akan menyebabkan jiwa anak kosong.

8. Insentif
ayat: Pihak sekolah akan memberi wang insentif sebanyak RM100 kepada pelajar yang mewakili sekolah dalam acara sukan.

9. Integrasi
ayat: Pihak kerajaan melancarkan kempen 1Malaysia untuk memupuk integrasi kaum dan membina perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

10. Intensif
ayat: Pihak sekolah akan menjalankan kelas intensif untuk pelajar yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.

11. Inisiatif
ayat: Kerajaan berharap agar pihak sekolah akan mengambil inisiatif untuk memastikan kebersihan persekitaran sekolah supaya murid-murid tidak diserang wabak demam denggi.

12. tentatif
ayat: Buat sementara waktu, beberapa langkah tentatif diambil untuk memasukkan sains sepenuhnya ke dalam skop sosiologi ilmu pengetahuan.

13. senget
ayat: Ayah mengetawakan adik yang memakai seluarnya senget sebelah.

14. sengit
ayat: Pengumuman semua calon SPM yang mendapat keputusan 9A+ dijanjikan biasiswa JPA akan menimbulkan persaingan yang sengit antara calon SPM.

4 August 2010

SOALAN KARANGAN RAMALAN PMR 2010 (1)

Tajuk :
Warga tua sering tidak diendahkan oleh golongan remaja. Huraikan cara yang terbaik untuk mendidik remaja agar menyayangi warga

Pendahuluan
- Warga tua merupakan sebahagian daripada masyarakat dan
tidak harus diabaikan atau dilupakan.
- Warga tua merupakan golongan yang pernah berjaya kepada
keluarga dan negara.
- Namun begitu tidak semua warga tua bernasib baik dan
mengalami pelbagai masalah seperti uzur, nyanyuk dan
penyakit yang berbahaya.

Isi 1
- Ibu bapa harus memainkan peranan penting mendidik anak-anak
- Ibu bapa perlu menitikberatkan sikap kasih sayang terhadap
orang tua kepada anak-anak mereka.
- Secara tidak langsung, anak-anak akan menghormati dan
menyayangi warga tua.

Isi 2
- Budaya kunjung-mengunjung keluarga perlu diamalkan bukan
sahaja pada hari raya.
- Dapat mempereratkan hubungan antara remaja dan warga tua.
- Warga tua akan berasa terhibur apabila anak dan cucu mereka
pulang menziarahi mereka.
- Remaja akan sedar kepayahan serta kesunyian warga tua.

Isi 3
- Mengada dan memperbanyak kempen untuk menyedarkan
generasi muda tentang pentingnya menghargai warga tua.
- Adakan kempen melalui Hari Ibu dan Hari Bapa, generasi muda
akan membawa ibu bapa mereka berjalan dan sebagainya.
- Melalui kempen ini akan timbul perasaan simpati, kasih sayang
dan hormat golongan tua.

Isi 4
- Tanamkan sikap kasih sayang dan hormat-menghormati dalam
jiwa generasi muda.
- Mereka tidak seharusnya melawan cakap orang tua sebaliknya
mendengar rungutan warga tua.
- Dengan adanya sikap begini, mereka dapat mengasihi dan
menjaga keperluan warga tua dengan baik.

Isi 5
- Pihak sekolah perlu mengadakan Hari Keluarga.
- Hubungan antara murid dengan ibu bapa dan guru dapat dieratkan.
- Melalui cara ini juga para murid dapat belajar bagaimana untuk
memenangi dan menghormati warga tua.
- Secara tidak langsung, mereka akn mengamalkan sikap begini
walaupun mereka sudah deawsa.

Isi 6
- Peranan pihak media massa cetak dan elektronik mendidik
remaja.
- Banyakkan cerita-cerita berunsurkan masyarakat penyayang.
- Contoh Majalah Wanita, Televisyen dan radio.
- Menyedarkan remaja akan pentingnya menghormati warga tua.
- Beri pengajaran agar mereka tidak mengabaikan warga tua jika
tidak mahu diabaikan apabila tua nanti.

Penutup
- Warga tua perlu diberikan penghormatan yang sewajarnya.
- Kita tidak seharusnya melupakan jasa mereka kepada keluarga
dan negara.
- Kita perlu sedar bahawa suatu masa nanti kita juga akan
menjadi tua seperti mereka.
- Adalah kita mahu dilakukan sedemikian rupa? Jawapannya
tepuk dada tanyalah selera.