Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

18 November 2009

KUNCI KEHIDUPAN ADA DALAM TANGAN KITA
SEMOGA BERJAYA DALAM SPM 2009 !


KERTAS 1 SPM 1103/1
Sepanjang 2 tahun mengajar murid-murid saya dalam kelas SPM 2009, tajuk-tajuk karangan di bawah telah kita kuasai. Saya berharap soalan SPM sebenar akan menyentuh perkara di bawah ini.

1. Pendidikan
- Kebaikan pendidikan maya
- Kekangan yang dihadapi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau
2. Pengangkutan awam
- Langkah-langkah memperbaik sistem pengangkutan awam
- Kepentingan sistem pengangkutan awam kepada rakyat

3. Skim Cepat Kaya /Aktiviti menabung
- Pengaruh Skim Cepat Kaya kepada rakyat
- Cara-cara mengatasi kes penipuan melalui internet dan media massa
- Kepentingan menabung dalam kalangan pelajar demi menghadapi kegawatan ekonomi
4. Bidang pelancongan
- Langkah-langkah yang wajar diambil untuk memperkasa sektor pelancongan
- Kebaikan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara
5. Bangunan bersejarah
- Kepentingan memulihara bangunan bersejarah
- Fungsi bangunan bersejarah dalam usaha melahirkan rakyat yang berjiwa patriotik

6. Perpaduan nasional
- Peranan sekolah memperkukuh peraduan kaum
- Kepentingan mengekalkan perpaduan kaum di negara kita

7. Rasuah / antirasuah
- Punca gejala rasuah
- Langkah-langkah mengurangkan gejala rasuah

8. Permainan Tradisional / warisan budaya
- Kepentingan memulihara permainan tradisional
- Langkah pemuliharaan permainan tradisional sehingga menjadikannya permainan bertaraf dunia.
9. Pemanasan Global / cuaca tidak menentu
- Langkah-langkah mengatasi pemasanasan global
- Punca pemanasan global dan kesannya

10. Produk Malaysia
- Kebaikan membeli barangan buatan Malaysia
- Cara-cara meningkatkan keyakinan rakyat terhadap barangan buatan Malaysia
11. Telefon Bimbit / teknologi kemanusiaan
- Kebaikan dan keburukan penggunaan telefon bimbit
- peranan telefon bimbit dalam kehidupan pelajar
12. Kafe Siber / perniagaan berasaskan ICT
- Kafe siber menjadi sarang gejala sosial dalam kalangan pelajar, bincangkan
- Peranan kafe siber dalam usaha memperkembangkan potensi ICT

13. Bahasa
- Kepentingan memulihara bahasa kebangsaan
- Kebaikan dan keburukan menggunakan dwibahasa dalam mata pelajaran Sains dan Matematik
14. Masalah sosial
- gengsterisme / buli
-vandalisme / penularan budaya Barat

15. Kegawatan Ekonomi
- Peranan rakyat menghadapi kegawatan ekonomi
- Langkah berjimat cermat dan kepentingannya

16. Kenaikan harga
- Peranan rakyat mengatasi kenaikan harga
- Langkah-langkah mengatasi masalah kenaikan harga

17. Amalan Membaca
-kebaikan menjadikan buku sebagai teman
- punca bahan bacaan picican menjadi pilihan pembaca remaja

18. Pengalaman/program yang pernah disertai
- Lawatan sambil belajar
- pengalaman mendaki gunung

19. Kemalangan Jalan Raya
- Punca kemalangan yang disebabkan oleh pemandu
- Langkah mengurangkan kemalangan di kawasan sekolah

20. Kokurikulum-kebaikan
- Sebab-sebab kegiatan beruniform tidak diminati
- Peranan kegiatan kokurikulum membentuk peribadi murid yang mulia

21. Semangat patriotik
- Pentingnya penghayatan bulan kemerdekaan
- Langkah-langkah menjadikan remaja berjiwa patriotisme

22. Bahan Sastera (KOMSAS)
- Peranan puisi tradisional dalam mendidik remaja
- Kebaikan membaca antologi komponen sastera

23. Ulasan novel/cerpen / filem
- Ulasan novel / filem yang pernah dibaca / ditonton
- Menulis cerpen bertemakan _____

24. Peranan Guru dan ibu bapa
- Peranan guru dalam membentuk remaja sebagai pemimpin
- Peranan ibu bapa mengurangkan gejala merokok dalam kalangan remaja.

Soalan-soalan yang dinyatakan di atas hanyalah soalan berdasarkan pendapat penulis blog. Saya berharap para pelajar menguasai teknik penulisan supaya dapat menulis apa-apa sahaja soalan yang dikemukakan.


SEMOGA BERJAYA!
CIKGU TAN

12 November 2009

RAMALAN KOMSAS SPM 2009

SOALAN 2(b)
1. LAMBAIAN MALAR HIJAU
2. AKU, KRIS DAN KRISTAL
3. SERUNAI MALAM
4. VIRUS ZEL UNTUK ABAH


SOALAN 2(c)
1. KEPAHLAWANAN TUN BERAIM BAPA
2. SABOR
3. PERTARUNGAN TUAH DENGAN JEBAT
4. CERITA BAYAN TIDAK MENURUT KATA IBU BAPANYA

SOALAN 2(d)
1. JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
2. DERITA PERTAMA
3. ANAK LAUT
4. SYAIR KELEBIHAN ILMU
5. DUHAI PENTAFSIR
6. DI RUANG GEMANYA

NOVEL
1. KASIH SAYANG DALAM DUA NOVEL (PERBANDINGAN)
2. MESEJ DARIPADA PENGARANG KEPADA PEMBACA
3. KETABAHAN WATAK UTAMA
4. PERBANDINGAN ( WATAK SAMPINGAN DALAM SEBUAH NOVEL)
5. TEKNIK PLOT ( PERBANDINGAN)
6. BAHAGIAN PUNCAK CERITA DALAM KEDUA-DUA BUAH NOVEL

7 November 2009

KARANGAN SPM 3 - MENULIS CERPEN BERTEMA KEINSAFAN

Kerana Tersilap Langkah, Maruah Tergadai


Walaupun cuma bisikan, tetapi bisikan antara saudara maraku seolah-olah memecah gegendang telingaku. Kekesalanku ini sudah tiada maknanya kerana nasi sudah menjadi bubur. Perkara ini berlaku kira-kira 2 tahun yang lalu ketika aku masih di zaman persekolahan yang penuh dengan memori indah. Oleh sebab keluargaku mempunyai kedudukan dan nama, isu disiplin ini sangat dititikberatkan. Sejak kecil lagi ,aku dijaga di bawah pengawasan yang ketat kerana mengikut bapa, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kedua-dua ibu bapa aku mencorakkan kehidupanku dengan penuh tatasusila. Kendatipun begitu, mereka masih mencurahkan kasih sayang yang melimpah ruah ke atas saya, dalam kata lain, saya diasuh seperti menatang minyak yang penuh. Segala dalam kehidupanku boleh dikatakan berjalan dengan lancar dan kami sekeluarga juga hidup dengan bahagia. Malang tidak berbau, kebahagian ini tidak berkekalan dan aku menjadi akar umbi keluargaku mendapat aib dan menjadi porak peranda.Atas limpah rahmat Tuhan, ibu bapaku dinaikkan pangkat dan mereka menjadi sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tiada masa untuk meluangkan sesaat pun denganku. Kebetulan pula pada ketika aku aku menuntut di sekolah menengah, aku menghadapi tekanan yang tinggi membara kerana persaingan yang hebat antara rakan seperjuanganku yang umpama cendekiawan. Stres yang saya telan seolah-olah menusuk hatiku seribu kali. Pernah sekali aku cuba meluahkan perasaan ini kepada ibu bapaku, tetapi jawapan mereka pendek sahaja, yakni, “Kami sibuk.” Pada saat ini, aku benar-benar merasai perubahan kedua-dua ibu bapaku. Dalam mata mereka cuma ada duitke? Tidakkah aku penting bagi mereka? Segalah perintah mereka telah saya turuti selama ini. Adakah saya cuma boneka hidup mereka. Persolan-persoalan ini asyik bermain di fikiranku. Sejak hari itu, aku bukan lagi Henry yang ceria dan aktif, sebaliknya menjadi seorang yang pendiam dan mengasingkan diri daripada masyarakat sehingga guru dan pelajar di sekolah memapar seribu tanda tanya tentang perubahanku yang drastik. Ada peribahasa yang berbunyi,”diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat”, tetapi dalam situasiku lain pula, memang aku mrnjadi seorang yang pendiam tetepi keputusan saya bukan sahaja tidak meningkat, malah merosot. Guru kelas saya, Pn. Zakiah pernah mempamerkan keprihatinannya terhadapku dengan bertanya tentang masalah yang saya hadapi. Abet cikgu yang mulia ini menyentuh hati saya kerana beliau merupakan satu- satunya insan di alma mater ini yang masih sanggup mengambil berat dan mendekati saya setelah keputusan akademik saya jatuh secara mendadak. Aku ingin sekali meluahkan segala perasaanku kepada beliau tetapi entah mengapa bibirku seolah-olah dipaku bersama. Rentetan senario, Pn Zakiah pun mencadangkan saya berjumpa dengan guru kaunseling di sekolah. Walaupun hatiku tahu benar guru kaunseling tidak dapat menyelamatkan aku daripada neraka ini, tetapi aku masi mampu mengukir senyuman di mukaku. Semenjak itu, entah bila aku mula menyertai pelajar yang bermasalah disiplin. Lama-kelamaan, aku pun mengikut jejak langkah mereka, bak kata mutiara, ”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Pada awalannya, aku cuma terlibat dalam kesalahan yang kecil seperti menyimpan kuku panjang, tidak pinkan rambut dan lewat ke sekolah dan itu pun jarang-jarang berlaku. Penalti tetap diberi tetapi tidak dalam kuantiti yang banyak. Walakin begitu, setelah suatu jangka masa yang sederhana panjang, melanggar peraturan sekolah sudah menjadi tabiat. Penyakit ini semakin menjadi-jadi sehingga aku sanggup menjebakkan diriku ini ke dalam lembah hina walaupun sedar impak negatif yang bakal menimpaku. Seolah-olah ada aura negatif yang menghumban aku ke dalam lautan dosa dan aku seperti tidak berdaya melawan aura tersebut. Aku telah menubuhkan geng sendiri dan walaupun aku bukan seorang yang lemah lembut tidak pernah sekaliku membayangkan diriku sendiri menjadi ketua kongsi gelap. Pada peringkat awal, aku bersama ahli geng aku hanya memeras ugut pelajar yang lemah tetapi api keberanian saya semakin membara sehinggaku tegah membelasah pelajar. Di manakah belas kasihan saya pada ketika itu? Adakah hati perut saya sudah dimakan anjing kerana dalam mata saya hanya dapat melihat kebencian. Tidak kusangka bahawa aku keruntuhan nilai moral sehingga menjadi sebuah raksasa yang tiada berperikemanusiaan. Walaupun ada niat untuk insaf dan melakukan anjakan paradigma kerana ada peribahasa yang berbunyi,”sesal di pangkal jalan, balik ke hujung jalan” tetapi seperti ada aura negatif yang menarikku kembali ke alam syaitan.

Henry! Henry! Seolah-olah ada suara yang memanggilku dan suara tersebut bertambah kuat. Kelopak mataku membuka perlahan-lahan. Rupa-rupanya aku tertidur di dalam kelas lagi. “Henry! Ini sudah kali ke-24 kamu tidur semasa waktu saya. Adakah ajaran saya membosankan kamu?” tanya Cikgu Upik Asma, guru moralku. Jawapan aku pendek sahaja, yakni “ya”. Air mukanya yang lembut tiba-tiba berubah menjadi bengis dan dahsyat. “ Kamu jangan kurang ajar,ya!” marah Cikgu Upik. Entah mengapa aku berasa air mukanya lucu, lalu ketawa terbahak-bahak. Rakan-rakan kaget melihat reaksiku, dan menyuruh aku supaya berhenti tetapi ini membuatku ketawa lebih kuat. Cikgu Upik hanya merenung ke dalam mataku tanpa berkata apa-apa. Tidak lama kemudian, aku pun berhenti ketawa dan menatap wajah cikgu yang serius. Untuk lima minit tersebut, masa seolah-olah berhenti dan keadaan menjadi senyap. Segalanya seperti berhenti pada saat itu. Tiba-tiba, Kring! Kring! Bunyi loceng memecahkan kesunyian di dalam kelas. “Ok kelas, semua boleh bersurai.” ujar Cikgu Upik. Beliau perlahan-lahan mengalihkan pandangannya daripada aku tetapi melihat ekspresi mukanya yang benar-benar kecewa terhadapku dan perasaan itu seolah-olah menusuk ke jiwaku kerana dia merupakan salah seorang guru kesayanganku tetapi aku seperti tidak dapat mengawal mindaku dan seperti mulutku mempunyai minda sendiri.”Haiz, sudah terlanjur kata, sesal juga tiada gunanya, maklumlah’ sudah terhantuk, baru terngadah’,’keluh hatiku yang kecil ini. “Hebatlah, engkau! Berani melawan cikgu macam tu,”ujar seorang rakan aku ketika aku bertembung dengannya semasa sesi rehat. Aku hanya tersenyum.

Selepas waktu persekolahan, seperti biasa aku akan bertemu dengan geng-geng aku.
Pada kebiasaaannya, kami akan lepak di kompleks beli belah atau mengunjungi siber kafe, tetapi hari tersebut, salah seorang rakan saya mencadangkan kami membuat sesuatu yang seronok seperti merokok. Tanpa berfikir panjang, aku pun bersetuju dengan cadangannya. Menurutnya, kita akan kelihatan cool tatkala merokok. Nescaya, pada petang itu, kami pun pergi membeli sekotak rokok berjenama Salem. Kata tauke, jenama ini ada kelas. Mungkin kerana penampilan kami yang matang, tauke tersebut tidak sedar bahawa kami di bawah umur. Kami kemudian berkumpul semula di tempat yang biasa kami lepak. “Betulkan cakap gua, bro! Bestkan merokok! Nampak cool lagi!” ujar seorang rakanku memecahkan kesunyian. Aku mengangguk dalam kesetujuan. Namun begitu, hatiku berbicara jika abet saya yang negatif ini tersebar, di mana abah nak letakkan mukanya, maklumlah, abah ini egoistic. Persoalan-persoalan yang timbul tidakku peduli lagi, yang penting kita enjoy. Lagipun, sampai sekarang, abah harus sudah masak dengan perangai burukku dan ini bukan kali pertamaku terbabit dalam perkara negatif. Pada saat itu, tidak timbul sedikit pun rasa bersalah. Pada hari keesokkannya, bunyi ayam berkok kok membangunkan saya. Rupa-rupanya sudah siang Aku kurang ingat apa yang berlaku semalam. Apa yang masih segar dalam ingatanku ialah kami berborak dengan gembira dan oh ya, kami macam ada minum arak juga tetapi apa yang pasti ialah aku terlantar di pondok yang kami selalu berjumpa pada keesokkan hari, maknanya aku tidak balik semalaman. Ibu pasti kuathir, hai, terpaksalahku mendengar leterannya lagi! Rakan-rakan aku yang lain juga kelihatan terlantar berdekatan dengan saya. Nampaknya, mereka juga tidak pulang ke rumah semalaman. “Tidakkah ibu bapa mereka risau?”bisik hati kecilku. Lantaklah, dia orang punya pasal. Aku bingkas bangun daripada lantai yang sejuk umpama ais. Tanpa mempedulikan rakan-rakanku, aku terus berangkat ke sekolah.

Aku ditahan setibanya di sekolah. Kononnya aku lewat ke sekolah. “Haiz, datang lewat lagi, keluh pengawas yang bertugas. Rasanya dia bercakap tentang aku. Kendatipun begitu, perkara ini sudah tidak asing lagi kerana satu sekolah sudah mengetahui perangai liarku. Ibu bapaku juga sering dipanggil untuk berjumpa dengan pengetua. Aku ibarat malu-malu kucing kerana walaupun prestasi disiplinku teruk sehingga tidak boleh diselamatkan lagi dan mencemar nama baik keluargaku, tetapi aku masih tidak berubah. Maruah aku seolah-olah pergi jauh meninggalkanku kerana walaupun tindakan negatifku sering menjadi buah mulut ramai, aku masih tetap melakukannya. Kemudian, aku pun balik ke ‘kelas’. Jika aku yang dulu pasti balik ke kelas seperti budak yang baik tetapi aku sedar menjadi orang yang holistik memang bosan, aku ingin cuba sesuatu yang lebih agresif demi memuaskan nafsu saya. Sepert biasa, aku akan meraya-rayau di perkarangan sekolah dan mengacau pelajar-pelajar yang lemah. Hari yang sama juga aku bertembung dengan lawan yang hebat. Orang terbabit merupakan pelajar sekolahku yang lebih tua daripadaku setahun. Peluh mulai membasahi pipiku bukan keranaku gentar tetapi kerana cahaya matahari yang terik memancar tepat ke arahku. Aku berjalan dengan segak ke arah lawanku . Mata kami bertemu. Tiba-tiba dia bahunya melanggarku. Aku menjeling ke arah dia dan menggenggam buku limaku dengan kuat. Jelingan aku seperti memberitahu dia supaya awas kerana ‘permainan’ ini baru bermula. Selepas sesi persekolahan, aku dan geng-geng aku sudah bersedia ‘menjemput’ kedatangan musuh saya. Ekspresi muka kami memaparkan kemarahan kami dan budak sial itu akan kami ajar teruk-teruk. Kira-kira lima belas minit kemudian, si bedebah itu muncul seorang diri. ‘Ini peluang emasku!’bisik hati kecilku. Aku sudah bersiap sedia dengan sebatang kayu aku. Aku terus berlari ke arahnya dahulu sebelum rakan-rakanku yang lain mula beraksi lalu memukulnya dengan kayu tersebut, rakan-rakanku tergamam melihat aksi aku. Guru-guru segera datang untuk mengawal keadaan. Setelah keadaan sudah dileraikan, ibu bapa aku dipanggil untuk berjumpa dengan guru besar. Walaupun berjumpa dengan pengetua sudah menjadi satu norma, tetapi naluri memberitahuku perjumpaan kali ini sangat serius. Semasa perjumpaan tersebut, keadaan menjadi sangat tegang. Ibu bapaku bertengkar untuk kali pertama dan pertengkaran terjadi di pejabat sekolah. Mereka saling menunding jari disebabkan oleh afal aku. Maruah dan reputasi sekolah dan ibu bapaku serta maruah diriku sendiri dihancur dalam tanganku sendiri. Orang kata, berita yang buruk cepat tersebar tetapi perkara perkara baik lambat tersebar. Kata-kata tersebut memang tepat sekali kerana tidak sampai sehari pun, berita ini tersebar luas di persekitaran kawasan saya. Nasib memihakku kerana kecederaan pelajar tersebut cumalah cedera ringan, nescaya, aku tidak didakwa.

Sejak hari itu, orang ramai mengubah tanggapan mereka terhadap aku. Mereka sangka aku cuma nakal dan ingin bermain-main tetapi bukanlah seperti sampai sanggup memukul orang kerana tindakan ini tidak ada bezanya dengan ahli kongsi gelap di luar. Aku sendiri juga terkejut yang aku berani sehingga tergamak memukul orang, aku semakin gagal mengawal emosiku sehingga mencetuskan kemelut ini. Aku cuma berdaya membiarkan arus negatif menghanyutkan diriku. Kini, aku digelar syaitan. Ramai yang telah memulaukanku kerana gentar sekiranya mereka akan menjadi mangsa seterusnya. Aku ingat aku masih memiliki kawan-kawan gengku, tetapi tidak sangka mereka cuma kawan semasa suka, bukan kawan semasa duka. Ternyata, aku tersilap pilih kawan. Kemurungan ini mendorong aku bercampur dengan kumpulan yang lebih ganas, tamsilannya ahli kongsi gelap yang sebenar dan bukan yang sahaja setakat bermain-main seperti yang di sekolahku. Golongan ini terdiri daripada mereka yang berumur sekitar dua puluhan sehingga tiga puluhan. Mereka melakukan kegiatan haram demi mencari rezeki kerana mengikut hemat mereka, pekerjaan halal tidak menguntungkan. Betul juga kata mereka, ibu bapaku bersusah payah dan mengambil jangka masa yang panjang, baru dapat pencapaian pada hari ini. Ironinya, kegiatan haram tidak perlu prestasi akademik yang baik mahupun usaha yang gigih untuk mengaut keuntungan yang banyak dan hanya mengambil masa yang singkat untuk menjadi kaya seperti skim cepat kaya. Pada dua belas Jun, aku diberi tugasan pertama, yakni menhantar ‘stok’ ke jeti dan aku diberitahu supaya segera beredar sejurus sahaja menerima wang. Perasaanku bercampur baur, ada peraan takut, gentar, cemas tetapi dalam hatiku yang kecil ini juga terselit perasaaan teruja kerana ini merupakan misi pertamaku. Aku lakukan seperti yang disuruh. Kemudian, kegiatan tersebut menjadi kegiatan seharianku. Bos aku juga sangat berpuas hati dengan prestasiku. Aku sepatutnya gembira tetapi entah mengapa aku tidak sedikit pun gembira. Walaupun aku dapat mengaut keuntungan yang banyak, teapi aku terpaksa hidup dalam kegelapan. Nampaknya, aku tidak dapat melihat sinaran cahaya matahari lagi. Kini, sudah tidak boleh berpatah balik lagi kerana tidak mungkin ahli kongsi gelap itu akan melepaskanku. Ini sudah menjadi takdirku kerana menyelingeh nasihat orang yang lebih makan garam. Sekarang baruku sedar, sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Aku kini terpaksa menjalani kehidupan yang tidak halal tetapi nasib menyebelahiku, kerana aku masih belum ditangkap. Bertapa naifnya fikiranku ini kerana peribahasa melayu tidak pernah berbohong. Sesungguhnya sepandai-pandai tupai melompat , akhirnya jatuh ke tanah juga.

Pada suatu petang, aku termenung sambil mengimbas kembali saat riang bersama keluargaku tetapi kini hanyalah tinggal memori. Angin yang lembut memberus pipiku. Tiba-tiba, aku rasa ada yang menepuk bahuku. “Bang, bos suruh angkat stok ke jeti!” pinta salah seorang anak buahku mengejutku daripada lamunan. Aku terus berangkat daripada tempat dudukku lalu bergegas ke destinasiku. Sebaik sahaja aku sampai di lokasi tersebut, naluri memberitahuku bahawa keadaan seperti ada yang tidak kena dan seperti ada yang sedang memerhati setiap pergerakanku. Mungkin kerana aku yang terlalu sensitif sahaja. Tanpa menhirau perasaan ini, aku terus mememerhati sekelilingku untuk mencari orang yang patut aku temui. Sudah setengah jam aku menunggu tetapi orang tersebut tidak muncul-muncul lagi. Perasaan gelisah semakin menguasaiku. Tiba-tiba, ada yang menepuk bahuku. Aku tersentak lalu menoleh ke belakang. Rupa-rupanya orang yang menepuk bahuku ialah seorang anak buahku yang agak taat kepadaku. ‘ Cepat kabur dari sini!’ gesanya. Pada mulanya, aku tidak faham maksudnya tetapi lama-kelamaan apabila aku melihat beberapa orang polis sedang menuju ke arahku, barulah aku sedar bahawa semua ini adalah sebuah perangkap. Pihak polis sudah mensyaki kegiatan kami dan mereka sedang menyiasat kami. Barulah aku sedar bahawa aku dijadikan kambing korban agar pihak polis menyangka aku merupakan dalang. Rupa-rupanya mereka sudah merancang awal-awal lagi dan tugasan ini ada udang di sebalik batu. Aku hanya mampu tercegat di situ dan nenahan sebak dalam dadaku. Aku tidak sangka orang yang aku anggap seperti ahli keluargaku sendiri tergamak mengkhianatiku. Dalam beberapa saat ini, aku sedar bahawa hanya ahli keluarga sendiri akan memberi layanan yang paling ikhlas dan tulus. Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis datang mengepong kami. Kami berdua telah ditahan. Aku dan anak buahku dipenjara selama satu tahun setengah. Oleh sebab usia kami yang masih muda dan kesanggupan kami untuk bekerjasama dengan polis bagi membanteras operasi haram ini, hukuman kami diringankan. Kami pun mendedahkan sarang persemembunyian mereka, tetapi malang tidak berbau, mereka semua sudah lenyap daripada kawasan tersebut. Nampaknya, perancangan mereka memang teliti dan mereka memang berniat untuk menganiayaiku. Namun begitu, keadilan dan kebenaran tetap wujud. Dengan imformasi lain yang kami dedahkan,tidak lama kemudian, anggota polis berjaya menangkap korporat-korporat yang lain. Sepanjang aku berada di penjara, aku telah banyak berfikir dan aku bernekad untuk mengubah mentalitiku. Walaupun begitu, selepas aku bebas daripada penjara, aku tetap dipandang hina dan dianggap sebagai sampah masyarakat kerana membawa rekod buruk sebagai bekas banduan tetapi ini semua sudah dalam jangkaanku. Namun begitu aku tidak akan berputus asa sebaliknya berusaha meyakinkan orang lain bahawa aku benar-benar sudah berubah dan cuba mengubah tangapan mereka terhadap aku kerana aku sudah bertaubat.
KARYA Yvonne Lim, murid Cikgu Tan

KARANGAN SPM

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini.
Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.


Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.
Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.
Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.
Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakan generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.
Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.
Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baru kepada masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!

KARANGAN SPM 2009

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.