21 July 2009

Warna-warni Bollywood di Kuala Lumpur

Pada hari Ahad yang lalu, sebagai mengotakan janji kepada ibu, saya telah membawanya ke Istana budaya untuk menyaksikan pementasan muzikal "Merchants of Bollywood" (MOB) yang dipentaskan di panggung bertaraf lima bintang. Setibanya di sana, kami menikmati makan malam supaya tidak berlapar sepanjang pementasan itu. Yang memalukan, tandas yang terletak di kafeteria Istana Budaya tidak dibersihkan mengikut piawaian bangunan yang berdiri megah di Jalan Tun Razak itu. Saya berharap pihak pengurusan bukan hanya mementingkan kebersihan tandas di luar Panggung Sari, tetapi juga di seluruh bahagian bangunan tersebut.

Ketika memasuki bangunan Istana Budaya, terasa demam Bollywood kembali melanda ibu negara apabila kawasan lobi Istana Budaya dihiaskan ala Bollywood dengan penggunaan kain sari dan "koolam". Warni-warni ini memang mengasyikkan dan mengujakan ibu saya. Seolah-oleh dia barada di ibu pertiwinya. Walau bagaimanapun, pementasan MOB yang bermula sejak 14 Julai lalu dan berakhir pada 26 Julai ini sememangnya menjadi sebutan dan telah mencipta satu fenomena baharu dalam penerbitan teater antarabangsa sejak lima tahun lalu.

Mengikut sumber akhbar Utusan Malaysia, kedatangan MOB ke negara ini dibawakan secara eksklusif oleh Asiapromote Ventures Sdn. Bhd., dengan kerjasama LD Sports Sdn. Bhd., bersempena dengan sambutan Festival Muzik Kuala Lumpur sepanjang bulan Julai ini.Antara negara yang sudah pun dijelajahi oleh produksi teater ekstravaganza ini adalah seperti Itali, Switzerland, United Kingdom, Poland, Sepanyol dan banyak lagi. Yang membanggakan, biarpun muzik dan bahasanya merupakan bahasa Hindi namun bukanlah satu halangan untuk audiens antarabangsa menikmati satu persembahan yang cukup menakjubkan.

Secara peribadi, saya yang bukan benar-benar meminati lagu-lagu Hindi juga teruja dengan tarian yang dipersembahkan. Saya berpendapat bahawa sambutan yang diberikan terhadap teater ini membuktikan muzik mampu menyatukan masyarakat dunia biarpun berlainan latar belakang serta budaya yang ditonjolkan.







Biarpun MOB menyajikan sebuah hiburan yang memaparkan kegemilangan Bollywood menerusi tarian, kostum dan permainan warna yang menakjubkan oleh hampir 50 orang penari, di sebaliknya ia mengandungi mesej tersirat yang cukup berguna. MOB diangkat daripada kisah benar kehidupan keluarga Merchant yang merupakan koreografer serta guru tari tersohor yang meletakkan Bollywood di puncak tertinggi. Walakin begitu, perbalahan berlaku apabila Shantilal Merchant tidak merestui minat cucunya, Ayesha Merchant yang mahu memodenkan serta mengkomersialkan tarian India dalam filem Bollywood. Keputusan ini cukup berbeza dan bertentangan dengan perjuangan serta ideologi yang dipegang oleh Shantilal sepanjang dia menjadi koreografer untuk filem-filem Bollywood yang lebih mementingkan kepada gaya lama, klasik dan autentik.





Di samping menampilkan hampir 50 orang penari, MOB juga diperkuat dan ditenagakan oleh kehadiran tiga pelakon utamanya iaitu Chander Khanna, Carol Furtado dan Deepak Rawat. Saya secara peribadi berpendapat bahawa pementasan ini hebat dan berjaya menyuntik semangat cinta akan Bollywood dalam diri penontonnya. Akhir kata, jom kita ke Istana Budaya.

17 July 2009

Ke mana perginya kedamaian?

Gambar pascakejadian pengeboman di Hotel JW Marriot, Jakarta.
Pegawai polis sedang memeriksa kerosakan selepas letupan yang berlaku di Hotel Marriott, Jakarta, hari ini. Setakat ini, enam orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 cedera dalam kejadian letupan bom yang turut membabitkan Hotel Ritz-Carlton --fotoAP

Hotel JW Marriot, Jakarta, Indonesia

Pagi ini, di bandar raya Jakarta, bom meletup di dua buah hotel di sini hari ini. Hotel yang menjadi terget ialah Hotel Ritz-Carlton dan Hotel Marriott sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya empat rakyat asing terbunuh. Kejadian ini menyebabkan beberapa orang war asing menjadi mangsa. Saya terkelu apabila mengetahui kejadian ini. Hal ini dikatakan demikian kerana saya pernah berada dan tinggal di sana beberapa hari untuk persidangan kesusasteraan tahun lalu. Maka, terdetik dalam minda saya, "Ke Mana Perginya Kedamaian".




KE MANA PERGINYA KEDAMAIAN

Damai, di mana kau tujui
dalam arah yang tidak mengenal manusia
terus melenyapkan kedamaian yang pernah melingkari kehidupan manusia.

Pergilah damai
jika engkau anggap dunia ini tidak berhak memilikinya
Janganlah engkau membawa bersama nyawa yang tidak bersangkutan
jauh di sudut hati-Nya, ke mana harus dami pergi?

Manusia oh manusia
kekejaman sudah mengatasi kedamaian?
pengganas, penggodam, perosak, penunjuk perasaan
bersatu di dalam jiwa yang keruh dengan kemanusiaan

Bertanyakan kepada diri sendiri
setiap ledakan ini dilakukan dengan jujur?
setiap keganasan ini dibuat dengan rela?
setiap kekejaman ini dikerjakan dengan tulus?

Tanya diri sendiri..
Hanya kamukah yang ada anak?
Hanya kamukah yang ada keluarga?
Hanya kamukah yang ingin berkuasa?
Hanya kamukah yang mahu bermaharajalela?
Aduhai.... Kenapalah dengan cara begini kedamaian dunia dinodai.
Akhirnya, kau akan mengerti
Ke mana perginya kedamaian.
kerana......
Manusia tidak pernah dilahirkan
untuk antikedamaian.
CIKGU TAN

16 July 2009

Jawaban Kesalahan Tatabahasa

Jawaban dalam tulisan berwarna merah.

1 para guru-guru
para guru / guru-guru

2 satu setengah jam
satu jam setengan

3 tiap pelajar
setiap pelajar / tiap-tiap pelajar

4 daripada sekolah
dari sekolah

5 sejak dari semalam
sejak semalam / dari semalam

6 demi untuk ibu bapa
untuk ibu bapa / demi ibu bapa

7 beberapa penjahat
beberapa orang penjahat

8 koleksi lagu-lagu
koleksi lagu / lagu-lagu

9 sesetengah daripada kek yang dipotong
setengah daripada kek yang dipotong / sebahagian daripada kek yang dipotong

10 video cakera padat
cakera padat video

11 kain batik sutera
kain sutera batik

12 ahli jawatan kuasa
ahli jawatankuasa

13 membuang sampah-sarap
membuang sampah sarap

14 bergantung kepada guru
bergantung pada guru

15 beralaskan dengan bantal
beralas dengan bantal / beralaskan bantal

16 persahabatan di antara Rushi dengan Rani
persahabatan antara Rushi dengan Rani

17 semangat berkerjasama
semangat bekerjasama

18 rakyat yang bersatu-padu
rakyat yang bersatu padu

19 saling hormat-menghormati
saling menghormati / hormat-menghormati

20 deretan kedai-kedai
deretan kedai / kedai-kedai

21 kawasan pendalaman
kawasan pedalaman

22 kawasan pengairan di Selat Melaka
kawasan perairan di Selat Melaka

23 melawat ke negeri Sembilan
melawat ke Negeri Sembilan

24 menghadiri ke majlis
menghadiri majlis / hadir ke majlis / menghadirkan diri ke majlis

25 menghadiahkan ibu sebentuk cincin
menghadiahi ibu sebentuk cincin / menghadiahkan sebentuk cincin kepada ibu

26 memasak nasi
menanak nasi

27 mengunakan ilmu dan pengetahuan
menggunakan ilmu dan pengetahuan

28 menggelakkan diri daripada gejala sosial
mengelakkan diri daripada gejala sosial

29 kebanyakkan fail di pejabat
kebanyakan fail di pejabat

30 pertunjukkan amal
pertunjukan amal

31 negara yang aman-damai
negara yang aman damai

32 gugusan pulau-pulau
pulau-pulau / gugusan pulau

33 pemainan tradisional
permainan tradisional

34 masalah yang serious
masalah yang serius

35 golongan cendikiawan
golongan cendekiawan

36 memberi banyak faedah
memberikan faedah yang banyak / banyak memberikan faedah

37 golongan pelajar-pelajar
golongan pelajar / pelajar-pelajar

38 wajar dilakukan oleh kita
wajar kita lakukan

39 penyalah gunaan dadah
penyalahgunaan dadah

40 menjadi orang yang baik
menjadi insan yang baik / menjadi manusia yang baik

41 jangan sesekali kita membuat jahat
jangan sekali-kali kita berbuat jahat / jangan sekali-kali kita membuat kejahatan

42 Kadang kala, ibu saya garang.
kadangkala, ibu saya nampak garang

43 Barang kali, lelaki itu sesat jalan.
barangkali, lelaki itu sesat jalan

44 Walaubagaimanapun
walau bagaimanapun

45 sejak akhir ini
sejak akhir-akhir ini

46 Justeru itu, masalah ini mestilah diselesaikan.
Oleh itu, masalah ini mestilah diselesaikan

47 Bapa menghadiahkan ibu sebentuk cincin
Bapa menghadiahkan sebentuk cincin kepada ibu / Bapa menghadiahi ibu sebentuk cincin

48 barisan hakim-hakim
barisan hakim / hakim-hakim

49 telah mereka sediakan
telah disediakan oleh mereka

50 pintu konkrit gerbang
pintu gerbang konkrit

51 mini kalkulator
kalkulator mini

52 Pasaraya Jusco
Pasar Raya Jusco

53 Persatuan Ibu Bapa Dan guru
Persatuan Ibu Bapa dan Guru

54 Melaka Bandaraya Bersejarah
Melaka Bandar Raya Bersejarah

55 Kesimpulanya, masalah ini mesti diselesaikan.
Kesimpulannya, masalah ini mesti diselesaikan.

56 Oleh yang demikian, guru pendidik bangsa.
Oleh hal yang demikian, guru pendidik bangsa.

57 rambut kerinting
rambut keriting

58 membeli olih-olih
membeli oleh-oleh

59 pemadam besar getah
pemadam getah besar

60 karangan contoh cemerlang
contoh karangan cemerlang

61 sampel merah darah
sampel darah merah

62 diluar jangkaan semua
di luar jangkaan semua

63 sekawan gajah-gajah
sekawan gajah / gajah-gajah

64 sembilan orang adik beradik
sembilan orang adik-beradik

65 ilmu mempertahankan diri
ilmu pertahanan diri / ilmu yang dapat mempertahankan diri

66 lima setengah tahun
lima tahun setengah

67 segerombolan perompak-perompak
segerombolan perompak

68 membina jatidiri bangsa yang utuh
membina jati diri bangsa yang utuh

69 sudah terhantuk baru terngadah
sudah terhantuk baru tengadah

70 sesetengah remaja-remaja
sesetengah remaja / setengah-setengah remaja

71 setiap-tiap warga sekolah
setiap warga sekolah / tiap-tiap warga sekolah

72 sebuah sungai yang panjang
sebatang sungai yang panjang

73 beberapa buah kelas-kelas
beberapa buah kelas

74 di dalam mesyuarat agung
dalam mesyuarat agung

75 pada masa kini
Kini / pada masa ini

76 membeli baju baru
membeli baju baharu

77 sekelompok murid-murid
sekelompok murid / murid-murid

78 membeli alatulis
membeli alat tulis

79 melukis gambarajah
melukis gambar rajah

80 mewujudkan usahasama antara peniaga
mewujudkan usaha sama antara peniaga

81 dimana ada kemahuan, disitu ada jalan
di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

82 dihantar oleh kita
kita hantar

83 Kesalahan itu telah adik lakukan.
kesalahan itu telah dilakukan oleh adik

84 sekaligus
sekali gus

85 sekumpulan ahli-ahli sains
sekumpulan ahli sains / sekumpulan saintis

86 kemeja T
baju kemeja-T

87 semangat anti penjajah
semangat antipenjajah

88 berjiwa cintakan negara
berjiwa cinta akan negara

89 kerosakkan kereta di lebuh raya
kerosakan kereta di lebuh raya

90 mengamalkan urusiaga yang halal
mengamalkan urus niaga yang halal

91 mengadakan pilihanraya umum
mengadakan pilihan raya umum

92 senarai nama-nama
senarai nama

93 setia-setiausaha menteri kabinet
setiausaha-setiausaha menteri kabinet

94 urusetia program motivasi
urus setia program motivasi

95 penyanyi professional
penyanyi profesional

96 stesen keretapi
stesen kereta api

97 berkunjung ke Bandaraya Kuala Lumpur
berkunjung ke Bandar Raya Kuala Lumpur

98 memilih ahli jawatan kuasa
memilih ahli jawatankuasa

99 segerombolan tentera negara
segerombolan pengganas / seangkatan tentera negara

100 pengaruh media masa
pengaruh media massa

Jawaban di atas hanyalah jawaban peribadi berdasarkan pengalaman mengajar. Sebarang cadangan boleh dikemukakan supaya kita sama-sama mempertingkatkan tahap tatabahasa kita sebagai rakyat Malaysia. Bahasa jiwa bangsa.

8 July 2009

Perbandingan dalam novel yang sama

Perbandingan (Persamaan) antara Zulkifli dengan Tan Sri Shamsuddin.

Novel yang saya kaji ialah Panas Salju, karya Talib Samat. Berikut ialah persamaan antara watak Zulkifli dengan Tan Sri Shamsuddin.
Zulkifli dan Tan Sri Shamsuddin mempunyai nilai baik hati. Buktinya, Zulkifli bersikap baik hati dengan membantu mangsa kemalangan yang berbangsa Sikh manakala Tan Sri Shamsuddin pula menghulurkan bantuan kepada Nadhirah sebanyak RM350,000 supaya pembedahannya dalam dijalankan.
Selain itu, mereka berdua mempunyai persamaan kerana bersikap kesyukuran kepada Tuhan. Zulkifli bersyukur kepada Tuhan kerana anaknya selamat dalam pembedahan manakala Tan Sri Shamsuddin bersyukur atas limpah kekayaan daripada kurnia Tuhan sehingga membolehkannya membantu golongan yang memerlukan bantuan.
Di samping itu, mereka juga mempunyai sikap gigih berusaha. Zulkifli gigih berusaha dalam akademik sehingga melanjutkan pelajaran sehingga PhD sementara Tan Sri Shamsuddin gigih berusaha sebagai peniaga sehingga berjaya menjadi tokoh korporat tersohor.



Perbandingan (Perbezaan) antara Zulkifli dengan Tan Sri Shamsuddin.

Novel yang saya kaji ialah Panas Salju, karya Talib Samat. Berikut ialah perbezaan antara watak Zulkifli dengan Tan Sri Shamsuddin.
Zulkifli dan Tan Sri Shamsuddin mempunyai perbezaan dari segi pekerjaan. Buktinya, Zulkifli seorang pembantu perubatan manakala Tan Sri Shamsuddin seorang tokoh korporat yang terkemuka dunia.
Mereka berdua juga berbeza dari segi taraf kewangan. Hal ini dikatakan demikian kerana Zulkifli seorang pembantu hospital yang hidup dalam keadaan sederhana tetapi Tan Sri Shamsuddin seorang tokoh korporat yang hidup mewah.
Di samping itu, mereka juga mempunyai perbezaan dari segi cara memberikan bantuan. Zulkfli memberi bantuan tenaga untuk menghantar mangsa kemalangan ke Hospital Seremban manakala Tan Sri Shamsuddin pula memberikan bantuan dari segi kewangan kepada Nadhirah.